Tuesday 30 August 2016

Menyoal Intelektualisme Joint Action Group (JAG) dan Gender Equality Initiative (GEI)


Apa yang saya coretkan ini tidak bermaksud untuk menghukum apatah lagi menyerang. Cuma, tertarik untuk menimbulkan beberapa persoalan setelah mendapat tahu tentang Anugerah Aiyoh Wat Lah! anjuran Joint Action Group (JAG) dengan kerjasama Gender Equality Initiative (GEI).

Saya tidak menyoal untuk membela kenyataan Mufti Perak. Tidak juga menyoal untuk membawa pembaca jauh daripada topik utama jauh. Cuma timbul beberapa pertanyaan; wajarkah anugerah ‘Menghina Intelektual’ diberikan kepada Mufti Perak atas kenyatannya? Apa itu intelektual? Mengapa dikatakan beliau menghina intelektual? Apakah anugerah yang diwujudkan itu sendiri melambangkan intelektualiti?

Masalah Pendefinisian
Adakah intelektual itu satu kelompok yang besar atau terlalu kecil atau hanya kumpulan kecil yang terpilih sahaja? Itulah yang dipersoalkan oleh Edward Said dalam bukunya Representations of the Intellectual. Huraian Antonio Gramsci pada saya lebih membumi untuk kita ambil sebagai paksi; semua orang adalah intelektual, seseorang boleh sahaja berkata: tetapi bukan semua orang dalam masyarakat ada peranan para intelektual (all men are intellectuals, one could therefore say: not all men have in society the functions of intellectuals). Beliau seterusnya membahagikan intelektual ini kepada dua kelompok. Kelompok pertama adalah intelektual tradisional iaitu para guru, paderi dan pentadbir yang saban generasi melakukan hal yang sama. Kelompok kedua adalah intelektual organik yang menjadi penentu halatuju sesebuah negara dalam meneguhkan hegemoninya.

Jika kenyataan sebegitu (jika benar) oleh Mufti Perak dikategorikan sebagai “menghina intelektual”, maka apakah definisi intelektual yang dipegang oleh JAG dan GEI? Apakah tahap intelektual yang menjadi penanda aras JAG dan GEI jika kita masih belum bertemu walau sebuah artikel ilmiah yang mengkritik kenyataan Mufti Perak daripada JAG dan GEI? Paling penting, di manakah kedudukan JAG dan GEI pada pendefinisian intelektual oleh Gramsci?

Masalah Pemahaman Ḥadīth
Apakah sebenarnya yang difahami oleh JAG dan GEI perihal kenyataan Mufti Perak tentang kepatuhan isteri untuk menurut suami “walaupun di belakang unta”? Jelas bahawa mereka tahu ia adalah daripada ḥadīth Nabi Muḥammad namun adakah mereka faham teks dan konteksnya?

Saya cuma boleh katakan, JAG dan GEI tidak faham teks dan konteks ketika cuba memahami ḥadīth ini, sebaliknya mendahulukan emosi berbanding akal yang rasional. Ayat yang sering dijaja ke sana sini adalah “walaupun di belakang unta”. Benarkah sedemikian yang dirakamkan dalam ḥadīth?
  1. Ḥadīth ini dijumpai dalam beberapa riwayat dengan lafaz yang berbeza. Antara adalah yang direkodkan oleh Imam Aḥmad di dalam Musnad dan selainnya daripada ḥadīth ʿAbdullah ibn Abī Awfā.
  2. Pemahaman yang sebenar bagi maksud qatb adalah pelana (saddle) bukannya belakang atau atas! Kebiasaan bagi wanita Arab ketika itu adalah melahirkan anak di atas pelana unta (terletak di atas bonggol unta) ini dan ḥadīth ini adalah satu bentuk hyperbole (al-mubālaghah) yang menunjukkan betapa pentingnya isteri memenuhi hajat suami walaupun dalam keadaan yang sebegitu. Tidak perlu rasanya diajar kepada JAG dan GEI bahawa hiperbola itu tidak bermaksud untuk difahami secara literal (not meant to be taken literally). Ini huraian Abū ʿUbayd al-Qāsim ibn Sallām dalam Gharīb al-Ḥadīth
  3. Huraian ini disokong pula dengan satu ḥadīth lain oleh al-Tirmīzī yang menyatakan seorang isteri perlu patuh kepada panggilan suami untuk hubungan intim walaupun si isteri sedang membakar roti di tempat pembakar yang bermaksud, melakukan sesuatu yang tidak boleh ditunggu seperti membakar roti.
  4. Gesaan sebegitu menunjukkan betapa pentingnya ketaatan isteri kepada suami TANPA menafikan dalil-dalil lain yang menekankan kewajipan suami kepada isteri. Tidak akan timbul isu kalau kedua-dua pihak saling memahami kewajipan antara satu sama lain.
Lalu, dari manakah pemahaman JAG dan GEI sehingga membuat kesimpulan sebegitu rupa terhadap Mufti Perak malah secara tidak langsung seakan menafikan ḥadīth Nabi dengan alasan “tidak logik, tidak rasional dan palsu”? Atau, JAG dan GEI yang sebenarnya sangat naif dalam pembacaan dan pemahaman tahap asas?

Justifikasi Atau Preteks?
Saya hampir tidak dapat memikirkan, apakah justifikasi anugerah tersebut. Jika dikatakan kenyataan itu menzalimi wanita atau secara khususnya kezaliman domestik (domestic violence), jelas sudah yang JAG dan GEI tidak faham teks dan konteks ḥadīth. Betapa banyak kes-kes kezaliman domestik di negara Barat yang langsung tidak menghiraukan ada atau tidak ḥadīth itu.
  • Setiap 9 saat, ada wanita yang dipukul dan dikenakan serangan fizikal di Amerika.
  • Di Amerika, 20 orang diseksa secara fizikal setiap 1 minit oleh pasangan mereka. Cuba kirakan berapa jumlahnya setahun?
  • Hotline NCADV seluruh negara menerima hampir 20,800 panggilan untuk satu hari
Banyak lagi masalah yang bukan sahaja melibatkan wanita, malah lelaki juga ada yang turut menjadi mangsa. Rujuk laporan oleh National Coalition Against Domestic Violence. Malah, saya juga sama sekali tidak bersetuju akan sebarang bentuk kekasaran pasangan dalam hubungan rumahtangga yang mana kebanyakan mangsanya adalah wanita. Mengapa ini tidak diperjuangkan oleh mereka? Saya terus termenung dan memikirkan; adakah itu adalah sebuah justifikasi ataupun preteks semata-mata? Mengapa selektif dalam memilih isu? Apakah sekadar itu tahap intelektualiti JAG dan GEI?

Apa yang pasti, masyarakat yang beradab (civilized) tidak akan menganjurkan acara sedemikian rupanya yang mendedahkan tahap intelektual sendiri yang amat memalukan. Lebih memalukan, ia turut dianjurkan oleh mahasiswa yang juga penuntut ilmu dan penerus generasi masa hadapan. Semoga Allāh mengampuni dan merahmati kita semua, amin. Kepada SS Mufti Perak, saya dengan rendah diri berpandangan, mungkin perlunya untuk Mufti lebih berhati-hati dengan kenyataan kepada media atau mungkin perlu mewujudkan medium khusus semisal Facebook untuk kami mendapatkan kenyataan penuh bagi satu-satu isu daripada sumber primer.

Dengan ini, saya anugerahkan anugerah ‘Menghina Intelektual Sebenar’ kepada JAG dan GEI. Tahniah.

No comments:

Post a Comment