Saturday 21 November 2015

Hal Yang Sama, Natijah Yang Berbeza

Sambil mencicip Lipton Milk Tea Hazelnut
Bismillāhirraḥmānirraḥīm

Seperti biasa, saya akan ke Nilai pada setiap hujung minggu (kalau tak pulang ke Jerteh) untuk berkhidmat dengan guru yang dikasihi, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Biasanya, beliau akan telefon atau mesej, "Salam, zif. Minggu ni datang Nilai tak?".

Disebabkan minat saya menulis, jadi khidmat yang saya berikan adalah fokus membantu beliau dalam penulisan buku, artikel dan lain-lain. Dari siang sampai malam. Sedar tak sedar, sudah 4 tahun lebih bersama beliau. Dengan beliau, saya peroleh ilmu dan adab; baik secara formal ataupun tidak. Sekali terselit rasa terharu apabila pernah sewaktu makan tengahari bersama beliau dan rakan-rakannnya, beliau memperkenalkan saya kepada mereka dan berkata, "Anak murid kesayangan ana ni!", sambil menunjukkan jarinya ke arah saya.

Apa yang saya suka dengan beliau adalah kalamnya yang lembut, ringkas tetapi berisi. Selalu membuatkan saya termenung sendirian. 

Tadi semasa melayari Facebook, terbaca kalam beliau di page
Semalam dengan baju yang menyebabkan rasa dukacita abahnya seperti kisah saudara Nabi Yusuf membawa bajunya dengan darah yang dusta (darah serigala). Selepas satu tempoh, baju juga menyebabkan gembira abahnya apabila disuruh mencampakkannya pada wajah abahnya yang kemudian datang penglihatan kembali. Kadang-kadang yang mendukacitakan kamu pada satu hari boleh membawa gembira pada esok hari. Justeru hendaklah berhusnudzzhon dengan Allah dan baikkanlah sangkaanmu.
Hal yang mungkin sama, tetapi membuahkan natijah yang berbeza. Justeru, terus positif. Kalam yang ringkas dan menenangkan! Moga Allah terus memberkati perjuangan dakwah guruku ini.

No comments:

Post a Comment