Wednesday 30 December 2015

Sambutan Tahun Baru: Penilaian Semula



Sambutan Tahun Baru yang biasa diadakan di Malaysia dan seluruh dunia adalah mengikut kalendar Gregorian hasil ciptaan Pope Gregory XII.

Setiap kali menjelang tahun baru, akan timbul persoalan sekitar hukum menyambutnya. Hujah-hujah yang dibahaskan tidak akan lari daripada dua hukum; haram dan harus (dibolehkan). Antara ulama' silam yang mengharamkannya adalah Imam al-Suyuti dalam buku al-Amr bi Ittiba' wa al-Nahy 'an al-Ibtida' 
Apa yang dilakukan oleh ramai orang pada musim sejuk, dan mendakwanya sebagai hari kelahiran Nabi Isa. Maka, perkara-perkara mungkar yang dibuat pada malam-malam ini seperti menghidupkan api, menyediakan makanan, membeli lilin dan selainnya; sesungguhnya mengambil hari-hari kelahiran ini sebagai perayaan, ia adalah (daripada) agama Kristian. Perkara ini tiada asas dalam Islam. Sambutan hari lahir ini tidak pernah disebut pada zaman salaf terdahulu. Bahkan asalnya diambil daripada agama  Kristian, ditambah pula dengan sebab semulajadi, iaitu pada musim sejuk, maka bersempena itu dinyalakan api. [al-Amr bi Ittiba' wa al-Nahy 'an al-Ibtida' , m. 122]
Antara yang mengharamkannya juga adalah Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah (rujuk Iqtidha' al-Sirat al-Mustaqim), Ibn Qayyim (rujuk Ahkam Ahl al-Dhimmah), Shaykh Muhammad bin Ibrahim, Shaykh Abdul Aziz bin Baz, Shaykh Muhammad Nasiruddin al-Albani, Shaykh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin [http://www.ahlalhdeeth.com/vb/showthread.php?t=157328]. Semuanya berpegang kepada satu hadith, 

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka
[Riwayat Abu Daud, no. 4031]

Kalendar Gregorian adalah ciptaan orang bukan Islam dan secara sejarahnya, ada kaitan dengan agama. Walaubagaimanapun, imej agama ini semakin lama semakin terhakis. Buktinya, masyarakat kini tidak lagi memandang ia sebagai satu simbol agama bahkan ia telah menjadi kalendar rasmi seluruh dunia. Oleh itu, saya cenderung kepada pandangan bahawa sambutan Tahun Baru dibolehkan dengan bersyarat.

Saya lihat, pemahaman yang baik adalah sebagai yang ditegaskan oleh Shaykh Abdallah bin Mahfudh ibn Bayyah; perlu ada perbezaan antara memahami istilah al-tasyabbuh (menuruti) dan al-mushabahah (menyerupai/persamaan). Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (al-mushabahah). [Rujuk sini untuk teks asal dan sini untuk versi audio]
Dalilnya adalah sebagaimana di bawah:

Dalam kaedah fiqh ada dijelaskan

العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ
Adat (yang tidak bercanggah dengan Syara') boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan. [Rujuk al-Suyuti, al-Ashbah wa al-Nazha'ir, m. 89; Ibn Nujaym, al-Ashbah wa al-Nazha'ir, m. 93]

إنَّما تُعْتَبُر العادَةُ إذا اطَّرَدَتْ أو غَلَبَتْ
Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti [Rujuk Ibn Nujaym, al-Ashbah wa al-Nazha'ir, m. 94; Ali Ahmad al-Nadwi, al-Qawa'id al-Fiqhiyyah, m. 65]

Sebagaimana komentar Ibn 'Abidin terhadap Durr al-Mukhtar pada perbahasan hukum membaca mushaf dalam solat yang dikatakan menyerupai ahli kitab, katanya:

قَالَ هِشَامٌ: رَأَيْت عَلَى أَبِي يُوسُفَ نَعْلَيْنِ مَخْصُوفِينَ بِمَسَامِيرَ، فَقُلْت: أَتَرَى بِهَذَا الْحَدِيدِ بَأْسًا؟ قَالَ لَا قُلْت: سُفْيَانُ وَثَوْرُ بْنُ يَزِيدَ كَرِهَا ذَلِكَ لِأَنَّ فِيهِ تَشَبُّهًا بِالرُّهْبَانِ؛ فَقَالَ «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - يَلْبَسُ النِّعَالَ الَّتِي لَهَا شَعْرٌ» وَإِنَّهَا مِنْ لِبَاسِ الرُّهْبَانِ. فَقَدْ أَشَارَ إلَى أَنَّ صُورَةَ الْمُشَابَهَةِ فِيمَا تَعَلَّقَ بِهِ صَلَاحُ الْعِبَادِ لَا يَضُرُّ... وَفِيهِ إشَارَةٌ أَيْضًا إلَى أَنَّ الْمُرَادَ بِالتَّشَبُّهِ أَصْلُ الْفِعْلِ: أَيْ صُورَةُ الْمُشَابَهَةِ بِلَا قَصْدٍ.

Hisham berkata: Aku melihat Abu Yusuf (memakai) sepasang sandal yang dijahit dengan paku-paku. dan berkata: 'Adakah kamu merasa susah memakai ini? Dia menjawab, 'Tidak'. Aku berkata, 'Sufyan dan Thaur bin Yazid tidak suka kepada sandal ini kerana ia menyerupai rahib. Beliau menyatakan, 'Nabi SAW memakai sandal yang mempunyai bulu di atasnya.' (Ibn 'Abidin menyatakan) Sesungguhnya ia (sandal itu) adalah daripada pakaian rahib. Maka ini menunjukkan bahawa apa-apa persamaan / penyerupaan yang berkaitan dengan kebaikan manusia adalah tidak bermasalah ... dan ini juga menunjukkan mengenai asal perbuatan meniru itu - ia adalah bentuk persamaan tanpa niat. [Rujuk Ibn 'Abidin, Radd al-Muhtar 'ala al-Durr al-Mukhtar, jil. 1., m. 624]

Beberapa perkara wajar diambilkira bagi menghapuskan hal-hal yang membawa kepada kemungkaran dalam Sambutan Tahun Baru. Antaranya adalah pesta / konsert yang bercampur lelaki dan perempuan, dihidangkan dengan arak dan pengisian program yang membawa kepada kelalaian.

Sejak awal tahun ini, Sambutan Tahun Baru anjuran pihak kerajaan dilihat mula 'bertukar wajah' kepada lebih bersifat sederhana dan berunsur keagamaan; secara jelasnya selepas tragedi MH370. Pada saya, ianya adalah satu perubahan yang baik berbanding tahun-tahun sebelumnya yang dipenuhi dengan konsert-konsert. Dalam masa yang sama, masjid-masjid seluruh Malaysia dilihat lebih terkehadapan dan lebih awal membawakan alternatif dalam menganjurkan program ilmiah sempena Sambutan Tahun Baru.

NGO-NGO dan universiti juga sepatutnya menghidangkan alternatif yang berfaedah dan bermanfaat sebagai acara Sambutan Tahun Baru yang lebih bermakna bagi umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia berbilang agama secara amnya.

Wallahua'lam.
_________________________

p/s Maaf atas huraian yang agak ringkas kerana saya masih dalam minggu peperiksaan. Tak sempat nak hurai lebih lanjut.

No comments:

Post a Comment