Wednesday 23 December 2015

40 Cadangan Literatur Tentang Nabi Muhammad SAW


Daripada Abu Ruqaiyah Tamin bin Aws al-Dari RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

«الدِّينُ النَّصِيحَةُ» قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: «لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ»
“Agama itu adalah nasihat. Kami bertanya: Untuk siapa?” Sabda Nabi SAW: “Untuk Allah, Kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya dan para pemerintah Muslimin serta orang-orang awam mereka.” [Riwayat Muslim, no. 55]

Hadith ini adalah salah satu dari jawāmi’ al-kalim Rasulullah SAW. Jawami’ al-kalim adalah untaian lafaz yang ringkas tetapi mengandungi pengertian dan faedah yang cukup banyak. Padanya kita akan memperoleh pelbagai sunnah dan hukum syarak samada usul ataupun furu’ (cabang-cabang).

Saya tidak berhajat membahaskan perihal hukum sambutan Maulidurrasul kerana sudah terlalu banyak fatwa para ulama’ berkenaan hal ini. 

Saya berpada dengan menerima keharusan sambutannya berdasarkan pandangan beberapa tokoh antaranya Jalaluddin al-Suyuti, Ibn Hajar al-Haithami, Ibn al-Battal, Al-Hafiz Shamsuddin Muhammad bin Nasiruddin al-Dimashqi, Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, Shaykh Abdul Halim Mahmud, Shaykh Atiyyah Saqr dan Shaykh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi. Shaykh Dr. al-Syarif Hatim al-Awni adalah ulama' Saudi yang mengharuskannya dengan bersyarat. Pun begitu, sambutannya perlu dipelihara dengan adab-adab yang dituntut syarak dan tidak dicemari penyebaran hadith palsu, maksiat dan pemujaan yang melampau-lampau.

Dalam masa yang sama, saya amat menghormati fatwa pengharamannya oleh sebahagian para ulama' seperti Shaykh Abdul Aziz bin Baz, Shaykh Muhammad Al Uthaimin, Shaykh Dr Soleh al-Fauzan, Shaykh Nasiruddin al-Albani dan Lajnah Daimah Kerajaan Arab Saudi. Hakikatnya, adalah sesuatu yang amat merugikan jika kita terus berbalah pada hal ini dalam keadaan umat Islam masih ramai yang ‘buta’ Islam, apatah lagi ‘buta’ Sunnah.

Bagaimanakah untuk mencapai makna ‘nasihat untuk Rasul-Nya’? Pertama, ia akan tercapai dengan membenarkan risalah-Nya dan beriman dengan dua perkara yang diturunkan kepada Baginda SAW iaitu al-Qur’an dan Sunnah.

Kedua, mendapatkan kecintaan kepada Rasul SAW. Bagaimana mahu memperolehnya? Cinta kepada Rasulullah SAW akan dikecapi dengan adanya cinta kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad kepada umatmu): “Jika kamu benar-benar mencintai Allah, maka ikutilah aku maka kamu akan dicintai oleh Allah.” [Surah Ali ‘Imran: 31]

Shaykh Abd al-Rahman al-Sa’di menegaskan bahawa kalimah (قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ) ini adalah satu seruan kepada martabat tertinggi dalam kecintaan (iaitu cinta kepada Allah). Ianya tidak cukup hanya dengan dakwaan bahkan perlu kepada pembuktian. Bukti bagi cinta pada Allah adalah menuruti Rasulullah SAW dari segi perlakuan, perkataan, pengakuan, pada usul agama dan cabang-cabangnya, zahir serta batin. [Taysir al-Karim al-Raḥman fi Tafsir al-Kalam al-Mannan, m. 128]

Selain itu, ‘nasihat untuk Rasul-Nya’ juga terpakai selepas kewafatan Baginda SAW. Bagaimana? Dengan membaca sirahnya, menghidupkan sunnah dalam kehidupan dan berakhlak dengan akhlaknya.

Inilah yang sewajarnya disedari oleh umat Islam masa kini. Slogan ‘Cinta Rasul’ semestinya dimaknakan dengan menghayati sejarah hidup Baginda, perjuangannya, dan yang antara yang paling penting juga adalah akhlaknya. Berapa ramai yang mengaku mengikut jalan sunnahnya tetapi akhlak diketepikan? Berapa ramai juga yang mengaku mencintai Baginda sepenuh hati tetapi tidak pernah mengenali hatta sebuah buku tentang Baginda?

Seseorang yang menyatakan dirinya mencintai Rasulullah SAW perlu bertanya kepada dirinya; 
  1. Apakah aku sering berselawat kepadanya? 
  2. Apakah aku telah melakukan apa yang diperintahkannya? 
  3. Apakah aku telah mempelajar sejarahnya yang mulia? 
  4. Apakah petunjuk sunnahnya dapat mengalahkan pendapat dan hawa nafsuku?
Justeru, asas yang baik adalah mengenali Baginda SAW dengan memiliki dan membaca sekurang-kurangnya sebuah buku tentang Rasulullah SAW.

Suka saya mencadangkan beberapa rujukan yang baik berkenaan Nabi SAW untuk dibaca oleh kita dalam mengenali Baginda SAW. Buku-buku ini ditulis dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris (bahasa asal) dan ada yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Ada juga antaranya adalah tulisan orientalis Barat namun ia ditulis dengan sumber yang autentik dan tepat. Justeru, ia tidak bermasalah untuk dibaca. Beberapa buah buku yang saya senaraikan di bawah ini antaranya boleh dimuatturun dalam format PDF.
  1. Al-Mukhtasar fi Sirati Sayyid Khair al-Bashar oleh Abd al-Mu'min al-Dimyati
  2. Al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisham 
  3. Al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Ishaq
  4. Al-Wafa' bi Ahwal al-Mustafa oleh Ibn al-Jauzi
  5. Uyun al-Hikayat fi Sirat Sayyid al-Bariyyah oleh Ibn al-Jauzi
  6. Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Kathir
  7. Zad al-Ma'ad oleh Ibn Qayyim
  8. Al-Tibb al-Nabawi oleh Ibn Qayyim
  9. Sirah Nabawiyyah oleh Maulana Abu al-Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi
  10. Muhammad The Last Prophet oleh Maulana Abu al-Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi
  11. Al-Rahiq al-Makhtum oleh Shaykh Safiyurrahman al-Mubarakfuri
  12. Sirah Nur al-Yaqin oleh Shaykh Mustafa Khudari Bik
  13. The Life of  Muhammad oleh Muhammad Husayn Haykal
  14. Muhammad, His Life Based on the Earliest Sources oleh Martin Lings
  15. And Muhammad is His Messenger oleh Annemarie Schimmel
  16. The Life of the Prophet Muhammad oleh Shaykh Hamza Yusuf
  17. Muhammed: All That Matters oleh Ziauddin Sardar
  18. Muhammad: A Biography of the Prophet oleh Karen Armstrong
  19. Al-Shama'il al-Muhammadiyyah oleh Imam al-Tirmidhi
  20. Al-Insan al-Kamil oleh Shaykh Muhammad bin Alawi al-Maliki
  21. Al-Anwar fi Shama'il Nabi al-Mukhtar oleh al-Baghawi
  22. Sharaf al-Mustafa oleh Abd al-Malik bin Muhammad bin Ibrahim al-Naisaburi
  23. Dala'il al-Nubuwwah oleh Imam al-Baihaqi
  24. Al-Shifa' bi Ta'rif Huquq al-Mustafa oleh Qadhi 'Iyadh
  25. Di Bawah Naungan Sirah Nabawiyyah oleh Amr Khalid
  26. Nur al-Iqtibas fi Misykat Wasiyyat al-Nabi li Ibn Abbas oleh Ibn Rajab al-Hanbali
  27. Bidayat al-Sul fi Tafdhil al-Rasul oleh Izzuddin Abdul Salam
  28. Prophet Muhammad and His Miracles oleh Bediuzzaman Said Nursi
  29. The Messenger of God Muhammad: An Analysis of the Prophet’s Life oleh M. Fethullah 
  30. Following Muhammad: Rethinking Islam in Contemporary World oleh Carl W. Ernst
  31. Muhammad: A Prophet for Our Time by Karen Armstrong
  32. In the Footsteps of the Prophet oleh Tariq Ramadan
  33. The Messenger: The Meanings of the Life of Muhammad oleh Tariq Ramadan
  34. Sirah Nabawiyyah: Durus wa 'Ibar oleh Dr. Mustafa Siba'i
  35. When the Moon Split oleh Shaykh Safiyurrahman al-Mubarakfuri
  36. Fiqh al-Sirah oleh Shaykh Muhammad al-Ghazali
  37. Fiqh al-Sirah oleh Shaykh Muhammad Said Ramadhan al-Buti
  38. Fiqh al-Harakah dari Sirah Nabawiyyah oleh TG Haji Abdul Hadi Awang
  39. Fiqh Hijrah oleh SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
  40. Makrifah Rasulullah oleh SS Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Selamat Menyambut Maulidurrasul.

No comments:

Post a Comment