Sunday 31 January 2016

Ulasan | Muqaddimah fi Uṣūl al-Tafsīr



JUDUL: Muqaddimah fi Uṣūl al-Tafsīr
PENGARANG: Shaykh al-Islām Ibn Taymiyyah
PENERBIT: Dār al-Waṭan, Riyāḍ
TAHUN: 1995
MUKASURAT: 159

Dalam menafsirkan Al-Qur’an, terdapat beberapa prinsip asas yang biasanya menjadi perhatian seorang mufassir. Di antaranya adalah kesesuaian dengan kaedah Bahasa Arab, penggabungan antara riwāyah dan  dirāyah, mendahulukan penafsiran dengan ayat-ayat al-Qur'an yang lain, menafsirkan dengan hadith, mendahulukan pandangan Sahabat, meneliti asbāb al-nuzūl, dan lain-lain.

Kitab Muqaddimah fi Uṣūl al-Tafsīr atau dikenali juga dengan nama Muqaddimah al-Tafsīr merupakan satu karya Shaykh al-Islām Ibn Taymiyyah dalam bidang ilmu tafsir yang banyak dijadikan rujukan oleh para ulama selepas beliau. Ada juga sebahagian ulama' yang melihat kitab ini sebagai salah satu kitab awal dalam bidang Usul Tafsir. Ianya agak nipis tetapi manfaatnya cukup tinggi sehingga ia dijadikan rujukan oleh al-Zarqānī dalam Manāhil al-ʿIrfān fī ʿUlūm al-Qur’ān dan al-Ṣuyūṭī dalam Al-Itqān fī ʿUlūm al-Qur’ān. Demikian menurut pentahqiq Dr. Adnan Zarzūr.

Saya sempat mempelajar kitab ini (dengan syarah oleh Shaykh al-ʿUthaymīn) daripada kulit ke kulit dengan Ustaz Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar ketika di USIM. Menurut Dr, Ibn Taimiyyah sendiri di akhir hayatnya seakan menyesali kecenderungannya dalam menulis kitab-kitab yang berbentuk kritikan dengan jumlah yang banyak dan amat kurang fokusnya kepada bidang tafsir.

Kitab ini ditulis oleh beliau atas permintaan beberapa individu kepadanya untuk menjelaskan asas-asas dalam memahami bidang tafsir al-Qur'an yang akan membantu untuk memahami al-Qur'an seterusnya menyaring apa yang benar dan salah daripada pemahaman tentang al-Qur'an.

Jika diteliti, metod pentafsiran Ibn Taymiyyah adalah mendahulukan al-Qur'an, Sunnah, pandangan Sahabat dan seterusnya Tabi'in. Beliau meyakini bahawa al-Qur'an telah dijelaskan maksudnya secara keseluruhannya oleh Rasulullah SAW kepada Para Sahabat. Ia dihurai dengan panjang lebar pada bab pertama. Antara lain, Shaykh Amin al-Butoosh ada menjelaskan semasa Daurah di UIAM bahawa al-Qur'an itu sendiri sudah difahami sepenuhnya oleh para Sahabat kerana kefasihan mereka dalam Bahasa Arab. Nuansa para Sahabat pada ketika itu begitu akrab dengan al-Qur'an. ʿUthmān bin ʿAffān dan Ibn Masʿūd adalah antara sahabat yang begitu menekuni al-Qur'an. Mereka tidak akan berganjak daripada ayat al-Qur'an seterusnya selagi tidak memahami, menghafaz dan mengamalkannya dalam kehidupan mereka. Ibn Taymiyyah juga melaporkan bahawa Ibn ʿUmar menghabiskan masa 8 tahun untuk menghafaz Surah al-Baqarah.

Beliau masih mengekalkan metod kritikan yang biasa dilakukan pada kitab-kitab lain untuk kitab ini. Dalam Muqaddimah fi Uṣūl al-Tafsīr, beliau mengkritik hadith palsu dalam tafsir yang dibawa oleh Al-Thaʿbī, al-Wāḥidī dan al-Zamakhsharī berkenaan kelebihan surah-surah al-Qur'an. Selain itu, kritikan juga disampaikan kepada tafsir Shiʿah, Muʿtazilah, Ahli Bidʿah dan segelintir Ṣūfī yang dilihat tersasar dalam metodologi pentafsiran al-Qur'an.

Tafsiran para Salafussoleh memang ada perbezaan antara satu sama lain, namun ianya lebih kepada soal hukum hakam. Ada dua bentuk perbezaan tafsir dalam kalangan Salafussoleh. Perbezaan pertama menurut Ibn Taimiyyah adalah penggunaan kalimah yang berbeza tetapi membawa maksud yang sama. Misalnya kalimah ghadanfar. Ada yang menyatakan ianya singa. Selainnya menyatakan ianya kucing yang besar dan juga haiwan pemangsa. Hakikatnya, ia membawa pemahaman yang sama. Bentuk perbezaan kedua adalah dengan menyebutkan perihal sesuatu berdasarkan gambarannya dalam al-Qur'an. Sebagai contoh, firman Allah SWT dalam Surah Fatir ayat 32:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِنَفْسِهِ وَمِنْهُمْ مُقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ

Maksudnya: "Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri, dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)."

Ada yang mentafsirkan 3 golongan ini (mengikut urutan) sebagai orang yang melewatkan solat ʿIshā’melepasi waktunya, orang yang solat dalam tempoh waktunya dan orang yang solat di awal waktu. Ada juga yang mentafsirkannya dengan (mengikut urutan) orang yang tidak membayar zakat, orang yang hanya membayar zakat yang diwajibkan dan orang yang membayar zakat dan juga menambah amalnya dengan bersedekah.

Menurut beliau, Isrā’iliyyāṭ dalam tafsir itu boleh dibahagikan kepada 3 kategori. (1) Tidak bercanggah dengan syarak, (2), palsu dan bercanggah dengan syarak,  dan (3) tidak seperti kategori (1) dan (2). Kategori (3) ini boleh jadi ianya benar dan salah. Dibolehkan untuk menukilkan daripada kategori (3) ini kerana kebanyakan di dalamnya tidak berkaitan dengan hal keagamaan. Jika dilihat, memang ada kitab tafsir yang membawakan riwayat Isrā’iliyyāṭ dengan ulasan dan tanpa ulasan.

Rūḥ al-Maʿānī oleh Al-Ālūsī misalnya, amat tegas dalam memberi ulasan mengenai tafsiran ayat yang mengandungi riwayat Isrā’iliyyāṭ. Begitu juga Tafsīr al-Qur’ān al-ʿAẓīm oleh Ibn Kathīr, Anwār al-Tanzīl wa Asrār Al-Ta’wīl oleh Al-Bayḍāwī. Tafsir Abī Saʿūd pula agak berbeza dangan yang lain kerana setiap riwayat Isrā’iliyyāṭ akan dimulakan dengan kalimah rawā atau qīla sebagai isyarat menunjukkan kedhaifan riwayat tersebut. Pada saya, Tafsir al-Azhar oleh Buya HAMKA juga agak menarik pendekatannya kerana beliau menyebutkan banyak riwayat Isrā’iliyyāṭ namun dengan ulasan yang amat jelas.

Tafsir al-Tabarī dan al-Jamī’ li Aḥkām al-Qur’ān oleh al-Qurṭūbī pula ada membawa riwayat Isrā’iliyyāṭ namun ia tidak menjejaskan nilai dan kualiti tafsir ini kerana para ulama selepasnya mendapat informasi berguna berkenaan riwayat Isrā’iliyyāṭ dan boleh mengkajinya.

Begitu juga perihal tafsir dengan akal/pendapat, Ibn Taymiyyah ada mengulas tentang hal ini. Baginya, tafsir seperti ini hukumnya haram. Beliau membawakan pelbagai hadith Nabi SAW dan athar sahabat bagi menyokong pandangannya ini. Apa yang difahami, maksud pengharaman itu adalah pengunaan rasional secara total kerana ia dikhuatiri menyeleweng daripada pemahaman sebenar.

Kesimpulannya, Muqaddimah fi Uṣūl al-Tafsīr adalah rujukan yang baik bagi memahami asas-asas dalam bidang tafsir. Ia wajar dijadikan bahan bantu mengajar di masjid dan surau pada masa kini yang dilihat agak kurang membahaskan berkenaan Usul Tafsir tetapi sebaliknya terus 'terjun' kepada perbahasan tafsir. Apatah lagi bagi pelajar bidang Tafsir / Quran dan Sunnah, kitab ini lebih-lebih lagi wajar dikhatamkan dan dihadam dengan baik.

No comments:

Post a Comment