Sunday 4 September 2016

Jibril Turun Ke Bumi Selepas Kewafatan Nabi



Umum mengetahui bahawa tugas Jibril adalah turun ke bumi bagi menyampaikan wahyu kepada para Nabi. Adakah Jibril akan turun ke bumi lagi selepas kewafatan Rasulullah SAW?
  1. Sekiranya ada pandangan yang menyatakan bahawa Jibril tidak lagi turun ke bumi selepas kewafatan Nabi SAW, pandangan ini tidak ada asalnya (palsu) menurut Imam al-Suyuti. [1] Beliau membawakan bukti sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir daripada Maymunah tentang orang yang berjunub dan tidak berwudhu' sebelum tidur - sekiranya mati - , tidak akan dihadiri oleh Jibril [2]
  2. Jibril boleh sahaja turun selepas kewafatan Nabi SAW tetapi bukan sebagai pembawa wahyu. Jibril. Dalil yang jelas bahawa Jibril turun ke bumi selepas kewafatan Nabi SAW adalah Surah al-Qadr ayat 4 (تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا) , Surah al-Ma'arij ayat 4 (تَعْرُجُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ) dan Surah al-Shu'ara' ayat 193 (نَزَلَ بِهِ الرُّوحُ الْأَمِينُ). Kalimah 'al-Ruh' pada ayat ini menurut para ahli tafsir merujuk kepada Jibril 'alayhissalam
[1] Al-Suyuti, Jalal al-Din, al-Hawi li al-Fatawi, jil. 2, m. 199.
[2] Di dalam hadith ini terdapat 'Uthman bin 'Abd al-Rahman bin 'Abd al-Hamid bin Yazid. Menurut al-Haythami, "Beliau telah diyakini oleh Yahya bin Ma'in. Abu Hatim berkata: '[Martabatnya] Saduq'. Abu 'Arubah al-Harrani dan Ibn 'Adi berkata: '[Martabatnya] La ba'sa bih, beliau meriwayatkan daripada golongan yang tidak dikenali (al-Majhulun). Al-Bukhari dan Abu Ahmad al-Hakim berkata: 'Beliau meriwayatkan daripada golongan yang dha'if [lemah periwayatannya] (al-Dhi'af). Abu Hatim berkata: Riwayatnya yang lain meyerupai jalan daripada golongan yang dha'if [lemah periwayatannya] (al-Dhi'af).





No comments:

Post a Comment