Monday 15 August 2016

Al-Fiqh al-Akbar [Terjemahan & Anotasi] Bab 2: Keesaan Allāh Taʿālā


وحدانية الله تَعَالَى
Keesaan Allāh Taʿālā
وَالله تَعَالَى وَاحِد لَا من طَرِيق الْعدَد وَلَكِن من طَرِيق انه لَا شريك لَهُ لم يلد وَلم يُولد وَلم يكن لَهُ كفوا أحد لَا يشبه شَيْئا من الْأَشْيَاء من خلقه وَلَا يُشبههُ شَيْء من خلقه لم يزل وَلَا يزَال بأسمائه وَصِفَاته الذاتية والفعلية
Allāh[1] itu Esa[2], bukan dari segi bilangan tetapi dari segi Dia yang tidak ada sekutunya, tidak beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya[3]. Dia tidak menyerupai segala sesuatu daripada ciptaan-Nya dan tiada ciptaan-Nya yang menyerupai-Nya. Dia telah sedia wujud dan berkekalan wujud dengan nama-nama-Nya, sifat-sifat-Nya yang berkaitan dengan-Nya dan perbuatan-Nya.[4]




[1] Menurut Ibn Qayyim, “Semua individu yang  samada yang berilmu mahupun yang jahil, yang  mengetahui asalnya ataupun tidak, berbangsa Arab atau selainnya, pasti mengetahui bahawa Allah adalah nama bagi Tuhan semesta alam yang menciptakan langit dan bumi yang memberi kehidupan dan kematian. Tuhan bagi segala sesuatu serta memilikinya. Mereka tidak berbeza pendapat untuk mengakui bahawa nama yang dimaksudkan adalah Allah. Nama Allah adalah nama yang paling terkenal bagi mereka berbanding nama-nama yang dimiliki oleh Allah.” Rujuk Al-Jawziyyah, Ibn Qayyim, al-Sawaʿiq al-Mursalah fī al-Radd ʿala al-Jahmiyyah wa al-Muʿattilah, jil. 2.,m.750.
[2] Jika wāḥid yang difahami itu adalah satu dari segi bilangan, maka satu sebagai permulaan kepada bilangan yang lain selepasnya dan ini adalah mustahil  bagi Allāh SWT.  Begitu juga jika dikatakan satu itu adalah ½ + ½ = 1. Maka, ini juga adalah tidak tepat kerana Allāḥ SWT tidak boleh dibahagi-bahagikan. Maka, istilah ‘Esa’ digunakan.
[3] Setiap sel di dalam tubuh mempunyai 23 pasang kromosom. Satu kromosom daripada setiap pasang adalah diwarisi daripada ibu dan satu kromosom lagi daripada bapa. Kromosom-kromosom itu mengandungi genes yang diwarisi daripada ibu bapa. Mungkin ada perbezaan bentuk bagi gene yang sama yang dipanggil alleles. Sebagai contoh, bagi gene yang menentukan warna anak mata, mungkin sahaja seseorang itu mewarisi allele coklat daripada ibu dan allele hitam daripada bapa. Dalam hal ini, seseorang itu akan lahir dengan bermata coklat kerana coklat adalah allele yang dominan. Perbezaan bentuk genes adalah disebabkan oleh perubahan (mutasi) dalam kod DNA. Rujuk http://www.nhs.uk/Conditions/Genetics/Pages/Facts.aspx . Maka, jelas menunjukkan bahawa Allāḥ SWT tidak sebegitu kerana yang beranak semestinya mewariskan penyerupaannya, begitu juga yang diperanakkan semestinya mewarisi kesamaan dan ini adalah sifat bagi makhluk-Nya.
[4] Perbincangan yang paling mulia ialah perbincangan tentang Allah SWT yang memiliki sifat-sifat mulia dan terhindar dari sifat-sifat terkeji. Manakala sebaik-baik ilmu adalah ilmu tentang Allah SWT mencakupi pemahaman tentang kewujudan Allah SWT, nama nama, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya. Ini kerana, kemuliaan tentang sesuatu ilmu bergantung kepada tema perbincangan ilmu tersebut. Rujuk Muhammad al-Sayyid Na’im, al-Falsafah al-Islamiyyah wa Silatuha bi al-Falsafah al-Yunaniyyah, (Kaherah: Dar al-Tiba’ah al-Muhammadiyyah, 1959), m. 193. 

No comments:

Post a Comment