Monday 25 July 2016

3 Minggu di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya


Alhamdulillah, sudah masuk minggu ketiga mengajar di sini. Rutin setiap hari naik bas RapidKL daripada UIAM ke Stesen LRT Gombak. Dari situ, berhenti di Stesen LRT Taman Jaya kemudian naik bas PJ City Bus; bas hijau yang percuma tu.

Saya mengajar subjek Islam and Other Religions. Sememangnya dalam bidang pengajian saya cuma kini saya lebih fokus kepada bidang kalam dalam penulisan disertasi. Agak letih berulang-alik setiap hari walaupun kadang-kala hanya mengajar 1 jam sehari. Tambahan pula saya sedang menyiapkan disertasi. Ada 1 tahun lagi sebelum bergraduasi, insyaAllah. Namun, ada satu kepuasan bila pelajar faham apa yang kita ajar.

Benarkah Frasa "Muḥammadurrasūlullah itu laut yang meliputi. Lā’ilāha illallāh itu setitik daripadanya”?


Metodologi penulisan kitab-kitab Jawi di alam Nusantara yang nipis, kebanyakannya saya lihat mempunyai satu persamaan; Penulis hanya menulis kaedah atau formula yang ringkas manakala tuan guru yang mensyarahkannya akan menghuraikan dengan lebih teliti dan tuntas. Kerana itulah pemahaman teks-teks Jawi klasik perlu 'diikat' dengan jalan berguru, selain membaca. 

Saya bukan lulusan mana-mana pondok secara formal. Hanya pernah menadah dengan tuan-tuan guru pondok beberapa ketika dan mengikuti daurah-daurah di pondok. Justeru, saya bukanlah yang selayaknya memberi komentar. Namun, rasanya ada keperluan untuk saya memberi penjelasan akan hal yang menjadi polemik sekarang berdasarkan sedikit pemahaman dan ilmu yang diperoleh.

Saturday 23 July 2016

[Nota Kuliah] Pintu-Pintu Syaitan


PINTU-PINTU SYAITAN DAN RAWATAN[1]


PENDAHULUAN
Firman Allah SWT:

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٨٢﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ ﴿٨٣﴾
Maksudnya: “Iblis berkata: ‘Demi kekuasaan-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan.”(Surah Sad: 82-83)

Ayat di atas memberi kita satu pemahaman yang jelas akan matlamat Iblis selepas dilaknat daripada Allah SWT atas keingkarannya untuk mematuhi perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam AS. Dua noktah yang penting dalam ayat di atas adalah:
  •  Iblis akan sentiasa berusaha memalingkan manusia daripada jalan-Nya.
  •  Terdapat golongan yang terselamat daripada tipudaya syaitan.
Tipu daya syaitan bukan sahaja mengenai masyarakat awam, bahkan boleh sahaja mengenai golongan agamawan dan ahli ibadah. Maka, atas asas inilah tajuk ini dipilih; pendedahan tentang pintu-pintu tipudaya syaitan dan apakah rawatan jiwa yang sesuai bagi mereka yang bermasalah serta kaedah menghindarinya.