Monday, 25 July 2016

3 Minggu di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya


Alhamdulillah, sudah masuk minggu ketiga mengajar di sini. Rutin setiap hari naik bas RapidKL daripada UIAM ke Stesen LRT Gombak. Dari situ, berhenti di Stesen LRT Taman Jaya kemudian naik bas PJ City Bus; bas hijau yang percuma tu.

Saya mengajar subjek Islam and Other Religions. Sememangnya dalam bidang pengajian saya cuma kini saya lebih fokus kepada bidang kalam dalam penulisan disertasi. Agak letih berulang-alik setiap hari walaupun kadang-kala hanya mengajar 1 jam sehari. Tambahan pula saya sedang menyiapkan disertasi. Ada 1 tahun lagi sebelum bergraduasi, insyaAllah. Namun, ada satu kepuasan bila pelajar faham apa yang kita ajar.

Benarkah Frasa "Muḥammadurrasūlullah itu laut yang meliputi. Lā’ilāha illallāh itu setitik daripadanya”?


Metodologi penulisan kitab-kitab Jawi di alam Nusantara yang nipis, kebanyakannya saya lihat mempunyai satu persamaan; Penulis hanya menulis kaedah atau formula yang ringkas manakala tuan guru yang mensyarahkannya akan menghuraikan dengan lebih teliti dan tuntas. Kerana itulah pemahaman teks-teks Jawi klasik perlu 'diikat' dengan jalan berguru, selain membaca. 

Saya bukan lulusan mana-mana pondok secara formal. Hanya pernah menadah dengan tuan-tuan guru pondok beberapa ketika dan mengikuti daurah-daurah di pondok. Justeru, saya bukanlah yang selayaknya memberi komentar. Namun, rasanya ada keperluan untuk saya memberi penjelasan akan hal yang menjadi polemik sekarang berdasarkan sedikit pemahaman dan ilmu yang diperoleh.

Saturday, 23 July 2016

[Nota Kuliah] Pintu-Pintu Syaitan


PINTU-PINTU SYAITAN DAN RAWATAN[1]


PENDAHULUAN
Firman Allah SWT:

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٨٢﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ ﴿٨٣﴾
Maksudnya: “Iblis berkata: ‘Demi kekuasaan-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan.”(Surah Sad: 82-83)

Ayat di atas memberi kita satu pemahaman yang jelas akan matlamat Iblis selepas dilaknat daripada Allah SWT atas keingkarannya untuk mematuhi perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam AS. Dua noktah yang penting dalam ayat di atas adalah:
  •  Iblis akan sentiasa berusaha memalingkan manusia daripada jalan-Nya.
  •  Terdapat golongan yang terselamat daripada tipudaya syaitan.
Tipu daya syaitan bukan sahaja mengenai masyarakat awam, bahkan boleh sahaja mengenai golongan agamawan dan ahli ibadah. Maka, atas asas inilah tajuk ini dipilih; pendedahan tentang pintu-pintu tipudaya syaitan dan apakah rawatan jiwa yang sesuai bagi mereka yang bermasalah serta kaedah menghindarinya.

Tuesday, 19 April 2016

Jangan Meremehkan Usaha Baik Walaupun Kecil



Sabda Nabi SAW

لَا تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا، وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Maksudnya: "Jangan kamu meremeh-remehkan sesuatu pun daripada perbuatan makruf, walaupun sekadar bertemu dengan saudara kamu dengan muka yang ceria". [Riwayat Muslim, no. 2626]

Al-Munawi dalam Fayd al-Qadir [1/121] menyatakan bahawa kalimah la tahqiranna membawa maksud la tastasghiranna (jangan memperkecilkan).

Friday, 1 April 2016

Catatan Tentang Relevansi Ilmu Kalam



Selepas Subuh tadi sempat sambung muzakarah kitab Uṣūl al-Dīn Iʿtiqād Ahl al-Sunnah wa al-Jamāʿah karangan Shaykh Mukhtār ibn ʿAṭārid. Perbincangan seputar sifat qiyāmuhu taʿālā binafsih dan waḥdāniyyah. Saya huraikan berkenaan konsep penafian atau ‘kam’ yang ada pada sifat waḥdāniyyah iaitu kam munfaṣil dan kam muṭṭaṣil dari sudut dhāt (essence), ṣifāt (attributes) dan afʿāl (actions) pada Allāh.

Jika diteliti, ulama’ Ashāʿirah begitu teliti dalam memberikan takrif dan huraian berkenaan satu-satu sifat dan sedaya upaya menafikan penyamaan Allāh dan makhluk melalui penjelasan yang bersifat ʿaqlī (acquired knowledge) dan naqlī (revealed knowledge).

Friday, 11 March 2016

Prinsip Asas Pengamalan Petua Orang Lama

Rawatan sakit gigi dengan mengetuk paku pada kayu. Pernah dengar?
Ramai tertanya-tanya, adakah benar pesan orang-orang tua Melayu berkenaan pantang-larang untuk anak dara, semasa mengandung, semasa pantang dan lain-lain? Sesetengahnya begitu mempercayai pantang larang berkenaan memberi kesan kepada anak yang dikandung atau diri sendiri.

Secara asasnya, pantang larang wujud dalam setiap bangsa di dunia. Ada yang bersifat logik, ada juga yang sebaliknya. Kaum Aghori Babas di Varanasi, India misalnya mengamalkan tradisi memakan mayat. Mereka percaya bahawa ketakutan yang sebenar bagi seseorang adalah ketakutan kepada kematian dan ianya menghalang kepada pencerahan spiritual. Maka, untuk mendapatkan pencerahan spiritual, mereka makan mayat.

Wednesday, 9 March 2016

Sufi Wanita Dalam Literatur Islam: Satu Tinjauan Ringkas

Mukasurat pertama manuskrip Dhikr niswah al-mut’abbidāt al-Ṣūfiyyāt.

Jika dalam bidang hadith, al-Muḥaddithāt karya Dr. Akram Nadwi adalah antara karya moden yang boleh dibanggakan dalam mengupas sumbangan wanita dalam ilmu hadith. Namun, bagaimana pula dengan bidang tasawwuf? Ada sejumlah tulisan dalam dunia moden yang baik berhubung sumbangan wanita dalam tasawwuf. Antaranya tulisan Dr. Javad Nurbaksh (Sufi Women), Muhammad Ahmad Darniqah (Aʿlām al-ʿābidāt al-zāhidāt) dan artikel tulisan Laury Silvers (Early Pious, Mystic Sufi Women). Selainnya, cuma mengulang-ulang kisah Rabi'ah al-'Adawiyyah.

Teks-teks klasik Islam seperti al-Taʿaruf li Madhhab Ahl al-Taṣawwuf (al-Kalabadhi), Qūt al-Qulūb (Abu Talib al-Makki), Kashf al-Mahjūb (al-Hujwiri), al-Risālah (al-Qushayri) dan al-Lumaʿ (al-Sarraj) nampaknya tidak begitu mengangkat nama-nama ahli Sufi wanita melainkan Rabi'ah al-'Adawiyyah dan beberapa figura lain yang tidak diperkenalkan (anonymous).