Friday, 11 March 2016

Prinsip Asas Pengamalan Petua Orang Lama

Rawatan sakit gigi dengan mengetuk paku pada kayu. Pernah dengar?
Ramai tertanya-tanya, adakah benar pesan orang-orang tua Melayu berkenaan pantang-larang untuk anak dara, semasa mengandung, semasa pantang dan lain-lain? Sesetengahnya begitu mempercayai pantang larang berkenaan memberi kesan kepada anak yang dikandung atau diri sendiri.

Secara asasnya, pantang larang wujud dalam setiap bangsa di dunia. Ada yang bersifat logik, ada juga yang sebaliknya. Kaum Aghori Babas di Varanasi, India misalnya mengamalkan tradisi memakan mayat. Mereka percaya bahawa ketakutan yang sebenar bagi seseorang adalah ketakutan kepada kematian dan ianya menghalang kepada pencerahan spiritual. Maka, untuk mendapatkan pencerahan spiritual, mereka makan mayat.

Hiasan dalam majlis perkahwinan masyarakat Cina tidak digalakkan untuk menggunakan warna putih, biru tua, hitam dan hijau. Perkataan yang tidak sopan dan bermakna buruk tidak digalak sempena perayaan Tahun Baru Cina.Antaranya ialah seperti perkataan mati,hantu ataupun cakap kotor amat dielakkan pada masa raya.Kaum cina mempercayai bahawa ini akan membawa buruk sepanjang tahun tersebut.

Kad jemputan perkahwinan masyarakat India perlu disediakan dan dibuat berdasarkan Kalendar Hindutanpa kesilapan. Jika terdapat kesilapan bermakna perkahwinan tersebut  akan tidak dapat dijalankan dengan lancar .

Bagi masyarakat Melayu, terdapat banyak juga pantang larang yang wujud. Sebagai umat Islam, semua jenis petua, pesan, pantang-larang atau seumpamanya harus (boleh) diamalkan jika ia tidak bercanggah dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Saya gariskan beberapa prinsip asasnya di bawah:

Pertama: Tidak membawa kepada kepercayaan yang melibatkan alam ghaib.  Firman Allah SWT:

قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ 
Maksudnya: "Katakanlah lagi: Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!..."  [Surah al-Naml: 65]

Kedua: Pantang-larang itu tidak menyebabkan kita lebih mempercayai kesannya daripada beriman bahawa segalanya berlaku dengan kehendak Allah SWT. Firman Allah SWT

قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ

Maksudnya: "Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah." [Surah al-A'raf: 188]

Ketiga: Tidak mengharamkan apa yang dihalalkan syarak dan juga tidak menghalalkan apa yang diharamkan syarak.

Keempat: Tidak melakukan atau membawa kepada perlakuan yang bercanggah dengan syarak.

Kelima: Bukan kepercayaan kepada nasib malang atau sial. Prinsip Ahlussunnah wal Jam'ah adalah menolak kepercayaan kepada tiyarah atau tatayyur. Ia adalah satu bentuk kepercayaan seseorang bernasib sial atau malang disebabkan sesuatu perkara. Sabda Nabi SAW:

الطِّيَرَةُ شِرْكٌ، الطِّيَرَةُ شِرْكٌ، وَلَكِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُذْهِبُهُ بِالتَّوَكُّلِ

Maksudnya: "Tiyarah itu syirik, tiyarah itu syirik. Walaubagaimanapun, Allah SWT menghilangkannya dengan tawakkal." [Riwayat Ahmad, no. 4194]

Sabda Nabi SAW:
لاَ عَدْوَى وَلاَ طِيَرَةَ، وَيُعْجِبُنِي الفَأْلُ» قَالُوا: وَمَا الفَأْلُ؟ قَالَ: «كَلِمَةٌ طَيِّبَةٌ»

Maksudnya: Tiada penyakit menular, tiada tiyarah dan aku suka al-fa'l. Para Sahabat bertanya: 'Apakah al-fa'l?' Jawab Baginda: Perkataan yang baik."

Oleh itu, sebarang petua dan pantang-larang mestilah secara asasnya selari dengan al-Qur'an dan al-Sunnah. Jika ia melibatkan pengalaman serta kajian orang tua-tua dan tidak bercanggah dengan syarak, maka ia adalah dibenarkan. Ini kerana, adakalanya pantang-larang tersebut mempunyai falsafah tersendiri yang tersirat.  Ini bertepatan dengan budaya orang Melayu yang berkias dalam menegur, berlapik dalam menasihat dan mendidik. Atau, pengalaman mereka dalam sesuatu hal itu, menjadi ilmu yang diwarisi turun temurun dan terbukti berkesan walaupun tidak ada kajian saintifik.

Dalam satu hadith, Jabir telah melaporkan bahawa Rasulullah SAW melarang bacaan mentera. Kemudian datang keluarga Amr bin Hazm dan bertanya:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ كَانَتْ عِنْدَنَا رُقْيَةٌ نَرْقِي بِهَا مِنَ الْعَقْرَبِ، وَإِنَّكَ نَهَيْتَ عَنِ الرُّقَى، قَالَ: فَعَرَضُوهَا عَلَيْهِ، فَقَالَ: «مَا أَرَى بَأْسًا مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَنْفَعْهُ»

Maksudnya: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami ada bacaan yang kami gunakan sebagai penawar bisa kalajengking dan engkau melarang untuk membaca mantera. Mereka kemudiannya membacakan bacaan itu kepada Baginda. Baginda menjawab: 'Aku tidak menjumpai apa-apa yang bermasalah padanya. Sesiapa dari kalangan kamu yang mampu merawati saudaranya, maka lakukanlah." [Riwayat Muslim, no. 2199]

Secara asasnya, hadith di atas jelas menunjukkan bolehnya menggunakan petua (kes di atas adalah bacaan) selama tidak menyalahi al-Qur'an dan al-Sunnah. Apa pun, pandangan orang yang lebih arif dalam ilmu agama DAN juga ilmu Perubatan Islam juga perlu diambil kira dalam hal ini.

Saya sarankan baca artikel ilmiah ini bagi permasalahan kenan dalam Islam. Klik di sini.

Wallahua'lam

Abu Hawra' Mohamad Razif bin Mohamad Fuad
Alor Setar,
6.36 PM

No comments:

Post a Comment