Thursday 3 December 2015

Isu Abu Hurairah [1]


Saya tertarikh untuk mengulas status seorang hamba Allah di Facebook beliau.
Selesai baca pdf tentang Abu Hurairah. Hadith-hadithnya lebih banyak dari Abu Bakar, Umar, Uthman bahkan Ali. Bahkan Aisyah jugak kalah dalam meriwayatkan hadith berbanding jumlah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Sedangkan Abu Hurairah ni masuk Islam, tiga tahun sebelum Nabi wafat, tapi hadith-hadithnya lebih banyak dari seluruh sahabat. Ada 5374 hadith yang diriwayatkan beliau. Padanlah lahir Kassim Ahmad yang hentam habis-habisan ketidakwarasan ilmiah ini. Hadith-hadithnya jugak pelik, seperti Allah memasukkan kakiNya ke dalam neraka, dan Nabi Musa menumbuk mata malaikat maut sampai tersembul mata malaikat maut. Macam cerita Son Goku pulak. Aku semakin memahami logika kekuasaan. Kekuasaan boleh menoron agama. Tak pelir Asyraf Wajdi tu, Jamil Khir yang jaga agama tu rosak sebab kemanisan kekuasaan, Abu Hurairah lebih awal bersenggama dengan penguasa. Berkat jasa baik regim Umaiyah, maka hadith-hadith Bapak Kucing ni sampai kepada kita.
Untuk entri kali ini, saya akan jawab persoalan berkenaan jumlah hadith yang diriwayatkannya yang dipersoalkan dan dipertikaikan kerana tempoh masanya bersama Nabi SAW adalah singkat.

Sebenarnya, kritikan terhadap Abu Hurairah bukan sahaja dibawa oleh Syeikh Syarafuddin al-Amili al-Musawi, tokoh ulama' Syiah (seperti yang dibaca oleh hamba Allah ini), tetapi juga dibawa oleh Mahmud Abu Rayyah (Adwa’ ‘ala al-Sunnah al-Muhammadiyyah), seorang pemikir dan sasterawan Mesir. Kritikan beliau telah dijawab oleh Syeikh Muhammad Abu Syahbah (Difa' 'an al-Sunnah), Syeikh Abd al-Ghani Abd al-Khaliq (Hujjiyyat al-Sunnah) dan lain-lain. Ini cuma isu lama yang dibangkitkan semula.

Kenyataan 

 Hadith-hadithnya lebih banyak dari Abu Bakar, Umar, Uthman bahkan Ali. Bahkan Aisyah jugak kalah dalam meriwayatkan hadith berbanding jumlah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Sedangkan Abu Hurairah ni masuk Islam, tiga tahun sebelum Nabi wafat, tapi hadith-hadithnya lebih banyak dari seluruh sahabat. Ada 5374 hadith yang diriwayatkan beliau. Padanlah lahir Kassim Ahmad yang hentam habis-habisan ketidakwarasan ilmiah ini.


Ulasan Saya
Kebanyakan para Sahabat Nabi RAnhum begitu teruja untuk mendapatkan ilmu daripada apa sahaja yang dituturkan atau dibuat oleh Baginda SAW. Jumlah 5374 hadith yang diriwayatkan Abu Hurairah  adalah logik dengan perhitungan lebih kurang 3 atau 4 tahunnya bersama Nabi SAW.

Kita lihat beberapa fakta dibawah ini:

Tempoh Masa

  1. "Aku (Abu Hurairah) bersama Rasulullah SAW selama 3 tahun. Tidaklah ada daripada usiaku yang lebih gigih untukku memahami hadith kecuali pada 3 tahun tersebut." [Sahih al-Bukhari, no. 3591]
  2. "Dia (Abu Hurairah) mengikuti perang Khaybar pada tahun ke-7, pada bulan Safar. Sedangkan Rasulullah SAW meninggal dunia pada bulan Rabi' al-Awwal pada tahun ke-11. Oleh itu, masa (dari tahun ke-7 sampai ke-11) selama 4 tahun lebih, inilah pendapat yang dikuatkan oleh Humaid bin Abd al-Rahman al-Humairi...Apa yang dianggap mulazamah (duduk bersama Rasulullah SAW) oleh Abu Hurairah adalah yang mulazamahnya dengan bersungguh-sungguh, setepatnya adalah setelah kembali dari perang Khaibar, dan beliau seakan tidak menganggap dirinya mulazamah ketika Rasulullah SAW dalam perjalanannya, peperangan, haji atau umrahnya; kerana mulazamah Abu Hurairah pada beberapa waktu tersebut berbeza dengan mulazamah ketika di Madinah. Oleh itu, tempoh masa yang disebutkan dalam hadith adalah hanya mulazamahnya yang bersungguh-sungguh sahaja, sedangkan di luar waktu tersebut beliau tidak menganggapnya sebagai mulazamah." [Fath al-Bari : jil. 6, m. 608]
  3. Lihat juga dalam al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa'd (jil. 4, m. 244), al-Ma'rifat wa al-Tarikh oleh al-Fasawi (jil. 3, m. 161). Kedua-duanya menyatakan bahawa Abu Hurairah bersama dengan Nabi SAW dalam tempoh masa 3 tahun.
Pekerjaan
Saya nukilkan daripada Sahih al-Bukhari berkenaan pernyataan daripada Abu Hurairah sendiri.

"Kamu semua menyatakan bahawa Abu Hurairah meriwayatkan banyak hadith daripada Rasulullah SAW dan kamu semua juga menyatakan; bagaimana Muhajirin dan Ansar tidak meriwayatkan sebagaimana Abu Hurairah? Hakikatnya, saudara kita daripada kalangan Muhajirin  sibuk dengan urusan jual beli di pasar dan aku pula bersama dengan Nabi SAW dengan memenuhkan perutku (dengan hadith). Justeru, aku ada ketika mana mereka tiada dan aku ingat ketika mana mereka lupa. Saudaraku daripada kalangan Ansar pula sibuk dengan urusan harta benda mereka manakala aku hanya orang miskin daripada ahl al-suffah, jadi aku ingat (hadith-hadith) ketika mana mereka lupa." [Sahih al-Bukhari, no. 2047]

Kekuatan Memori
Saya nukilkan daripada Fath al-Bari berkenaan pernyataan daripada Muhammad bin 'Amarah bin Hazm:

"Beliau (Abu Hurairah) duduk dalam kelompok para Sahabat yang lebih berumur dan di dalamnya ada 10 orang lelaki. Abu Hurairah mula membicarakan berkenaan satu hadith Rasulullah SAW di mana sebahagian mereka tidak mengetahuinya. Maka, mereka bertanya kepadanya berulang kali sehingga mereka berpuas hati. Sekali lagi, beliau berbicara kepada mereka berkenaan satu hadith dan beliau melakukannya berulang kali, sehingga aku yakin bahawa Abu Hurairah mempunyai ingatan yang sangat baik." [Fath al-Bari, jil. 1, m. 214]

Selain itu, Syeikh Rashid Redha juga ada mendatangkan 7 faktor mengapa Abu Hurairah banyak meriwayatkan hadith. [Majalah al-Manar: 19/25].

Wallahua'lam.

Mahallah Zubair al-Awwam
3 Disember 2015
10.55 AM

RUJUKAN 
Buku

  1. Sahih al-Bukhari
  2. Fath al-Bari
  3. al-Tabaqat al-Kubra
  4.  al-Ma'rifat wa al-Tarikh 
  5. Majalah al-Manar
Artikel
  1. Hadith: A Subject of Keen Interest oleh Muhammad Zubayr Siddiqi
  2. Collection and Preservation of Hadith oleh Muhammad Ali

No comments:

Post a Comment