Sunday 31 January 2016

Ulasan | KEMI (Cinta Kebebasan Yang Tersesat)


JUDUL: KEMI (Cinta Kebebasan Yang Tersesat)
PENGARANG: Dr. Adian Husaini
PENERBIT: Gema Insani
TAHUN: 2010
MUKASURAT: 316

Novel KEMI (Cinta Kebebasan Yang Tersesat) ditulis oleh seorang tokoh pemikir Islam yang tidak asing lagi di Indonesia, dan juga Malaysia. Beliau adalah Dr. Adian Husaini. Jarang sekali melihat tokoh akademik yang terbiasa dengan perbahasan yang berat menceburi bidang penulisan novel. Novel ini mengajak para pembaca mengajak para pembaca untuk ‘terjun’ ke dalam permasalahan akidah yang berlaku dalam kalangan umat Islam ketika ini.


Faham liberalisme ini ternyata telah melahirkan berbagai kehancuran dalam kehidupan manusia. Kehancuran itu meliputi segala aspek kehidupan seperti sosial, ekonomi dan juga politik. Faham ini meracun pemikiran ummah dengan melorongkan pengagumnya untuk melihat Islam dari perspektif yang kononnya lebih terbuka walaupun hakikatnya ia bukan lagi dinamakan sebagai sebahagian daripada Islam . Keinginan sesetengah manusia untuk bebas dari kongkongan agama dan shari’at menjadi sebab utama munculnya faham liberalisme. Ditambah pula dengan kerancuan faham pluralisme yang menyamaratakan kesemua agama, meraikan konsep transcendent unity of religions. Mereka yang terpengaruh dengan faham pluralisme menegaskan bahawa setiap agama hanya berbeza pada level exoteric dan akan bertemu pada tahap esoteric.

Kebobrokan faham ini dikupas seawal halaman 7, apabila Adian Husaini memulakan novel ini dengan menukilkan sebuah sajak berkenaan Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang dicaci maki, umat Islam Indonesia yang menjadi sasarannya, kebebasan pemikiran agama itu semua sama, serta ajakan liberalisme untuk bebas dari kongkongan ajaran agama. KEMI (Cinta Kebebasan Yang Tersesat) mengisahkan tentang dua orang santri (pelajar pondok) yang pintar, Rahmat dan Kemi. Mereka juga merupakan santri kesayangan dan kepercayaan Kyai Rois seorang Kyai pemimpin sebuah pesantren yang bernama Minhajul Abidin, Madiun, Jawa Timur.

Prolognya bermula dengan ketertarikan Kemi kepada kehidupan bebas dan moden di luar pesantren yang digambarkan oleh Farsan. Farsan sebelumnya adalah santri di pesantren yang sama, kemudian hidupnya berubah baik dari sudut pemikiran, gaya hidup, dan juga kekayaannya. Sisi Farsan yang ‘baru’ itu berjaya menambat hati Kemi seterusnya membawa beliau menjadi aktivis liberal.

Sebagai aktivis liberal dan mahasiswa sebuah institut pengajian yang menjunjung tinggi prinsip ‘kebebasan beragama’ iaitu Kampus Damai Sentosa, Kemi pun sudah jauh meninggalkan prinsip dan ajaran Islam yang selama ini ia jalankan, dan semakin melupakan figur Kyai Aminuddin Rois pemilik pesantren tempat ia menimba ilmu sekaligus ayah kepada Cahaya Imani, santriwati yang dikatakan bakal dijodohkan dengannya.

Rahmat faham dengan kekecewaan dan kesedihan Kyai Rois atas pemergian Kemi ke Kampus Damai Sentosa. Beliau bertekad akan mengabdikan diri di pesantren Minhajul Abidin kerana tidak mahu kekecewaan Kyai Rois bertambah. Dalam benak Rahmat berkecamuk dengan 1001 pertanyaan berkenaan tujuan perpindahan Kemi ke kampus tersebut. Kehairanan Rahmat akhirnya sedikit terjawab setelah melihat Farsan alumni pesantren yang sekarang sudah menjadi aktivis liberal yang menjemput Kemi dari pesantren. Rahmat cuba untuk mengingatkan Kemi tentang siapa Farsan tapi nasihatnya seakan diambil ringan oleh Kemi. Dalam masa yang sama, Kyai Rois juga sudah maklum tentang pemergian Kemi dengan Farsan ke Jakarta.

Pemergian Kemi ke Jakarta dan pergaulannya dengan Farsan benar-benar telah membuat Kemi berubah. Kecerdasan Kemi telah mebawanya kepada kegairahan intelektual yang baru. Beliau terus mendalami idea-idea pluralisme, multikulturalisme, kesetaraan gender, dekontruksi syariah hingga ke desakralisasi kitab suci.

Setahun kemudian, Rahmat berkunjung ke Kampus Damai Sentosa dengan membawa amanat dan misi dari Kyai Rois untuk menyedarkan Kemi untuk kembali ke pangkal jalan dan membawa kembali Kemi ke pesantren. Rahmat mendaftar di sana dan memasuki dunia baru Kemi dan bertemu dengan teman-teman Kemi. Salah seorang sahabat Kemi adalah Siti, seorang gadis moden, aktif dan cerdas yang mana kemudiannya menjadi teman baik Rahmat. Siti menceritakan segala aktiviti Kemi dan kumpulannya kepada Rahmat. Siti merasakan bahawa sudah tiba saatnya beliau meminta bantuan Rahmat untuk menolong Kemi keluar dari kelompoknya kerana Siti sedar bahawa beliau sendiri dan Kemi sudah menjadi korban kepada konspirasi jahat golongan liberal.

Sesi perkuliahan yang diikuti Rahmat menemukan beliau dengan Profesor Malikan, Rektor kampus berkenaan. Pemikiran-pemikiran Profesor Malikan ditentang keras oleh Rahmat dalam diskusi ringan di dalam kuliah. Setiap pernyataan yang disampaikan Profesor Malikan berjaya dipatahkan oleh Rahmat sehingga membuat Profesor Malikan malu di depan khalayak mahasiswa lain.

Kehebatan Rahmat mematahkan hujah Profesor Malikan menjadi buah mulut warga kampus. Beliau menjad perhatian ramai di kampus Damai Sentosa. Satu ketika, beliau diundang untuk menghadiri acara diskusi di kampus Damai Sentosa. Panel pada acara diskusi itu adalah seorang Kyai yang berfikiran pluralis, tidak terlalu ketat dalam soal shari’ah dan begitu mengambil berat itu kesetaraan gender bernama Kyai Dulpikir.

Rahmat sekali lagi menarik perhatian ramai apabila berjaya mematahkan pernyataan-pernyataan yang disampaikan oleh Kyai Dulpikir. Beliau yakin bahawa inilah saatnya dia harus berani menyampaikan kebenaran. Pertemuan dengan Rahmat membuat Kyai Dulpikir terkesan, meskipun Rahmat sudah menjatuhkan air mukanya dihadapan para audien dan juga di media cetak dan elektronik. Kyai Dulpikir insaf dengan kesilapannya dan beliau ingin mengenali Rahmat dengan lebih dekat. Keinginan ini disampaikannya kepada Kemi sebelum Kyai Dulpikir akhirnya terjatuh dari kerusinya dan tidak sedarkan diri. Belia akhirnya meninggal dunia dan sempat melafazkan penyesalan atas perbuatannya dan memohon keampunan daripada Allah SWT.

Dalam diam, Kemi dan Siti turut sedar bahwa mereka sudah tersesat jauh. Walaubagaimanapun, Kemi sudah jauh terjerat dan usahanya untuk kembali ke pangkal jalan menyebabkan beliau hampir-hampir dibunuh oleh kelompok liberalis. Beliau disahkan hilang ingatan dan ditempatkan di sebuah hospital. Hubungan baik yang terjalin antara Rahmat dan Siti diam-diam menimbulkan benih cinta diantara mereka. Siti yang kembali ke pesantren bapanya, Kyai Amin berhasrat untuk menebus kesilapannya dengan berbakti kepada pesantren dan dakwah Islam. Hubungan cinta mereka dapat dihidu oleh ibu Siti dan bapanya, Kyai Amin yang telah lama menyimpan hasrat untuk menjadikan Rahmat sebagai menantunya. Tetapi, jalinan rasa cinta itu tidak dapat diteruskan ke gerbang pernikahan kerana Siti sendiri mengambil keputusan untuk mengabdikan diri mendidikan para santri di pesantren bapanya.

Perbahasan berkenaan liberalisme dan pluralisme yang berat dalam novel ini berjaya dikupas oleh Adian Husaini dengan langgam bahasa yang santai. Isu-isu sebegini biasanya dikupas dalam seminar-seminar dan pendekatan berani Adian Husaini untuk memuntahkan isu ini dalam bentuk novel wajar dipuji. Ia bertepatan dengan slogan ‘Bukan Novel Biasa’ yang diletakkan di kulit hadapan buku ini. KEMI (Cinta Kebebasan Yang Tersesat) juga dilihat sebagai satu wasilah baru untuk memberi pencerahan kepada masyarakat berkenaan bahaya ideologi-idelogi seperti ini kepada akidah.

Gaya bahasa beliau tidak terlalu membuai-buai, bertepatan dengan tema utamanya. Di dalam novel ini, pembaca akan didedahkan dengan hujah demi hujah yang membawa kepada satu kesimpulan yang jelas; Islam perlu kepada panduan iaitu al-Quran, al-Hadis dan para ulama’ selaku pewaris para Nabi. Ia tidak boleh dicorakkan sewenang-wenangnya atas nama kebebasan.

Setiap watak dan plot cerita berjaya dikembangkan dengan baik sehinggakan pembaca seakan mahu meneruskan pembacaan tanpa berhenti sehingga ke akhirnya. Adian Husaini juga bijak menyuntik elemen cinta yang diselitkan di bahagian akhir novel yang mana ia juga memberi sedikit ‘perencah’ kepada novel yang membawa tema yang berat. Cuma, lebih menarik jalan ceritanya jika watak Siti dikembangkan dengan lebih luas selain daripada cuma menggambarkan beliau sebagai seorang aktivis liberal yang akhirnya bertaubat.

Selain daripada itu, latar novel sepatutnya lebih diperindahkan dan disusun dengan teliti supaya novel itu mampu mempersembahkan imaginasi yang baik kepada pembaca. Pun begitu, tidak dinafikan latar belakang beliau sebagai ahli akademik sepenuh masa yang terbiasa dengan jurnal-jurnal ilmiah sedikit menghadkan kemampuannya mewarnai latar novel ini. Jika pembaca menginginkan sebuah ‘novel’, saya belum nampak KEMI (Cinta Kebebasan Yang Tersesat) memenuhi keinginan tersebut. Ia masih banyak kelemahan antaranya logika penceritaannya dan kupasan beberapa plot yang terlalu ringkas.

Secara keseluruhannya, novel ini membawa gagasan yang besar untuk menyedarkan masyarakat akan serangan pemikiran yang dibawa oleh Barat untuk menghancurkan Islam secara halus. Ia bukan sekadar mempengaruhi masyarakat awam, bahkan tokoh-tokoh intelektual yang berpendidikan agama pada masa kini. Berpegang kepada akidah yang benar dan mengikut panduan para ulama’ adalah satu-satunya jalan untuk membentengi arus pemikiran ini.

Saya sarankan novel ini kepada mereka yang tercari-cari makna sebenar liberalisme dengan kupasan yang ringan tetapi berisi. Empat bintang untuk KEMI (Cinta Kebebasan Yang Tersesat). Baca dengan teliti kerana ia Bukan Novel Biasa!

No comments:

Post a Comment