Monday 7 December 2015

Kunci, Pintu dan Sabar


Atas inisiatif sendiri saya bertanyakan kepada Tan Sri Prof. Dr. Mohd Kamal Hassan berkenaan tesisnya yang berkenaan ubudiyyah di sisi al-Sha'rani. Dan beliau menawarkan untuk meminjamkan tesisnya bagi rujukan saya.

Pertemuan dengan Dr. Isham Pawan (atas cadangan SV saya), pensyarah bidang Logic dan Philosophy IIUM sebentar tadi membincangkan berkenaan dengan modern logic (mantiq hadith). Beliau mencadangkan sebuah buku yg baik ( Logic, Rhetoric and Legal Reasoning in The Quran oleh Rosalind Ward Gwynne) sebagai asas teori logic minta saya masuk ke kelas undergraduate untuk belajar dengannya sem depan. Insha Allah, jika tiada aral melintang.

Saya ingin belajar logic kerana subjek Mantiq di USIM pada peringkat undergraduate dulu terlalu asas dan sifatnya menghafal, bukan kepada aplikasi. Itu yang tiada pada mantiq klasik. Selain itu, ia mungkin juga membantu saya menyelesaikan disertasi saya yang juga yang seputar kewujudan Allah, akal, kalam dan pemikiran Islam.

Dalam masa yang sama, saya ceritakan kepada beliau berhubung perjalanan disertasi Master saya berkenaan al-Sha'rani. Beliau mencadangkan saya bertemu Dr. Hikmatullah Babu Sahib, pensyarah di Department of General Studies, IIUM yang tesis PhDnya berkenaan kajian kitab Mizan al-Kubra oleh al-Sha'rani. Seakan mendapat satu suntikan baru. Saya sudah berjumpa 'pintu' seterusnya untuk kajian disertasi saya!

Itulah kehidupan penuntut ilmu. Bila sudah jumpa kunci yang pertama, kita akan jumpa pintu pertama untuk ke pintu-pintu seterusnya. Dan bagi setiap pintu, ada kuncinya yang perlu dicari. Ilmu tidak akan dapat sekelip mata melainkan kita datang kepadanya. Kalau tidak ada kesabaran dan sekadar ikut-ikutan, usah jadikan pengajian pascasiswazah satu pilihan. 

Saya kongsikan satu petikan daripada Ihya' Ulum al-Din karangan Imam al-Ghazzali:

دخلت على هارون الرشيد فقال لي يا أبا عبد الله ينبغي أن تختلف إلينا حتى يسمع صبياننا منك الموطأ قال فقلت أعز الله مولانا الأمير إن هذا العلم منكم خرج فإن أنتم أعزرتموه عز وإن أنتم أذللتموه ذل والعلم يؤتى ولا يأتي فقال صدقت اخرجوا إلى المسجد حتى تسمعوا مع الناس
Aku (Imam Malik) pernah bertemu Khalifah Harun al-Rashid dan baginda berkata kepadaku: "Wahai Abu Abdullah, kamu sewajarnya datang kepadaku, supaya anak-anakku boleh mendengar (belajar) daripadamu kitab al-Muwatta'." Aku menjawab: "Moga Allah mengangkat darjatmu, Tuanku. Sesungguhnya ilmu ini datang daripada Tuanku sendiri. Jika Tuanku memuliakannya, ia akan menjadi mulia. Jika Tuanku menghinakannya, maka ia akan menjadi hina. Ilmu itu (sifatnya) didatangi (perlu mencarinya), bukan mendatangi (menunggu ilmu datang). Katanya: "Kamu benar. (Baginda berkata kepada anak-anaknya) Keluarlah ke masjid untuk mendengar (ilmu Imam Malik) bersama-sama masyarakat." [Ihya' Ulum al-Din, jil. 1, m. 28]

Ilmu itu sifatnya sebagaimana yang kita harapkan. Ianya 'hidup' dan sentiasa mencerahkan bagi yang ada kesedaran. Apa yang penting adalah adab dengannya dan kejar ia sebelum ia meninggalkan kita.



No comments:

Post a Comment