Saturday 30 January 2016

Menentukan Seseorang Sebagai Ahli Syurga Atau Neraka


Isu mentakfirkan sesama Muslim berlaku sejak sekian lamanya dalam sejarah Islam. Hal ini juga menarik perhatian Shaykh Yusuf al-Qaradhawi untuk mengarang sebuah buku yang berjudul 'Zhahirat al-Ghuluww fi al-Takfir' berdasarkan sebuah surat yang ditujukan kepadanya berhubung masalah ini.

Dalam konteks Malaysia, kita dapat melihat fenomena dalam kalangan masyarakat awam yang bermudah-mudahan mengkafirkan seseorang yang berbeza aliran mahupun parti politik. Ia semakin membarah apabila seakan-akan tidak ada teguran secara serius daripada pemimpin ataupun agamawan daripada aliran dan parti masing-masing. Begitu juga segelintir masyarakat awam yang terlalu memuliakan seseorang individu sehingga meletakkan keyakinan 100% bahawa dia adalah ahli syurga.

Maka, artikel ringkas ini ditulis secara umumnya bagi menjelaskan hukum meletakkan label secara khusus kepada seseorang sebagai ahli neraka atau syurga.


Kaedah dalam Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah menyatakan bahawa urusan syurga dan neraka bagi seseorang manusia adalah wajib berlandaskan al-Qur'an dan al-Sunnah. Ini bermaksud, tidak boleh sewenang-wenangnya memberi gelaran kepada seseorang itu sebagai 'ahli syurga' atau 'ahli neraka'. 

Ini adalah kerana, hanya Allah SWT yang mengetahui pengakhiran seseorang hamba-Nya samada di syurga atau neraka.

Dalam hal ini, terdapat dua bentuk penyaksian yang wajar difahami.

Penyaksian Umum: Sesiapa yang syirik kepada Allah, maka dia terkeluar daripada Islam dan tempatnya di akhirat adalah di neraka. Bentuk penyaksian seperti ini banyak terdapat dalam al-Qur'an dan al-Hadith. Contohnya sabda Nabi SAW: 

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala Allah, diampunkan dosanya yang lalu." [Riwayat al-Bukhari, no. 38]

Penyaksian Khusus: Menentukan seseorang secara khusus seperti menyebut namanya, maka ini tidak dibenarkan kecuali ada dinyatakan oleh Allah dan Rasul. Contohnya seperti 10 orang sahabat yang dijamin syurga. Maka, mereka ini jelas dikategorikan sebagai ahli syurga kerana ada hadith tentangnya.

Kata Imam Ahmad bin Hanbal,

ولا ننزل أحداً من أهل القبلة جنة ولا ناراً، إلا من شهد له رسول الله صلى الله عليه وسلم بالجنة

Maksudnya: "Kita tidak menjatuhkan hukum bagi ahli qiblat itu tempatnya di syurga atau neraka (sewenang-wenangnya), kecuali yang disaksikan oleh Rasulullah SAW dengan syurga." [Tabaqat al-Hanabilah, 1/312]

Kata Imam al-Tahawi,

ولا ننزل أحداً منهم جنة ولا ناراً

Maksudnya: "Kita tidak menjatuhkan hukum bagi ahli qiblat itu tempatnya di syurga atau neraka (sewenang-wenangnya)" [Sharah al-'Aqidah al-Tahawiyyah, 2/537]

No comments:

Post a Comment