Wednesday 25 November 2015

Lelaki 'Ayat 1000 Dinar'




Bismillāhirraḥmānirraḥīm

Semalam saya di Stesen KTM Nilai. Datang seorang lelaki sekitar usia awal 50an. Pakaiannya agak selekeh, kotor dan tidak terurus. Beliau mengunjukkan kepada saya seikat sticker Ayat 1000 Dinar dan berkata-kata sesuatu kepada saya. Kurang jelas tetapi saya faham. Beliau mahu menjualnya dan mengharapkan saya membelinya.

Pada mulanya saya menolak. Sebelum saya melintas mesin pengimbas Touch n Go, tiba-tiba terlintas sebuah hadith di fikiran. Allahuakbar.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra. daripada Rasulullah SAW., Baginda bersabda:


مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ، وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup (aurat atau keaiban) seorang muslim, Allah akan menutup (aurat dan keaiban)nya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong seseorang hamba selama mana hamba itu menolong saudaranya. Sesiapa yang melalui satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga. Sesuatu kaum (kelompok manusia) tidaklah berkumpul di satu rumah (masjid) daripada rumah-rumah Allah, sambil membaca Al-Quran, saling memperbetulkan bacaan dan memahami kandungannya, kecuali as-Sakinah (satu makhluk Allah Ta’ala yang padanya terdapat rahmat dan ketenangan, serta ditemani oleh para malaikat) akan turun kepada mereka dan mereka diselubungi oleh rahmat. Mereka juga dilinkungi oleh para malaikat, serta disebut dan dipuji oleh Allah di kalanagan (para malaikat) yang ada di sisi-Nya. Sesiapa yang diperlahankan oleh amalannya (kerana amalannya sedikit), dia tidak akan dipercepatkan oleh keturunannya (keturunannya tidak akan mengangkat darjatnya).” [Riwayat Muslim, no. 2699]

Hadith ini juga terdapat dalam Al-Arbaʿīn al-Nawawiyyah, hadith ke-36. Saya pernah mempelajari kitab ini satu ketika dahulu dan melalui hadith ini. Cuma mungkin saya agak terlalai.

Beliau mungkin sangat memerlukan wang. Oleh itu, beliau menjual sticker berkenaan. Sekurang-kurangnya beliau tidak melakukan hal yang salah untuk mendapatkan wang. Cuba berperang seketika dengan nafsu diri.

Saya berpatah balik dan mencari lelaki berkenaan.

Kelihatan beliau sedang termenung dengan mata yang layu. Saya hampiri beliau dan menyerahkan RM2. Beliau mengangkat kepala dan memandang saya dengan penuh kegembiraan. Dicapainya tangan saya. Beliau menggenggam tangan saya dan berselawat beberapa kali seterusnya berdoa. Antaranya mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan keberkatan hidup saya.

Tersentuh dengan tindakan lelaki berkenaan. Moga Allah mengurniakan rezeki yang melimpah ruah kepadanya dan mengampuni kelalaian saya. Tarbiyyah daripada-Nya melalui seorang lelaki yang rendah di mata masyarakat.

Mahallah Zubair al-Awwam
International Islamic University Malaysia
3.12 PM
25 November 2015

No comments:

Post a Comment