Sunday 10 January 2016

Persaingan Merebut Harta Dunia



Daripada 'Uqbah bin 'Amir bahwa suatu hari Rasulullah SAW keluar dan solat kepada para sahabat yang tewas di perang Uhud, lantas beliau menuju mimbar dan bersabda:


‏ إِنِّي فَرَطُكُمْ وَأَنَا شَهِيدٌ عَلَيْكُمْ، وَإِنِّي وَاللَّهِ لأَنْظُرُ إِلَى حَوْضِي الآنَ، وَإِنِّي قَدْ أُعْطِيتُ مَفَاتِيحَ خَزَائِنِ الأَرْضِ ـ أَوْ مَفَاتِيحَ الأَرْضِ ـ وَإِنِّي وَاللَّهِ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ أَنْ تُشْرِكُوا بَعْدِي، وَلَكِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ أَنْ تَنَافَسُوا فِيهَا ‏
Maksudnya: “Aku lebih dahulu wafat daripada kalian, dan aku menjadi saksi atas kalian, dan aku demi Allah, sungguh telah melihat telagaku sekarang, dan aku diberi kunci-kunci perbendaharaan bumi atau kunci-kunci bumi. Demi Allah, aku tidak mengkhuatirkan kalian akan berbuat syirik sepeninggalanku, namun yang aku khuatirkan atas kalian adalah kalian bersaing terhadap kekayaan-kekayaan bumi." (Riwayat al-Bukhari, no. 6426)

Renungan
Sabda Nabi SAW

يَدْخُلُ الْفُقَرَاءُ الْجَنَّةَ قَبْلَ الأَغْنِيَاءِ بِخَمْسِمِائَةِ عَامٍ 
Maksudnya: “Orang fakir akan masuk ke dalam syurga sebelum orang kaya dengan jarak masa 500 tahun.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 2353)

Kekayaan itu satu ujian disamping sebagai rahmat daripada Allah SWT. Jika tidak, masakan Abdurrahman bin Auf apabila mendengarkan hadith ini, beliau amat risau akan nasibnya dan gusar kekayaannya itu akan menjauhkan dirinya daripada rahmat Allah SWT di akhirat kelak. Maka, beliau telah mendermakan seluruh hartanya ke jalan Allah SWT.

Banyak manusia ‘menyembah’ harta secara tidak sedar. Wang dijadikan motivasi utama untuk kehidupan mereka. Wang yang banyak ditayangkan di media sosial sebagai ‘bukti kejayaan’ mereka dan memperdaya manusia lain. Ada yang sanggup menggadaikan agama demi wang. Ada juga yang putus silaturrahim kerana wang. Sedar atau tidak, benarlah sabda Nabi SAW:

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ، وَالدِّرْهَمِ، وَالقَطِيفَةِ، وَالخَمِيصَةِ، إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ، وَإِنْ لَمْ يُعْطَ لَمْ يَرْضَ
Maksudnya: “Binasalah hamba dinar, hamba dirham dan hamba pakaian (al-Qatifah dan al-Khamisah adalah jenis pakaian). Jika diberi maka dia redha jika tak diberi maka ia tak redha.”(Riwayat al-Bukhari, no. 2886)

Hadith ini tidak terhad kepada dinar, dirham dan pakaian sahaja bahkan apa sahaja harta benda yang melalaikan kita daripada Allah SWT. Ia boleh datang dalam bentuk kereta, rumah, jawatan dan lain-lain. Mengumpul harta kekayaan itu bukan satu kesalahan, bahkan dalam kalangan Sahabat Nabi SAW juga ada yang kaya. Ia akan menjadi salah apabila ia dilihat sebagai segala-galanya mengatasi Allah SWT. 

Bagi yang hidupnya sederhana atau serba kekurangan, tidak ada nikmat yang lebih besar berbanding menjadi hamba-Nya yang Maha Kaya!

No comments:

Post a Comment