Tuesday 2 August 2016

Apa Terjemahan Paling Sesuai Bagi "Kalām"?


Ramai sarjana non Muslim Barat mahupun Muslim menterjemahkan istilah kalām ke dalam Bahasa Inggeris sebagai speculative theology, scholastic theology/Islamic scholasticism, philosophical theology, theological dialecticals atau theology/Muslim theology.

Setelah meneliti beberapa penghujahan dan aplikasinya oleh F.C. Copelston, David F. Ford, Majid Fakhry, Kwame Gyekye, Edward R. Janes dan George C. Anawati, saya berpandangan masih ada kelompangan (walaupun kecil) pada terjemahan seperti di atas. Ia seakan menzahirkan keterbatasan bidang kalām sebagaimana ruang lingkup teologi Kristian (asal terminologi ini merujuk kepada teologi Kristian sahaja). Sungguhpun al-Faruqi dan Anawati misalnya, mengakui terdapat perbezaan yang mendasar pada terminologi kalām dan teologi, mereka tetap menggunakan 'teologi'. Terjemahan teologi juga agak kurang tepat kerana the- + -logia -logy (asal daripada perkataan Greek) cuma membahaskan seputar hal ketuhanan sedangkan akidah Islam meliputi ketuhanan, kenabian dan perkara ghaib (Ilahiyyat, Nubuwwat dan Sam'iyyat)
Untuk memaham sesebuah perkataan yang berkait rapat dengan ketamadunan Islam, perlu dilihat akar katanya, sejarahnya dan sudah pasti aplikasinya dalam kalangan ulama' Islam. Dengan melihat kepada definisi kalām oleh al-Iji dan al-Taftazani misalnya, sudah jelas perbezaan maksud kalām dan terjemahan-terjemahannya.
Kalām perlu dikekalkan sebagai kalām dan hendaklah disertakan huraian maksudnya. Tidak sesuai diterjemahkan sebagai speculative theology, scholastic theology/Islamic scholasticism, philosophical theology, theological dialecticals atau theology/Muslim theology.
Sekadar contengan untuk 'melegakan' kepenatan menyiapkan disertasi.
© Mohamad Razif Mohamad Fuad
IIUM Gombak,
2 Ogos 2016
10.57 PM

No comments:

Post a Comment