Sunday 22 November 2015

Idea Kepemudaan Abu al-Hasan 'Ali Al-Nadwi


1.0 PENGENALAN
Pemuda itu perlu ada peribadi Ṭālut iaitu kelebihan dalam lapangan ilmu dan kegagahan tubuh badan (basṭatan fī al-ʿilm wa al-jism).[1] Mereka juga wajar memiliki peribadi Yūsuf iaitu yang amanah (hafīẓun ʿalīm).[2]
أَيَنْقُصُ الدِينُ وَ أَنَا حَيُّ؟
Apakah agama ini mundur sedangkan aku masih hidup?

Frasa di atas adalah lontaran pertanyaan Saydinā Abū Bakr al-Ṣiddīq ketika beliau dilantik sebagai Khalifah. Frasa ini juga yang acapkali di ulang-ulang oleh Abū al-Ḥasan Al-Nadwī dalam siri-siri syarahannya.

Agama ini tidak akan dibiarkan mundur dan perjuangan itu perlu berterusan hingga hembusan nafas terakhir. Setiap detik dalam hidup ini perlu dimanfaatkan tidak lain tidak bukan adalah untuk dakwah Islam. Inilah roh slogan kepemudaan yang ‘hidup’ dalam kehidupan beliau sendiri.

Hampir kesemua karya-karya beliau antaranya Mādhā Khasir Al-ʿĀlam Bī Inḥiṭāṭ Al-Muslimīn, Naṣā’ih wa Tawjīhāt Lī Shabāb Al-Muslimīn, Ḥikmat Al-Daʿwah wa ṣifat Al-Duʿāh, Rijāl Al-Fikr aa Al-Daʿwah Fī Al-Islām, Al-Sirāʿ Bayna Al-Īmān wa Al-Māddiyyah dan Ilā Al-Islām Min Jadīd (sekadar menyenaraikan beberapa buah buku) mengapungkan tema kepemudaan.

Adalah wajar untuk generasi anak muda masa kini meladeni masa-masa emas zaman kepemudaan dengan menelaah dan menghadam buah fikiran Abū al-Ḥasan Al-Nadwī untuk kemandirian thaqāfah generasi pelapis pada masa akan datang. Kita tidak mahu generasi ini hanya gah di luaran tetapi kosong pada akalnya, gersang pada pada jiwanya.

Cukuplah Harry R. Lewis menghamburkan kegusarannya dalam Excellence without a Soul tentang masa depan anak muda di Amerika Syarikat yang lahir daripada pusat pengajian ternama, namun gagal pada sudut modal insan. Anak muda Islam di Malaysia perlu dibentuk dengan acuan qur’ānī yang jitu. Maka, karya-karya Abū al-Ḥasan Al-Nadwī adalah pilihan yang tepat kerana ia sarat dengan pesan-pesan kepemudaan yang holistik dan malarsegar (evergreen).

2.0  DEFINISI PEMUDA DAN KEPEMUDAAN
Firman Allah SWT,
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾
“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.”[3]

Jika dirujuk dalam leksikon Arab (Arabic lexicon) semisal Mukhtār al-Siḥḥaḥ, kalimah fityat (فِتْيَةٌ) adalah daripada kata dasar kalimah fa ta ya (ف ت ي) ataupun pluralnya adalah fityān (فِتْيَانٌ). Al-fatā (الْفَتَى) itu sinonimnya al-shābb atau pemuda (youth/adolescent).[4]

Imam Al-Qurṭūbī, seorang tokoh mufassir yang terkenal ketika mengulas istilah kepemudaan (الْفُتُوَّةُ) menukilkan definisi oleh al-Junayd dengan memaknakan ia sebagai sikap melakukan kebaikan kepada orang lain (badhl al-nadā), tidak menyusahkan orang lain (kaff al-adhā) dan meninggalkan rungutan terhadap orang lain (tark al-shakwā). Dikatakan juga makna al-futuwwah (noble manliness) adalah menghindari perkara yang haram dan bersegera dalam hal kebaikan.[5]

Bagi Abū al-Ḥasan Al-Nadwī sendiri, frasa (إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ) itu sendiri mengandungi makna yang mendalam untuk dihadam. Hakikatnya, Allah SWT hendak menzahirkan bahawa kelompok anak muda yang meninggalkan aspek materialistik, kelapangan dan kesenangan hidup serta kerehatan, adalah amat sedikit jumlahnya bagi setiap zaman.[6] Sebahagian besarnya gemar bersenang-lenang dengan nikmat dunia dan lalai dalam pengaruh materialisme.

Maka, dapat disimpulkan bahawa, pemuda dan kepemudaan itu, lebih dilihat dari sudut sikapnya, perilakunya dan ketrampilannya selain usianya. Itulah kebiasaanya sifat bagi pemuda; idealistik, bersemangat tinggi, jiwanya berkobar-kobar dan sentiasa bertenaga.

3.0 RUH KEPEMUDAAN DALAM KARYA-KARYA MAWLĀNĀ ABŪ AL-ḤASSAN ʿALI AL-NADWĪ
Dr. Abdullah Nāṣiḥ ʿUlwān menyenaraikan 3 tugasan utama bagi para pemuda untuk dilakukan dalam kehidupan mereka.
  1. Melaksanakan tujuan peribadatan kepada Allah, tunduk patuh kepada-Nya, serta berserah diri kehadrat-Nya dalam setiap musibah yang menimpa.
  2.  Mengikut manhaj rabbānī yang tidak akan ditembusi oleh kebatilan.
  3. Memberi kesetiaan (walā’) hanya kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin.[7]

Adapun, tugas terbesar sebagai seorang pemuda adalah sebagaimana yang ditegaskan oleh Rib’ī ibn ʿĀmir iaitu menegakkan hukum Allah di muka bumi, mengeluarkan hamba-hamba-Nya daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan hanya kepada-Nya, mengeluarkan mereka daripada kesempitan hidup kepada keluasannya dan daripada kezaliman kekafiran kepada keadilan Islam.

Terlalu banyak untuk kita teladani karya-karyanya satu persatu bagi mengutip pesan-pesan berharga untuk pemuda-pemudi Islam di zamannya dan zaman selepasnya. Apa yang menghalang cuma persoalan masa dan rasa. Masa yang mencemburui dan rasa malas yang menyelubungi. Namun, sebagaimana disebutkan satu kaedah fiqh, “Apa yang tidak mampu dilakukan semua, jangan ditinggalkan semuanya.” (mā lā yudriku kulluhu, lā yutraku julluhu).

Sebagai pedoman bersama, digariskan beberapa pesan dan idea kepemudaan oleh Abū al-Ḥasan Al-Nadwī untuk dihadamkan bersama.

3.1  HIMMAH YANG TINGGI
Firman Allah SWT,
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.[8]

Abū al-Ḥasan Al-Nadwī dilihat konsisten mengulangi ayat ini dalam beberapa siri syarahannya yang dihadiri oleh anak-anak muda dan telah menulis sebuah buku yang khusus bagi membicarakan perihal Surah al-Kahfi yang mengupas dengan lebih mendalam tentang asḥāb al-kahfī.[9] Dalam satu syarahan di sebuah Institut Pengajian Islam di Dubai beliau telah menyatakan,

Ayat yang telah dinyatakan ini adalah satu pelajaran buat para pemuda Islam yang berintelektual, memiliki himmah yang tinggi dan kecerdikan yang tajam, digolongkan mereka dalam (golongan yang punya) kekuatan yang mulia dan kebijaksanaan yang melimpah ruah, membara kecaknaan mereka, tanpa ada pada mereka kesombongan dan takabbur...[10]


Abū al-Ḥasan Al-Nadwī cukup menekankan para pemuda Islam supaya mencontohi kehidupan pemuda Kahfi (aṣḥāb al-kahfī) yang menjadi model terbaik dalam pembentukan fikrah kepemudaan yang hakiki. Mereka sempurna daripada aspek akidah (fityat āmanū birabbihim), ditambahi pula jiwa mereka dengan hidayah (wazidnāhum hudā).

Di tengah kebobrokan kemewahan yang menindas yang dikuasai oleh kerajaan yang berkuasa, dicemari dengan idolisasi kebendaan, telah muncul segolongan pemuda yang berpegang dengan ajaran luhur Nabi Isa ʿalayh al-salām.[11] Ini menandakan cahaya kebenaran itu sama sekali tidak akan terluput walapun dalam gelap kezaliman.

Ciri-ciri pemuda Kahfī yang dihuraikan di atas olehnya, jelas menggambarkan betapa Abū al-Ḥasan Al-Nadwī begitu memahami apa yang tersirat di sebalik ayat berkenaan. Keperluan bagi mengkaderkan generasi pemuda yang berintelektual, punya himmah yang tinggi dan kebijaksanaan adalah satu kewajiban sepanjang zaman. Tidak ada satu perkara yang lebih indah daripada mempunyai kualiti barisan pemuda yang teguh berdiri mempertahankan akidahnya.

Kuantiti mereka semestinya amat kecil tetapi impak yang mereka hasilkan berjaya merubah paradigma masyarakat kepada satu bentuk perubahan yang membawa kebaikan. Bilangan yang ramai tidak semestinya jaminan kejayaan. Bilangan yang minima, belum tentu punca bagi kegagalan.

3.2  PERI PENTING ILMU DAN PENDIDIKAN
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī menegaskan bahawa, sudah sampai masanya umat Islam menghidupkan kembali bentuk pengajaran dan pembelajaran di zaman Nabi SAW. Ia perlu digabungkan dengan sistem pengajian formal (madrasah) yang wujud kini.[12] Antara karyanya berhubung reformasi dunia pendidikan adalah Musalamanon ki Umoomi Taleem o Tarbi’at (Education and Nurturing of Muslim Mass) dan Naḥw al-Tarbiyyah al-Islamiyyah al-Ḥurrah.

Beliau melihat ilmu sebagai kunci untuk keluar daripada sebarang permasalahan. Jelas sekali, beliau kecewa dengan dunia Islam, termasuklah dunia Arab yang melepaskan amanah sebagai gedung ilmu dan penunjuk arah, kehilangan kebebasan dalam berfikir sehingga bergantung sepenuhnya kepada Barat.

Antara apa yang digusarkannya adalah, bidang-bidang utama seperti Bahasa Arab dan sasteranya, tafsir, hadis dan fiqh seakan-akan dikuasai oleh orang-orang Barat terutamanya Orientalis kerana umat Islam terlalu bergantung kepada Barat.[13]

Bagi yang biasa menelaah karya-karya beliau, pasti akan merasai betapa Abū al-Ḥasan Al-Nadwī cukup menekankan ilmu sebagai tuntutan asas seorang Muslim. Tuntutan yang diperjuangkannya adalah satu bentuk pemahaman baru tentang ilmu yang jauh daripada pengaruh materialisme Barat. Antaranya disebutkan:

“Setiap pelajar yang keluar daripada pendidikan mereka benar-benar kenyang dengan semangat materialisme…turut pula tunduk kepadanya (Barat) adalah dunia Islam kerana dunia Islam di saat itu sedang mengalami kemerosotan ilmu pengetahuan dan kelumpuhan cara berfikirnya.”[14]
  
Beliau menegaskan keperluan untuk dunia Islam bangkit dengan metod pendidikan yang baru, bebas apatah lagi mengikut telunjuk Barat. Bagi disiplin ilmu teras seperti al-Qur’ān dan al-Ḥadīth, beliau memberikan penekanan yang serius dalam mencari makna disiplin ilmu-ilmu berkenaan.

Abū al-Ḥasan Al-Nadwī menekankan kepentingan bagi mereka yang membaca al-Qur’ān untuk memahami tuntutan al-Qur’ān dengan mentadabburnya dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Al-Qur’ān sewajarnya tidak hanya menjadi rutin bacaan harian tetapi perlu digali keindahan dan manfaatnya melalui kitab-kitab tafsir yang sedia ada. Roh al-Qur’ān itulah yang perlu digarap oleh para pembacanya.[15]

Pengajian ḥadis pula perlu dilihat daripada aspek nilai amalinya dalam kehidupan termasuk aspek sosial, dimensi hukum (fiqh) dan dimensi akhlak/adab (tazkiyyatunnafs). Berapa ramai mereka yang menekuni hadis, tidak melihatnya dari dimensi-dimensi yang disebutkan. Natijahnya, hadis menjadi satu disiplin yang kontang dan tidak memiliki rohnya yang tersendiri.[16] Ini yang seharusnya difahami kerana hadis bukan semata-mata untuk dihafal dan dijadikan bumbu penyedap dalam pidato.

Selain itu, beliau turut melahirkan kerisauannya kerana tidak ramai dalam kalangan ahli fikir dan penulis daripada dunia Timur yang menjadi giant dalam hal keilmuan dan mampu mengkritik peradaban Barat serta falsafahnya dengan tuntas. Pun begitu, beliau tetap mengiktiraf Muhammad Iqbal dan Muhammad Asad (Leopold Weis) sebagai dua tokoh besar yang berpengaruh dalam dunia Islam dan Barat.[17]

Abū al-Ḥasan Al-Nadwī juga melihat bahawa memahami Bahasa Inggeris dan kebudayaan Inggeris adalah satu alat dakwah yang menjadi keutamaan pada era kontemporari. Sehinggakan, beliau mengkhususkan peranan Bahasa Inggeris dalam bukunya Naṣā’iḥ Wa Tawjīhāt Li Al-Shabāb Al-Muslimīn di bawah bab Al-Injiliziyyah wa Dawruhā fī al-Qiyām bi Wājib al-Daʿwah fī al-ʿAsr al-Ḥāḍir. Beliau melahirkan rasa syukur dengan kemampuannya dalam Bahasa Inggeris kerana, ia memberi manfaat yang besar dalam penulisannya (membaca buku-buku berkenaan Islam dan sejarah dalam Bahasa Inggeris) dan juga siri lawatannya ke England dan Amerika Syarikat. Kisah ini beliau nukilkan daripada bukunya Fī Masīrat al-Ḥayāh.[18]

3.3  PEMIKIRAN YANG MENDEPANI ZAMAN
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī adalah antara tokoh yang mempelopori idea pembaharuan pemikiran (tajdīd al-fikr) pada zamannya. Ianya digarap dengan cukup baik hasil keilmuan, pengalaman dan ilhām rabbāni yang dianugerahkan kepadanya.

Melalui zaman kebangkitan menggila fasisme Hindu dan era pengHinduan negara (Hinduized state), Muslim di India berusaha untuk mengekalkan identiti yang berbeda yang kian terancam. Dalam kemelut serangan terhadap umat Islam di India, Abū al-Ḥasan Al-Nadwī muncul dengan idea dialog antara agama yang bertujuan mewujudkan persefahaman antara penganut Hindu dan umat Islam di India.[19] Keperluan untuk umat Islam keluar daripada kepompong sedia ada mula disuarakannya pada awal 1950an semasa penyertaannya dalam Jamaah Tabligh.

Selain itu, apa yang dilontarkan melalui pena penulisannya sentiasa dilihat mempunyai roh iṣlāh dan tajdīd. Jalur pemikirannya yang bersendikan wasaṭiyyah (moderate) mewarnai penulisannya antaranya pada buku Rijāl al-Fikr wa al-Daʿwah fī al-Islām. Mungkin belum pernah ada ulama’ mahupun revolusioner Islam yang biasa menulis, pada zamannya atau zaman sebelumnya, merangkumkan pemikiran tokoh-tokoh yang berbeza jalurnya, dalam satu magnum opus yang sangat bermanfaat sebagaimana buku itu.[20]

Membaca buku itu, seakan menyelam jauh ke dasar pemikiran dan idea futuristik Abū al-Ḥasan Al-Nadwī yang mahu umat Islam meninggalkan jauh dunia perbalahan atas apa sahaja label yang memecahkan benteng perpaduan. Bukan mudah untuk menggaulkan sisi Abu al-Ḥasan al-Ashʿārī, al-Ghazzālī, Jalāl al-Dīn al-Rūmī, Ibn Taymiyyah, al-Sirhindī, dan Ahmad ibn Ḥanbal (sekadar menyebut beberapa tokoh yang ditampilkannya) dalam satu wacana wasaṭiyyah, namun beliau berjaya melakukannya.[21]

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Yūsuf al-Qaradhāwī ketika mengulas keperibadian Abū al-Ḥasan Al-Nadwī :

Syeikh (Abū al-Ḥasan Al-Nadwī) adalah seorang lelaki yang sederhana pada pemikirannya dan perbuatannya serta seluruh hidupnya. Beliau (membawa wawasan) yang silam (qadīm) dan baharu (jadīd), (menggabungkan) pemikiran klasik (turāthī) dan kontemporari (ʿasrī), salafī dan ṣūfī, tegas dan fleksibel, padanya kelembutan sutera dan kepaduan besi. Maka inilah yang dikehendaki untuk wujud pada generasi kebangkitan.[22]

 3.4  PERANAN WANITA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī tidak menulis sebuah buku yang khusus yang membicarakan berkenaan wanita. Namun, idea-idea emansipasi wanita jelas dinyatakan dalam risalah-risalah dan siri-siri syarahannya. Ia dikumpulkan dan dijadikan sebuah buku kecil yang bertajuk Makānat al-Mar’ah fī al-Islām (Status of Women in Islām).

Beliau menyifatkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis yang membicarakan konsep baru kesetaraan hak wanita, sebagai satu konsep yang sangat revolutionary.[23] Ia seakan membentuk ‘kelahiran baru’ wanita dalam masyarakat. Wanita dianugerahkan satu kedudukan yang tersendiri dengan Islam dan berbeza sama sekali dengan Manu smriti, undang-undang Hamurabbi, tamadun Mesir, Greek dan lain-lain.

Selain itu, Sayyid ʿAbd al-Mājid al-Ghourī ada merekodkan satu teks ucapan panjang yang menyegarkan oleh Abū al-Ḥasan Al-Nadwī khusus buat graduan siswi pada Majlis Konvokesyen Universiti Nur al-Islam Lil Banat, Lucknow. Dalam teks ucapan tersebut,  Abū al-Ḥasan Al-Nadwī merumuskan bahawa wanita mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembentukan ummah. Beliau menyeru kepada hadirin untuk kembali menekuni para ulama’ agung dan para solihin di masa silam. Pasti, ada sosok seorang ibu yang hebat di sisinya.

Antara tokoh ilmuwan wanita yang dibentangkannya adalah ahli hadith Karīmah bintu Aḥmad bin Muḥammad al-Marwaziyyah (Umm al-Kirām), sasterawati Wallādah bintu al-Mustakfī al-Andalusiyyah dan Al-Sayyidah al-Khansa’, ibu bagi para shuhadā’[24]

Sebagaimana Surah al-Ahzāb ayat 35 sama sekali tidak menyisihkan wanita, maka sewajarnya umat Islam sama sekali tidak melihat kelompok gender ini sebagai kelas kedua, kerana kedua-duanya dijanjikan keampunan (maghfirah) dan pahala yang besar (ajran ʿaẓīmā) oleh Allah SWT.

Maka, wanita bukan sekadar perhiasan dunia, bukan juga bahan hiburan sebagaimana yang dilakukan oleh tamadun-tamadun silam, bahkan daripada merekalah pasak tauhid yang pertama dibina dalam diri anak-anak. Mereka juga yang bertindak sebagai murabbiyyah dan murshidah yang melorongkan anak-anak supaya menjadi generasi yang punya upaya yang tinggi untuk menegakkan kalimah-Nya.

KESIMPULAN
Generasi kemenangan yang dinanti (al-jīl al-naṣr al-manshūd) adalah satu frasa untuk menggambarkan generasi penerus mata rantai dakwah yang berlangsung daripada Nabi Muḥammad SAW. Sesiapa yang mengkaji sejarah akan melihat betapa Salafussoleh begitu menghargai anak muda.

Rasulullah SAW pernah mengangkat ʿAttāb bin Usayd menjadi pemimpin kota Makkah pada usianya baru mencecah 17 tahun. ʿUsamah bin Zayd dijadikan ketua pasukan ke Syam pada usia 20 tahun walaupun ada yang lebih dewasa dan berpengalaman daripadanya. Abū Bakr al-Siddīq sendiri memilih Zayd bin Thābit untuk mengetuai projek pembukuan al-Qur’ān walaupun Zayd hanya berusia 22 tahun.

Sudah sampai masanya acuan pendidikan Rasulullah SAW dikembalikan semula dalam sistem pendidikan umat Islam. Itu yang menjadi antara elemen utama perjuangan Abū al-Ḥasan Al-Nadwī semasa zamannya. Tiada salahnya mengenang sumbangan besar beliau dalam dunia Islam, namun lebih utama untuk diagendakan adalah usaha untuk mencetak Al-Nadwī kedua. Jika tidak, kisahnya hanya tinggal sebagai warna romantisisme semata-mata.

Di sinilah peranan para ulama’, para pendakwah dan mufakkir di Malaysia untuk menyusun satu sistem pengajian sintesis turāthi (klasik) dan ʿasrī (kontemporari), bersendikan acuan pendidikan nabawi yang bersifat ta’dībī di mana natijahnya adalah generasi modal insan yang kenal akan Tuhan-Nya serta faham akan peranannya sebagai Khalifah.

Idea-idea kepemudaan Abū al-Ḥasan Al-Nadwī bukan untuk diwacanakan semata-mata. Bahkan, ia perlu terus dipraktikkan dalam kehidupan generasi Y masa kini. Anak muda Islam pastinya perlu terus melazimi karya-karya Abū al-Ḥasan Al-Nadwī, seorang da’i ideologue yang tidak pernah lelah dalam menyampaikan seruan kepemudaan untuk manfaat generasi ummah khususnya pemuda dan pemudi Islam. Tiada jalan untuk mencapai kejayaan melainkan mencontohi mereka yang terdahulu. Memetik puisi Muhammad Iqbal sebagai harapan kepada anak muda, yang dinukilkan oleh Abū al-Ḥasan Al-Nadwī dalam bukunya Glory of Iqbal,[25]

Aku cintakan para pemuda yang
Melemparkan jerat mereka untuk menangkap bintang-bintang
Kurniakanlah (Oh, Tuhan) kepada para pemuda itu munajatku sebelum Subuh,
Kepada helang-helang itu, kurniakanlah bulu dan sayapnya!
Wahai Tuhan! Hamba-Mu ada satu sahaja hasrat—
Kurniakanlah kepada semua nikmat pandangan tajamku!



[1] Al-Qur’ān: Surah al-Baqarah: 247.
[2] Al-Qur’ān: Surah Yūsuf: 55.
[3] Al-Qur’ān: Surah al-Kahfi: 13
[4] Al-Razi, Zayn al-Dīn, Abu Abdullah Muḥammad bin Abi Bakr bin Abd al-Qadir al-Ḥanafi, 1999, Mukhtār Al-Siḥḥaḥ, Beirut: Maktabah al-Asriyyah.
[5] Al-Qurtubi, 1964, Al-Jāmiʿ lī aḥkām al-qur’ān, Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, m. 364.,jil. 10.
[6] Al-Ghuri, Sayyid Abd al-Majid, 2001, Rahlāt al-ʿallāmah abī al-ḥasan ʿalī al-ḥasanī al-nadwī, Beirut: Dar Ibn Kathir, m. 574.
[7] Abdullah Naṣiḥ Ulwan, Hattā Yaʿlam al-Shabāb, Riyadh: Dar al-Salam, m. 4.
[8] Al-Qur’ān. Surah al-Kahf: 13
[9] Rujuk Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, Al-Sirā’ Bayna Al-Īmān Wa Al-Māddiyyah: Ta’ammulāt Fī Sūrat Al-Kahfī.
[10] Al-Ghuri, Sayyid Abd al-Majid, 2001, Rahlāt Al-ʿAllāmah Abī Al-ḥasan ʿAlī Al-ḥasanī Al-Nadwī, m. 618.
[11] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 2005, Faith Versus Materialism: The Message of Surah al-Kahf, Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, p. 46.
[12] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, t.t. Education and Nurturing of Muslim Mass m. 23.
[13] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1984, Mādhā Khasir al-ʿĀlam bī Inḥiṭāṭ al-Muslimīn (terj. Bey Arifin, Yunus Ali al-Muhdlar), Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd. m. 339.
[14] Ibid. m.  342.
[15] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1999. Naṣā’iḥ Wa Tawjīhāt Li Al-Shabāb Al-Muslimīn, Beirut: Dar Ibn Kathir, m. 18-19.
[16] ibid. m. 19-27
[17] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1984, Mādhā Khasir al-ʿĀlam bī Inḥiṭāṭ al-Muslimīn (terj. Bey Arifin, Yunus Ali al-Muhdlar), m. 341.
[18] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1999. Naṣā’iḥ Wa Tawjīhāt Li Al-Shabāb Al-Muslimīn, m. 70-72.
[19] Yoginder Sikand, 2006, Sayyed Abul Hasan ‘Ali Nadwi and Contemporary Islamic Thought in India, The Blackwell Companion to Contemporary Islamic Thought, United Kingdom: Blackwell Publishing, m. 97.
[20] Pengiktirafan kepadanya sebagai tokoh mujaddid diberikan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Menurutnya : “Al-Nadwi adalah kurniaan Allah kepada ummah untuk memperbaharui agama-Nya, mengembalikan semula keyakinan ummah kepada agama, dan mengangkat mereka untuk melaksanakan risalah-Nya.”. Rujuk al-Qaradhawi, Yusuf, 2001, al-Shaykh Abū al-Ḥasan al-Nadwī Kamā ʿAraftuhū, Damshiq : Dar al-Qalam, m. 6.
[21] Rujuk Rijāl al-Fikr wa al-Daʿwah fī al-Islam.
[22] ibid. m. 92.
[23] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1986, Status of Women In Islam, Lucknow : Nadwa Press, m. 17.
[24] Al-Ghuri, Sayyid Abd al-Majid, 2001, Muhāḍarāt Islāmiyyat lī Samāḥah al-ʿAllāmah al-Shaykh Abī al-Ḥasan ʿAli al-Ḥasanī al-Nadwī, Damshiq : Dar Ibn al-Kathir, m. 527 – 537, jil. 2.
[25] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1979, Glory of Iqbal, Lucknow: Lucknow Publishing House, m. 62

No comments:

Post a Comment