Saturday 6 February 2016

Al-Bayt al-Nabawī: Catatan 060216

https://www.facebook.com/beeprographystudio
Pagi tadi saya berpeluang mempengerusikan Kuliah Dhuha khas guru saya, SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri di Masjid Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Bedong. Kuliah Dhuha ini bersempena dengan walimah sahabat saya, Sabhi Wajdi Mat Asri dan pasangan, Norshuhada A. Halim. 

Berada dalam majlis ilmu bersama SS Tuan Guru, seakan-akan berada dalam kondisi yang dahaga lalu meneguk air yang amat dingin. Sejuknya terasa, menenangkan jiwa.  Tajuk Kuliah Dhuha beliau adalah Keluarga Bahagia, Baytī Jannatī. Saya gabungkan isi penting Kuliah Dhuha dan khutbah nikah oleh beliau kerana isinya berkisar pada tema yang sama.

Ada beberapa noktah penting yang dihuraikan oleh SS Tuan Guru dalam Kuliah Dhuha dan khutbah nikah pagi tadi. Keseluruhannya adalah berkisar tentang manhaj pembentukan Al-Bayt al-Nabawī (Rumahtangga Kenabian) yang mana setahu saya, digunapakai juga istilah ini dalam buku Al-Raḥīq al-Makhtūm oleh Shaykh Safiyurrahman al-Mubarakfuri.

Asas penting yang wajar difahami oleh mereka yang bakal mendirikan rumahtangga ada dua:
  1. Kematangan
  2. Tanggungjawab
Kematangan ini meliputi pada hal minda, pemikiran, tindakan, pergaulan dengan masyarakat dan yang terutamanya adalah dalam hal agama. Bagi isu tanggungjawab, perlu sedar bahawa tanggungjawab selepas berumahtangga lebih besar bagi bagi suami mahupun isteri. Semasa bujang, tanggungjawab mungkin hanya kepada Allah dan ibu bapa sahaja tetapi apabila sudah berumahtangga, ianya pasti berbeza samasekali.

Adakalanya, hal yang kecil mungkin dipandang remeh tetapi kata SS Tuan Guru, sedar tidak sedar, perkara-perkara yang dilihat kecil dan remeh temeh itulah sebenarnya yang sering diungkit oleh pasangan yang sudah mula tidak sehaluan. Maka, sentiasalah cuba untuk terus belajar memahami isihati pasangan masing-masing.

Isteri Mithali
Menurut SS Tuan Guru, Khadijah R.Anha adalah contoh isteri terbaik sepanjang zaman. Khadijah adalah isteri pertama Rasulullah SAW yang cerdas fikirannya dan baik akhlaknya. Beliau bersama dengan Nabi SAW sejak sebelum Baginda diangkat sebagai Rasul. Wahyu pertama yang turun kepada Baginda memberi satu perasaan yang tidak menenangkan kepadanya. Lantas diminta kepada Khadijah untuk menyelimutinya. Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada Baginda selepas wahyu yang pertama?

كَلَّا وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ المَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الحَقِّ

Maksudnya: "Tidak mungkin. Allah tidak akan mengabaikan engkau selamanya. Sesungguhnya engkau sentiasa menjalin hubungan silaturahim, menanggung bebanan orang, menolong orang yang susah, memuliakan tetamu dan membantu kebenaran."

Lafaz yang lembut dan penuh motivasi inilah yang menurut SS Tuan Guru, jarang-jarang ada pada seorang isteri. Isteri yang mithali sewajarnya memberi kekuatan kepada suami dan sentiasa memberi sepenuh keyakinan kepadanya sebagai ketua keluarga.

Suami Mithali
Selain menjalankan kewajipan sebagai ketua keluarga, seorang suami sewajarnya tidak culas  dan ringan tulang membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Ini adalah sebagaimana yang ditanya oleh al-Aswad bin Yazid, "Apa yang dilakukan Nabi saw dalam rumahtangganya? Jawab Aishah R.Anha,

كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ، فَإِذَا سَمِعَ الأَذَانَ خَرَجَ

Maksudnya: "Baginda membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Apabila tiba waktu solat, Baginda keluar untuk bersolat." (Riwayat al-Bukhari, no. 5363)

Suami bertanggungjawab membawakan suasana ilmu dan amal dalam rumahtangga. Rumahtangga yang bahagia datangnya juga daripada hubungan yang erat dengan Allah SWT. Amat mustahil pasangan yang dekat dengan Allah SWT, memilih untuk berpisah. Ini adalah kerana matlamat rumahtangga mereka meletakkan Allah SWT sebagai tujuan utama.

Kesimpulannya, kebahagiaan dalam rumahtangga itu bukanlah pada banyaknya harta, besarnya rumah atau tingginya jawatan. Kebahagiaan itu adalah berpunca daripada taqwa. SS Tuan Guru membawakan satu kisah yang menarik yang diakhiri dengan sebuah syair

ولستُ أرى السَّعادةَ جَمْعَ مالٍ*ولكنَّ التَّقِيَّ هو السَّعيدُ

Maksudnya: Tidaklah aku melihat kebahagiaan itu pada timbunan harta * Tetapi takwa itulah satu kebahagiaan. (Diwan al-Hutay'ah bi riwayah wa sharh Ibn al-Sakit)

Kenangan diakadkan oleh guru yang dikasihi

No comments:

Post a Comment