Sunday 22 November 2015

Apa Yang Orang Kita Baca?



Bismillāhirraḥmānirraḥīm

Tadi pagi ke Year-End-Sale Bookfair (YES) anjuran Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) di MAEPS, Serdang. Agak hambar sambutan hari terakhir. Walaupun harga buku berkali-kali ganda murahnya, tetap tidak mampu menarik ramai pengunjung. Banyak faktor yang memungkinkan hal ini.

Bagi YES, mungkin juga soal lokasi yang jauh, parkir kereta dan masalah pengangkutan awam menjadi puncanya.

Saya sekadar ke booth DBP dan ITBM dan mendapatkan beberapa buah buku. Tidak ada hajat untuk meninjau booth lain kerana saya lebih gemar genre buku di kedua-dua booth berkenaan. Bagi saya, YES boleh menjadi kayu ukur awal untuk PBAKL 2016. Mungkin banyak lagi penambahbaikan boleh dibuat. Saya positif akan hal ini.


Disebalik cakap-cakap yang menyatakan rakyat Malaysia malas membaca, saya fikir rakyat kita sudah bergerak keluar dari takuk lama. Bagi yang hadir ke Big Bad Wolf dan beberapa pesta buku besar lain akan nampak perubahan positif ini, Cuma, cukai GST pada barangan lain selain buku mungkin menyebabkan rakyat Malaysia lebih memilih untuk berbelanja. Buku mungkin jatuh ke tempat 4 atau 5 dari segi keutamaan. Hal ini pernah saya bincangkan dengan beberapa individu yang terlibat dalam industri buku. 

Pun begitu, bentuk genre bacaan rakyat Malaysia saya fikir masih boleh diperbaiki. Lambakan buku 'ringan' yang sekadar ada sedikit unsur motivasi dan selebihnya humor tidak akan mengubah kualiti pembacaan rakyat Malaysia. Itu belum masuk buku underground berunsur lucah dan kata kesat yang mula mendapat tempat dalam kelompok anak muda; 'dihalalkan' atas nama kebebasan berkarya. Adab dan falsafah membaca diketepikan.

Kalau berterusan begini, ia sangat membimbangkan. Jika dilihat juga dalam skop ummah, ia juga adalah krisis yang merisaukan. Tanpa menafikan keperluan buku-buku 'ringan' untuk kelompok pembaca tertentu, saya rasa perlu ada anjakan perubahan yang perlu digerakkan oleh NGO. Saya tidak harapkan kerajaan dan parti politik.

Saya sarankan anda membaca artikel oleh Hatem Bazian yang bertajuk Books and reading in the Muslim world: A serious crisis.

Satu hal yang perlu difikirkan bersama.

Bayt al-Harakah
22 November 2015
6.26 PM

No comments:

Post a Comment