Sunday 14 August 2016

Al-Fiqh al-Akbar [Terjemahan & Anotasi] Bab 1: Menerangkan Usul Iman

AL-FIQH AL-AKBAR
oleh Imam Abu Hanifah bin Nu'man bin Thabit

Diterjemahkan oleh
Mohamad Razif bin Mohamad Fuad & Umar Mukhtar Mohd Noor


بَيَان أصُول الْإِيمَان
Menerangkan Usul Iman

أصل التَّوْحِيد وَمَا يَصح الِاعْتِقَاد عَلَيْهِ يجب ان يَقُول آمَنت بِاللَّه وَمَلَائِكَته وَكتبه وَرُسُله والبعث بعد الْمَوْت وَالْقدر خَيره وشره من الله تَعَالَى والحساب وَالْمِيزَان وَالْجنَّة وَالنَّار وَذَلِكَ كُله حق
Asas kepada tauhid dan apa yang mengesahkan pegangannya, adalah wajib ke atasnya untuk menyatakan “Aku beriman kepada Allāh[1], malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para Rasul-Nya, kebangkitan selepas kematian, ketentuan baik dan buruk daripada Allāh Taʿālā, perhitungan, neraca amalan, syurga, neraka dan seluruhnya adalah benar.”



[1] Beriman kepada Allah bermaksud seseorang hamba Allah itu menyakini dengan benar-benar yakin tentang Allah SWT berkaitan apa yang wajib bagi-Nya, apa yang mustahil bagi-Nya dan apa yang harus bagi-Nya.
  • Wajib bagi Allah SWT memiliki sifat kesempurnaan yang tidak terhingga yang selayak bagi-Nya.
  • Mustahil bagi Allah SWT memiliki sifat yang membawa kepada ketidaksempurnaan yang tidak selayak bagi-Nya.
  • Harus bagi Allah SWT melakukan sesuatu perkara atau tidak melakukannya seperti mencipta dan mematikan. Rujuk Hassan Ayyub, Tabsit al-Aqa’id al-Islamiyyah. m. 17.


Jika diteliti di dalam al-Qur’an, bilamana nama-nama lain milik-Nya digandingkan dengan ‘Allah’, maka ianya menjadi sifat bagi Allah. Contohnya, Surah al-Baqarah, ayat 224 berbunyi:
وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
“Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa mengetahui.

Tidak ada walau satu ayat yang meletakkan nama selain ‘Allah’ (sifat-sifat-Nya) di hadapan kalimah ‘Allah’ seperti al-‘Alim Allah atau al-Karim Allah. Tuhan seringkali memperkenalkan diri kepada hamba-Nya dengan nama ‘Allah’. Antaranya adalah kepada Nabi Musa. Lihat Surah al-Qasas ayat 30 yang berbunyi:
فَلَمَّا أَتَاهَا نُودِيَ مِن شَاطِئِ الْوَادِ الْأَيْمَنِ فِي الْبُقْعَةِ الْمُبَارَكَةِ مِنَ الشَّجَرَةِ أَن يَا مُوسَىٰ إِنِّي أَنَا اللَّـهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
“Maka ketika ia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) ia diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu (yang ada di situ): "Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam.”.

Begitu juga firman-Nya kepada Nabi Musa dalam Surah Taha ayat 13-14 yang berbunyi:
وَأَنَا اخْتَرْتُكَ فَاسْتَمِعْ لِمَا يُوحَىٰ ﴿١٣﴾ إِنَّنِي أَنَا اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي ﴿١٤﴾
“Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa yang akan diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.”

Sebagaimana Nabi Musa, Allah juga memperkenalkan dirinya kepada Nabi Muḥammad dan umatnya dengan nama ‘Allah’. Ia dijelaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 255 yang dimulakan dengan:
اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ
“Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia”.

Selain itu, Allah juga adalah nama yang digunakan ketika memohon sesuatu seperti doa. Rujuk Surah al-Nisa’ ayat 114, Surah al-Zumar ayat 46, dan Surah Ali Imran ayat 26. 

No comments:

Post a Comment