Saturday 21 November 2015

Catatan Tentang Falsafah 101


Ramai takut baca Falsafah. Ramai juga berminat dengan Falsafah tapi tak tahu nak mula di mana. Ada juga yang terus mengharamkan falsafah secara total tanpa memahami terlebih dahulu historical aspect padanya. Ada juga hanyut dengan Falsafah sampai tinggalkan kelaziman dengan al-Qur’ān dan Sunnah.

Belajar Falsafah Islam ketika undergraduate dulu sedikit sebanyak membuka minda saya untuk melihat sesuatu hal dalam perspektrif yang pelbagai. Bersikap kritikal dan kritis. Persoalan why dan how sentiasa menerpa dalam benak fikiran.

Saya kira, tulisan Ibrahim Kalin agak baik untuk memahami keperluan membaca dan memahami Falsafah Klasik Islam. Klik di sini. Baik juga baca Mohamed Ghilan di sini.

Menarik juga kalau saya kongsi peringatan Imām al-Subkī bagi yang ingin mempelajari Falsafah. Secara ringkasnya, seseorang yang hendak mempelajari Falsafah perlu:
  1. Mempunyai ilmu yang mendalam jauh ke lubuk hati berhubung prinsip-prinsip Sharīʿah.
  2. Memenuhi segenap jiwanya dengan cinta kepada Nabi SAW.
  3. Menghafal al-Qur’ān.
  4. Telah menghafal dan menelaah sejumlah besar ḥadīth Nabi SAW dengan jalan ahl al-ḥadīth 
  5. Tahu perbahasan cabang (furūʿ) dalam Fiqh dengan sangat baik.
Kata al-Subkī, bagi sesiapa yang telah mencapai 5 syarat diatas, dibolehkan menelaah dan mempelajari Falsafah untuk mempertahankan agama dan mengkritik syubhat yang dilontarkan, tetapi dengan 2 syarat:
  1. Yakin dirinya telah ada asas kukuh, mencapai tahap keimanan dan keyakinan yang tidak akan tergoyah dan terkeliru dengan syubhat-syubhat, kekeliruan, kesesatan dan hawa nafsu golongan ahli Falsafah dan atheis.
  2. Tidak mencampur-adukkan antara kalam ahli Falsafah (yang sesat) dan kalam ulama' Islam seperti yang dilakukan oleh Naṣīr al-Dīn al-Ṭūṣī.*
Pada saya, syarat ketat yang diutarakan oleh beliau adalah bagi membendung kerosakan aqidah dalam masyarakat ketika itu. Oleh itu, sesiapa yang tidak memenuhi 5 syarat di atas, dihukumkan haram belajar Falsafah. [Rujuk Muʿīd al-Niʿam wa Mubīd al-Niqam, m. 64-65] 

Selain itu, saya lebih cenderung untuk memahami maksud 'Falsafah' yang dinyatakan oleh al-Subkī sebagai ilmu Falsafah  yang dibawa oleh Yunani tanpa melalui tapisan para ulama' Falsafah Islam. Buktinya, beliau kemudiannya menamakan al-Ghazzālī dan Fakhr al-Dīn al-Rāzī sebagai Imāmān Jalīlān (dua imam yang mulia) yang memahami Falsafah selepas mempunyai asas agama yang kukuh.

Mana mungkin beliau menolak Falsafah secara total kemudian tiba-tiba memuji kedua imam ini? Kedua, al-Subkī mengkritik keras al-Fārābī dan Ibn Sīnā yang dikenali sebagai pengikut faham Neo-Platonism yang dibawa oleh Plotinus (walaupun pada hakikat sebenarnya, keduanya banyak 'menapis' faham berkenaan). Maka, jelas bahawa yang dimaksudkan oleh al-Subkī bukanlah Falsafah Islām tetapi maudhu' falsafah secara umum.

Apapun, yang terbaik adalah selesaikan terlebih dahulu pengetahuan asas dalam Islām sebelum 'terjun' dalam bidang ini tanpa apa-apa panduan dan rujukan. Tidak ada gunanya membaca bahan-bahan bacaan falsafah semata-mata hendak kelihatan hebat dengan perkataan yang bombastik dan jargon.

Wallāhuaʿlam

____________________________
*hal ini mungkin boleh dibincangkan lagi.

Bayt al-Harakah, Desa Kasia, Nilai
21 November 2015
3.34 AM

No comments:

Post a Comment