Sunday 31 January 2016

Tawḥīd Yang Merdeka



Perang Candu atau Opium War  tercetus tatkala timbul pertempuran sengit antara China dan British. Perang Candu I (1839-1842) adalah peperangan antara China menentang British atau Inggeris. Punca tercetusnya peperangan ini adalah kerana kemasukan candu secara haram oleh Inggeris ke China pada era Dinasti Qing yang begitu ketat mengawal kemasukan ubat-ubatan luar. Sedangkan, Perang Candu II (1856-1860) turut melibatkan satu lagi kuasa besar iaitu Perancis. Menurut beberapa catatan, kedua-dua perang ini tidak menjadikan China sebagai jajahan, akan tetapi lebih kepada kepentingan perdagangan Barat sekaligus melemahkan daya juang rakyat.

Pada awal abad ke-19, opium dibawa oleh para pedagang Inggeris ke China sebagai pengimbang eksport teh Cina ke British. Di bawah kekuasaan Dinasti Yongzgeng, candu menjadi barang dagangan yang cukup popular. Selain tujuan utamanya sebagai ubat, ia juga dihisap dengan paip khas serta diminum dengan arak. Maharaja Yongzheng sebenarnya mengharamkan jualan candu kecuali kepada yang mempunyai lesen bagi tujuan perubatan. Namun, sebahagian daripada rakyat China menyalahgunakannya untuk berfoya-foya.


Dari rakyat kelas bawahan, hingga bangsawan. Semuanya ketagihan candu. Dipendekkan kisah, peradaban China runtuh kerana candu. Penjajah British berjaya melemahkan China dari dalam, tanpa sebarang serangan fizikal.

Saya ada sebuah buku yang menarik, mencerita secara lengkap sejarah Opium War ini, tulisan Julia Lovell. Saya kira, penggemar sejarah China pasti maklum tentang buku ini.

Kesedaran Tauhidik
Kita tidak mahu umat Islam jatuh sebagaimana jatuhnya peradaban China semasa Perang Candu. Cukuplah umat Islam pernah jatuh pada era keruntuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah.

Perancangan teliti untuk menjatuhkan China oleh pihak British begitu terancang, sehinggakan pembesar sendiri tidak menyedarinya. Satu persatu sistem pentadbiran lumpuh bermula daripada rakyat bawahan hinggalah kepada pembesar istana.

Inilah yang sedang dihadapi oleh masyarakat Islam kontemporari. Perancangan bersistem untuk menjatuhkan umat Islam terus-menerus berlaku tanpa kita sedari. Kadangkala, tidak perlu perancangan yang rapi, kerana umat Islam sendiri sudah leka. Cukuplah ingatan daripada Nabi SAW,

“Seorang mukmin tidak boleh dua kali jatuh dalam lubang yang sama.” Riwayat Muslim (5317)

Unsur luar yang memusnahkan cukup banyak. Pengaruh dalam juga tidak sedikit yang merosakkan. Memang wujud pada masa sekarang, idea-idea yang bernuansakan Islam namun mempunyai sesuatu yang tersirat dan disalurkan oleh Barat ke dalam dunia Islam. Inilah yang diumpamakan oleh Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 112 sebagai kata-kata indah yang menipu (zukhrufa al-qawl al-ghurura)

Pernah Saad mengirim Rib’i ibn Amir untuk menghadap panglima Rustum, panglima Parsi sebelum terjadinya Perang Qadisiah. Sewaktu Rub’i masuk ke dalam khemah panglima Rustum, beliau mendapati semua pembesarnya berpakaian mewah. Majlisnya pula dihiasi permaidani dan sutra yang mahal. Panglima Rustum pula duduk di atas singgahsana emas dan bermahkotakan emas, dihiasi batu-batu permata.

Rib’i ketika itu hanya berpakaian sederhana. Dengan perisai dan kuda yang pendek, beliau masuk ke khemah tersebut tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Kaki kudanya dibiarkan mengotori hamparan permaidani dan ditambat kudanya pada salah satu bantal terdekat. Beliau segera menghadap Rustum dengan menyandang senjata dan perisainya. Para pembesar membentak, “Letakkan senjata kamu!” Rib’i membalas, “Sebenarnya aku ke sini atas undangan kalian. Jika kalian senang, biarkan aku begini atau, kalau tidak aku akan pulang.”

Mereka bertanya, “Apa yang mendorong kamu datang ke daerah kami?” Jawab Rib'i,
“Allah telah mengutuskan kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan Allah Ta’ala, daripada kesempitan dunia kepada dunia yang lapang, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”
Ruh tauhid yang cukup mendalam pada ucapan di atas. Padanya tersurat misi yang lebih besar dalam bertauhid berbanding hal-hal akidah yang sering diperdebatkan masyarakat walaupun tidak wajar diperdebatkan. Maka, kalimah Lailaha illallah yang kita bawa, tidak dapat lari daripada tiga matlamat utama yang digariskan oleh Rubai’ ibn Amir.

Menurut Abu al-Hassan Ali al-Hasani al-Nadwi di dalam Maza Khasira al-‘Alam bi Inhitat al-Muslimin, satu-satunya solusi yang dapat meluruskan kepincangan umat Islam pada masa kini adalah iman kepada Allah dan Rasul, iman kepada akhirat dan diikuti penyerahan total kepada Allah dan agama-Nya. Inilah puncak bagi keimanan dan penyelesai bagi kemelut masalah umat Islam.

Menyembah sesama makhluk pada era kini bukan lagi perlu dilihat sebagaimana Fir’aun disembah rakyatnya, atau Bani Malih daripada suku Khuza’ah yang menyembah jin, atau seumpama masyarakat Parsi yang mengkultuskan raja mereka hingga menganggap raja mereka daripada Tuhan. Manusia zaman sekarang menyembah makhluk dengan cara menjadikan ideologi-ideologi moden yang luar daripada Islam sebagai panutan. Tidak semua ideologi moden bermasalah, cuma sebahagiannya sahaja yang bermasalah jika menyentuh perkara-perkara fundamental dalam syariat Islam. Satu isu yang perlu penelitian mendalam, bukannya sikap generalisasi ‘Ini haram! Itu haram! Orang Barat yang buat untuk hancurkan Islam! “

Dunia yang sempit ini boleh diterjemahkan sebagai kesibukan seharian yang melalaikan. Bagi yang tidak memahami matlamat sebenar kehidupan ini, dunia hanya dilihat sebagai tempat untuk mengumpul kekayaan, bersaing antara satu sama lain, dan lain-lain tujuan materialistik. Namun, Islam datang membawa manusia berfikir akan satu dimensi yang lebih jauh iaitu akhirat. Segala urusan di dunia didasari dengan matlamat akhirat. Maka, dunia ini dilihat cukup luas kerana ia adalah ladang yang subur untuk menujut kehidupan abadi di alam sana.

Poin terakhir adalah berkenaan keadilan Islam. Kezaliman agama-agama boleh difahami dengan worldview  agama dan tamadun-tamadun dunia pada ketika itu yang secara amnya hanya seputar skop yang amat-amat kecil. Penindasan dan kezaliman atas nama agama menjadi sesuatu yang normal pada ketika itu. Sekitar 6 – 7 Masihi, dunia sedang berhadapan dengan krisis masyarakat yang sangat meruncing. Lihat sahaja Tamadun Parsi, Tamadun India, Tamadun Rom pada ketika itu. Tidak ada sesuatu yang indah melainkan episod-episod penderitaan rakyat kelas bawahan dan penguasaan total pemerintah ke atas rakyat. Kebobrokan Tamadun Rom misalnya, boleh dibaca dalam buku The History of the Decline and Fall of the Roman Empire tulisan Edward Gibbon. Islam lahir di tengah-tengah padang pasir yang tandus, seterusnya melenyapkan kezaliman-kezaliman tamadun sekelilingnya dengan penyebaran dakwah dan pembukaan kota-kota besar.

Abu A’la Al-Maududi menyatakan, “Sebagaimana halnya dengan din (agama) lainnya, agama Allah ini juga menuntut bahawa seluruhnya mesti diserahkan kepadaNya semata-mata. Sedangkan semua agama yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana kalau agama ini telah berlaku, maka tidak akan ada lagi agama kerakyatan, kerajaan atau agama kaum komunis.”

Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 40,

إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا فَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Perjuangan menegakkan kalimah Tauhid ini adalah tugas yang tertinggi bagi seorang Muslim. Al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat  وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا menyatakan bahawa maksudnya ialah ‘Lailaha Illallah.’ dan ‘janji kemenangan’. Reformis terkenal dalam dunia Islam, Syeikh Rashid Ridha di dalam tafsirnya menyatakan, seruan orang-orang kafir itu kalimah syirik dan kufur manakala kalimah Allah itu ialah kalimah Tauhid.

Perjuangan menegakkan syiar Islam di muka bumi Allah ini bukanlah satu tanggungjawab mudah, namun ia adalah hakikat yang perlu digenggam erat oleh setiap individu yang bergelar Muslim. Sekiranya ia tercapai, maka itulah makna kemerdekaan yang sebenar. Memerdekan hamba daripada tunduk kepada selain daripada-Nya dan mengembalikan mereka untuk tunduk dan patuh hanya kepada-Nya.

Kesimpulan
Rasulullah saw bersabda kepada Ali r.a. ketika menyerahkan bendera mengepalai peperangan Khaibar:

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ
“...hidayah yang diberikan oleh Allah kepada seorang lelaki menerusi kamu lebih baik daripada kamu mendapat unta merah”. (Riwayat al-Bukhari, no. 3071)

Merdeka yang sebenar bukanlah sekadar lantang pada laungannya. Merdeka sebenarnya satu muhasabah kepada semua umat Islam khususnya pendakwah dan abna’ al-harakah untuk menilai, sejauh mana kecintaan kita kepada Islam dengan menyebarkan keindahannya dan berdakwah kepada-Nya. Kemerdekaan ini perlu dipertahankan, dan biar semangat merdeka itu, menggebu dengan roh tauhid.

No comments:

Post a Comment