PINTU-PINTU
SYAITAN DAN RAWATAN[1]
PENDAHULUAN
Firman
Allah SWT:
قَالَ
فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٨٢﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ
الْمُخْلَصِينَ ﴿٨٣﴾
Maksudnya:
“Iblis berkata: ‘Demi kekuasaan-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan
mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang
dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan.”(Surah Sad: 82-83)
Ayat
di atas memberi kita satu pemahaman yang jelas akan matlamat Iblis selepas dilaknat
daripada Allah SWT atas keingkarannya untuk mematuhi perintah Allah untuk sujud
kepada Nabi Adam AS. Dua noktah yang penting dalam ayat di atas adalah:
- Iblis akan sentiasa berusaha memalingkan manusia daripada jalan-Nya.
- Terdapat golongan yang terselamat daripada tipudaya syaitan.
PENGENALAN
BERKENAAN HATI
Sabda
Nabi SAW,
أَلاَ وَإِنَّ
فِي الجَسَدِ مُضْغَةً: إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ
فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ
Maksudnya:
“Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad itu ada seketul daging. Jika baik ia,
maka baiklah jasad seluruhnya. Jika rosak ia, maka rosaklah jasad seluruhnya.
Ketahuilah bahawa ianya adalah hati.” (Riwayat al-Bukhari, no. 52, Muslim,
no. 1599)
Berkata
Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam: “Ini adalah
satu petanda bahawa baiknya gerakan seorang hamba itu dengan anggotanya,
dia menghindari perkara yang haram dan memelihara daripada syubhat dengan gerak
hatinya yang baik. Sekiranya hatinya baik, dan tiada apa melainkan kasih sayang
kepada Allah dan kasih sayang kepada apa yang dikasihi Allah, takut kepada
Allah dan takut kepada apa yang ditegah-Nya, baiklah gerakan anggota
seluruhnya…” (Ibn Rajab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm.
210., jil. 1.)
Hati
adalah satu komponen yang penting bagi seseorang manusia. Apa yang terzahir
pada sikap, perlakuan dan perbuatan manusia berasal daripada hatinya. Al-Hakim
al-Tirmidhi misalnya membahagikan hati kepada empat elemen iaitu al-sadr,
al-qalb, al-fu’ad dan al-lubb.
Elemen
penjagaan hati begitu dititikberatkan oleh para ulama’ tasawwuf. Ini dapat
dilihat melalui karya-karya besar dalam bidang tazkiyyatunnafs iaitu Qutul Qulub (Abu Talib al-Makki),
al-Hikam (Ibn Athaillah al-Sakandary), Madarij al-Salikin (Ibn
Qayyim), Al-Da’ wa al-Dawa’ (Ibn Qayyim) Mishkat al-Anwar (Imam
al-Ghazzali), Ihya’ Ulumiddin (Imam al-Ghazzali) dan lain-lain.
PINTU-PINTU
SYAITAN: SATU RENUNGAN
Apabila
berhadapan dengan isu ini, wajarlah kita kembali untuk meneliti apa yang
terdapat dalam al-Qur’an, al-Hadith, ataupun tulisan-tulisan para ulama’ silam
yang menghuraikan permasalahan ini. Antara rujukan yang terbaik berkenaan hal
ini adalah Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazzali. Beliau
mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya ini yang mengupas perihal pintu-pintu
syaitan dan dinamakan Bayan Tafsili Madakhil al-Shaytan ila al-Qalb (Keterangan
Yang Terperinci Berkenaan Pintu-Pintu Syaitan Ke Hati).
Imam al-Ghazzali mengumpamakan hati itu seperti sebuah kubu dan syaitan
itu adalah seperti musuh yang ingin menerobos masuk ke dalam kubu tersebut.
Musuh akan sedaya upaya untuk memecah masuk dan menguasai kubu berkenaan
sepenuhnya. Begitulah ibaratnya usaha syaitan kepada hati manusia.
Sebagaimana
yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazzali, antaranya pintu-pintu masuk syaitan ke
hati manusia adalah:
- Marah dan syahwat
- Dengki dan tamakkan keduniaan
- Terlalu kenyang
- Suka kepada perhiasan perabot, pakaian dan tempat tinggal
- Suka mengampu dan diampu
- Gopoh
- Dirham dan dinar (kekayaan)
- Taksub dan fanatik kepada mazhab, serta berdendam dan menghina
- Terlalu membicarakan perihal zat dan sifat allah swt
- Sangkaan buruk sesama muslim
RAWATAN
JIWA MENGHADAPI PINTU-PINTU SYAITAN
Fizikal
yang sakit perlukan ubatnya. Begitu juga jiwa yang sakit. Doktor mampu mengubat
sakit yang bersifat luaran manakala para ulama’ tasawwuf mampu mengubati
masalah penyakit dalaman. Rawatan jiwa itu umpama membina sebuah saliran yang
mengalirkan air yang jernih daripada gunung ke sebuah kolam yang berkeladak.
Air yang berkeladak akan keluar dan apa yang berbaki adalah air yang jernih dan
menyegarkan. Inilah tiga tahap yang diperkenalkan oleh ulama’ tasawwuf dalam
usaha rawatan jiwa. Ia adalah takhalli, tahalli dan tajalli.
Suka dinyatakan formula rawatan jiwa sebagaimana yang
dijelaskan oleh Imam al-Ghazzali adalah zikrullah dan sebutan zikir la hawla
wala quwwata illa billahil ‘aliyyi al-‘azim. Antara zikir yang baik sebagai
usaha membentengi syaitan adalah:
·
Basmalah
Sabda Nabi SAW:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ أَحَدَكُمْ عِنْدَ
كُلِّ شَيْءٍ مِنْ شَأْنِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan hadir di sisi
seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan…”
(Riwayat Muslim, no.
2033)
Membaca Basmalah tidak terhad kepada urusan-urusan
memasuki rumah dan mengunci pintu sahaja. Oleh kerana syaitan turut serta dalam
apa jua urusan yang kita buat, maka dengan itu kita mendahului semuanya dengan
Basmalah.
Basmalah juga disebut dalam pertengahan sesuatu
urusan, khasnya apabila urusan tersebut tidak berlaku seperti mana yang kita
hendaki. Salah seorang sahabat Nabi SAW menceritakan bahawa dia pernah
membonceng di belakang Rasulullah SAW. Tiba-tiba haiwan tersebut tergelincir
lalu dia bersumpah: “Celakalah syaitan!”
Mendengar yang
sedemikian, Rasulullah SAW menegur:
لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولُ بِقُوَّتِي
وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ
حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ.
Maksudnya: “Janganlah menyebut “Celakalah syaitan!”
kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar
rumah dan berkata ‘Demi kekuatanku!’ Sebaliknya sebutlah ‘Bismillah!’ kerana
apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat.” (Riwayat Abu Daud, no. 4982)
·
Zikir
Terdapat pelbagai zikir yang baik berhubung hal
ini. Penulis cuma ingin berkongsi sebuah zikir yang sahih sebagaimana yang
diajarkan oleh Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mengucapkan di akhir solat
fajar Subuh dan dua kakinya masih dalam keadaan solat, serta belum berkata
apa-apa:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ،
لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ
قَدِيرٌ
Sebanyak 10 kali, maka akan ditulis 10 kebaikan,
dihapuskan daripadanya 10 keburukan, diangkat untuknya 10 darjat, sepanjang
hari tersebut dia akan terhindar daripada hal-hal yang bahaya, dan dia dijaga
daripada gangguan syaitan.”(Riwayat
al-Tirmizi, no. 2341. Hadith ini dinilai hasan sahih gharib oleh Imam
al-Tirmizi)
PENUTUP
Penulis
menutup kupasan ringkas Pintu-Pintu Syaitan dan Rawatan ini dengan
memetik kata-kata ulama Nusantara terkenal, Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dalam
kitabnya, Penawar Bagi Hati: “Tidak sempurna memelihara itu melainkan dengan
memelihara mata daripada melihat perempuan yang haram dilihat dan memelihara
hati daripada memikirkan perkara yang tidak elok (berkaitan dengan perempuan),
dan memelihara perut daripada memakan perkara syubhah dan daripada bersangatan
kenyang kerana yang demikian itu menyeru kepada zina.”
Wallahu
a’lamu bissawab.
RUJUKAN
1. Imam al-Bukhari, Sahih al-Bukhari
2. Imam al-Tirmizi, Jami’ al-Tirmizi
3. Ibn Rajab al-Hanbali, Jami’
al-‘Ulum wa al-Hikam
4. Imam al-Ghazzali, Ihya’ ‘Ulumiddin
[1] Tajuk ini disampaikan dalam Kuliah
Maghrib di Masjid Al-Mustaqim, Bandar Sri Putra, Bangi, Selangor pada 31 Mac
2015.
[2] B.A.Pengajian Akidah dan Agama, Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM). Kini sedang melanjutkan pengajian peringkat M.A.
Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
No comments:
Post a Comment