Sunday 22 November 2015

Integrasi Naqli dan Aqli [1]


Bismillāhirraḥmānirraḥīm

Kita dapat lihat pada hari ini pertumbuhan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi, Maahad Tahfiz Integrasi, Maahad Tahfiz Sains, Sekolah Rendah Integrasi atau apa sahaja nama yang diletakkan bagi membawa semangat ‘integrasi’ termasuk universiti. 

Ia mendapat sambutan yang hangat kerana modul baru yang ditawarkan; secara asasnya adalah mengintegrasikan ilmu wahyu (revealed knowledge) dan ilmu aqli (acquired knowledge). Itulah yang menjadi tarikan bagi ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke tempat pengajian berkenaan.

Siapa tidak mahu anak menjadi jurutera al-hafiz? Siapa tidak mahu anak menjadi arkitek al-hafiz? Boleh menjadi imam, membaca al-Qur’an dengan lancar atau sekurang-kurangnya memimpin solat jenazah untuk ibu ayahnya kelak?

Maka, ilmu naqli semacam menjadi appended pada ilmu aqli dan bukannya satu bentuk gagasan ilmu yang bersifat holistik sebagaimana The Golden Age of Islam. Matematik masih kekal dengan sistem biasa, Sains masih dipelajari dengan silibus yang sama. Subjek-subjek agama dilihat 'jauh' daripada ruang lingkup subjek non-agama. Cuma, diadun sedikit dengan ayat-ayat al-Qur’an dan al-Hadith untuk menjadikannya wujud unsur islamicisation. ‘Mudahnya’ integrasi pada pemahaman tahap ini. Akhirnya terperangkap dan kembali kepada era gelap bucailleism.  

Mereka yang tertekan dalam memikirkan hal ini semestinya para pensyarah yang menyusun silibus 'baru' ini. Bagaimana ‘mengaqli-naqlikan’ ICT? Bahasa? Sukan? Muzik? Bagaimana ‘mengaqli-naqlikan’ itu dan ini? Adakah sekadar meletakkan al-Qur’an dan al-Hadith pada ilmu-ilmu moden maka itulah naqli-aqli? Adakah semua benda perlu dinaqli-aqlikan? Bagaimana untuk menyusun silibus ini dalam keadaan mereka sendiri adalah daripada latarbelakang yang mengangkat dikotomi ilmu?

Integration, Islamization, Islamicisation, al-Tawjīh al-Islāmī li al-ʿUlum, dan Sains Insani adalah sekadar satu istilah yang pelbagai bagi menggambarkan proses pemaknaan Sains Islam. Walaupun mungkin ada perbahasan berhubung perbezaan islamization dan islamicisation oleh Tan Sri Prof. Muhammad Kamal Hasan, saya kira itu cuma perdebatan dari sudut terminologi. Intinya sama. Pemaknaannya sama. Semua menuju hal yang sama; membentuk pandangan alam Islam yang bersifat sejagat dan setempat.

Memahami makna Sains Islam tidak cukup dengan satu atau dua definisi. Bukanlah saya memaksudkan bahawa ia tidak definitif kerana walaubagaimanapun, sebagai sebuah konsep ia memerlukan penjelasan dan pendekatan yang komprehensif.

Ringkasnya, ia berkait rapat dengan pandangan alam (worldview) kerana pandangan alam Islam (Islamic weltanschauung) terhadap makna realiti, ilmu, nilai dan moral adalah berbeza sama sekali dengan Barat. Lihat sahaja istilah al-ʿilm, al-ʿālim dan al-ʿālam. Ia berasal daripada kata akar yang sama dan menunjukkan konsep integral antara subjek ilmu, objek ilmu dan ilmu itu sendiri. Malah, Franz Rosenthal lebih berani dengan menyatakan bahawa ilmu itu adalah Islam.

Kaitan antara ilmuwan, wahyu dan alam itulah amat mudah difahami kerana adanya āyāt atau tanda-tanda yang akhirnya membawa kepada satu kesimpulan; adanya Tuhan. Kaitan itu juga boleh difahami dengan konsep fitrah sebagaimana yang dilontarkan oleh Ibn Taimiyyah. Menurutnya, alam dan manusia diciptakan dengan fitrah, namun kerana akal manusia yang tidak tercapai untuk memahaminya dengan baik, maka diturunkan fitrah munazzalah iaitu al-Qur’an.

Ini bukti jelas betapa integralnya ajaran Islam dalam memahami alam dan itulah juga asas bagi pengembangan sains dan teknologi. Inilah yang menjadi sebahagian konsep daripada worldview Islam yang menjadi asas kepada lahirnya tradisi intelektual Islam. 

Apa pun, ia bukan tugasan 2-3 tahun melainkan perlu ada penggemblengan usaha, tenaga, masa dan buah fikiran dalam usaha membentuk sebuah framework Sains Islam yang jelas untuk diaplikasikan kepada sebuah institusi pengajian.

Suka saya sarankan untuk membaca makalah-makalah tulisan Dr. Adi Setia Md Dom berkenaan Sains Islam untuk mendapatkan pemahaman yang lebih lanjut. Tulisan-tulisan beliau akan membuka 'pintu' yang lebih luas untuk melihat kupasan gagasan pengIslaman Sains dan pengIslaman ilmu oleh tokoh seperti Seyyed Hossein Nasr, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Osman Bakar, Wan Ramli Wan Daud, Wan Mohd Nor Wan Daud, Mohd. Yusof Othman, Mohammad Alinor Abdul Kadir, Mohd Farid Shahran, Syamsudin Arif, Wan Mohd Saghir dan Zaidi Abdullah. 

Selain itu, ia diteruskan juga oleh institusi seperti (sekadar menyebut beberapa nama) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (CASIS), Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM), Institut Penyelidikan Matematik UPM (INSPEM), Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM (ATMA), Sekretariat Falsafah dan Sains Islam USM (SEFSI) dan Akademi Kajian Ketamadunan (AKK). 

No comments:

Post a Comment