Wednesday 31 August 2016

Bagaimana Iblis Menggoda Adam 'Alayhissalam Sedangkan Dia Telah Dikeluarkan Daripada Syurga?



Hal ini ditanyakan oleh pelajar saya.
Bagaimana iblis menggoda Adam 'alayhissalām sedangkan dia telah dikeluarkan daripada syurga?
JAWAPAN

Iblis Diusir Daripada Syurga 
Firman Allah SWT:

وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ أَبَى وَاسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ
Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir." [Surah al-Baqarah: 34]

Setelah Allah swt menciptakan Adam, maka Dia memerintahkan seluruh malaikat termasuk iblis untuk bersujud kepada Adam. Sujud sebagai tanda penghormatan kepada Adam, mengakui kelebihannya dan mematuhi perintah Allah SWT. Seluruh malaikat mentaati perintah Allah SWT dengan bersujud kepada Adam kecuali iblis.

Perbuatannya ini menjadikannya keluar dari ketaatan kepada Allah SWT dan menjadikannya sebagai makhluk Allah pertama yang kafir kepada-Nya. Kisah ini dirakamkan dalam Sura Sad ayat 73 - 78

فَسَجَدَ الْمَلَائِكَةُ كُلُّهُمْ أَجْمَعُونَ (73) إِلَّا إِبْلِيسَ اسْتَكْبَرَ وَكَانَ مِنَ الْكَافِرِينَ (74) قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنْتَ مِنَ الْعَالِينَ (75) قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ (76) قَالَ فَاخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ (77) وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِي إِلَى يَوْمِ الدِّينِ (78)
(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, -Melainkan Iblis; ia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah ia dari golongan yang kafir. Allah berfirman: " Hai lblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? " [Surah Sad: 73-78]

Oleh kerana keengganannya untuk sujud, iblis telah dikeluarkan daripada syurga.

Bagaimana Iblis Masuk Ke Dalam Syurga dan Membisikkan Hasutan?
Firman Allah SWT

فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطَانُ لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وُورِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْآتِهِمَا وَقَالَ مَا نَهَاكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ إِلَّا أَنْ تَكُونَا مَلَكَيْنِ أَوْ تَكُونَا مِنَ الْخَالِدِينَ
"Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan) mereka, sambil ia berkata: "Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)". [Surah al-A'raf: 20]

Ibn Mas'ud dan Ibn 'Abbas serta majoriti ulama' menyatakan bahawa iblis menghasut keduanya secara lisan. Dalilnya adalah Surah al-A'raf ayat 21 (وَقَاسَمَهُمَا إِنِّي لَكُمَا لَمِنَ النَّاصِحِينَ). Ini adalah kata kunci penting bagi memahami isu ini.

Bagaimana Iblis boleh 'masuk semula' ke syurga setelah diusir daripada syurga? Ulama' berbeza pandangan dalam hal ini.
  1. Masuk melalui ular. Rujuk Tafsir al-Qurtubi jil. 1, m. 313; Tafsir 'Abd al-Razzaq jil. 2, m. 75; Tafsir al-Tabari jil 1, m. 526; Tafsir Ibn 'Atiyyah jil 1, m. 128. Pun begitu, kisah ini dikategorikan sebagai isra'iliyyat dan tidak bersandarkan kepada mana-mana sumber yang sahih. Ini sebagaimana kenyataan Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur'an al-'Azim jil. 1, m. 236.
  2. Melalui jalan waswas. Ini adalah pandangan al-Baydhawi dalam Tafsir al-Baydhawi jil. 1, m. 72. Bagi beliau, Allah hanya melarang Iblis untuk masuk ke syurga dengan cara yang mulia sebagaimana Iblis masuk ke syurga dahulu bersama para Malaikat dan tidak melarang Iblis untuk menghasut Adam dan Hawa melalui jalan waswas.
  3. Boleh jadi Iblis berada di luar syurga dan kedudukannya begitu dekat sehinggakan boleh didengari suaranya di dalam syurga ATAU Allah sengaja memasukkannya ke dalam syurga sebagai ujian kepada Adam dan Hawa. Ini adalah pandangan Shaykh Muhammad al-Amin al-Shinqiti di dalam tafsirnya, Adhwa' al-Bayan.
Pandangan Terpilih
Pandangan Shaykh Muhammad al-Amin al-Shinqiti agak menarik untuk diteliti namun hakikatnya, kita tidak dituntut untuk mengetahui hal ini secara terperinci kerana tidak ada nas daripada al-Qur'an dan al-Hadith yang memperincikan kisah ini. Apa yang jelas kepada kita, iblis menghasut keduanya secara lisan sebagaimana disebutkan dalam Surah al-A'raf ayat 21 dan ini yang wajib diyakini oleh kita. Lebih penting lagi, ini memberi peringatan kepada kita supaya berwaspada terhadap Iblis yang sentiasa berusaha keras menjerumuskan kita ke lembah dosa dan maksiat. Wallahu a'lam. 

No comments:

Post a Comment