Wednesday, 9 March 2016

Sufi Wanita Dalam Literatur Islam: Satu Tinjauan Ringkas

Mukasurat pertama manuskrip Dhikr niswah al-mut’abbidāt al-Ṣūfiyyāt.

Jika dalam bidang hadith, al-Muḥaddithāt karya Dr. Akram Nadwi adalah antara karya moden yang boleh dibanggakan dalam mengupas sumbangan wanita dalam ilmu hadith. Namun, bagaimana pula dengan bidang tasawwuf? Ada sejumlah tulisan dalam dunia moden yang baik berhubung sumbangan wanita dalam tasawwuf. Antaranya tulisan Dr. Javad Nurbaksh (Sufi Women), Muhammad Ahmad Darniqah (Aʿlām al-ʿābidāt al-zāhidāt) dan artikel tulisan Laury Silvers (Early Pious, Mystic Sufi Women). Selainnya, cuma mengulang-ulang kisah Rabi'ah al-'Adawiyyah.

Teks-teks klasik Islam seperti al-Taʿaruf li Madhhab Ahl al-Taṣawwuf (al-Kalabadhi), Qūt al-Qulūb (Abu Talib al-Makki), Kashf al-Mahjūb (al-Hujwiri), al-Risālah (al-Qushayri) dan al-Lumaʿ (al-Sarraj) nampaknya tidak begitu mengangkat nama-nama ahli Sufi wanita melainkan Rabi'ah al-'Adawiyyah dan beberapa figura lain yang tidak diperkenalkan (anonymous).

Fariduddin al-Attar di dalam Tadhkirāt al-Awliyā’ (1:123) misalnya, menceritakan kisah Dhu al-Nun al-Misri yang bertemu seorang wanita yang tidak dikenali yang telah membuka kepadanya misteri perjalanan para salik. Dhu al-Nun telah bertemu dengan seorang wanita yang tidak dikenali di tepi pantai dan bertanya kepadanya,
"Apakah pengakhiran bagi cinta?"
Wanita itu menjawab,
 "Hai orang yang lurus! Cinta itu tiada penghujung."
Dhu al-Nun al-Misri bertanya kembali, "Mengapa?"

Wanita itu membalas,
"Kerana Yang Dicintai (Allah) itu tidak berpenghujung"
Mereka tidak menafikan wujudnya golongan wanita yang rajin beribadah, akhlak yang mulia dan kemampuan untuk menarik rasa taqarrub kepada Allah melalui puisi dll. Cuma, penamaan sebagai 'ahli Sufi' itu mungkin tidak diletakkan kepada wanita-wanita ini, kecuali Rabi'ah al-'Adawiyyah. Apapun, penamaan itu tidaklah begitu penting bagi golongan Sufi terawal kerana tasawwuf itu pada peringkat awalnya sendiri adalah a reality without a name.

Hasil diskusi saya dengan pensyarah dalam bidang Tasawwuf di UIAM, saya dapati golongan wanita ini tidak terlalu menonjol mungkin kerana beberapa aspek; fokus dengan urusan sebagai suri rumah dan bukan kelaziman bagi wanita untuk menghadiri majlis zikir. Malah, mereka ada circle mereka sesama wanita Sufi yang dikenali sebagai saradib. Justeru, mereka kurang dikenali dalam sejarah. Pun begitu, pada penghujung kedua pertengahan abad ke-9, ahli Sufi wanita makin dikenali.

Antara buku terawal dan terlengkap dalam literatur Islam yang membicarakan berkenaan sufi wanita adalah Dhikr niswah al-mut’abbidāt al-Ṣūfiyyāt. Buku yang ditulis oleh Abu 'Abd al-Raḥman al-Sulami Muhammad bin al-Husayn bin Muhammad (325H-412H) ini telah menghimpunkan 84 biografi ahli Sufi wanita yang direkodkan. Ia telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dengan judul Early Sufi Women oleh Rkia Elaroui Cornell. 

Manuskrip ini ditemui oleh Dr. Mahmud Muhammad al-Tanahai di perpustakaan Universiti Imam Muhammad Saud, Riyadh pada 1991. Berdasarkan penemuan ini, kita dapat simpulkan bahawa ia adalah karya hagiografi terawal berkenaan ahli Sufi wanita. Manuskrip ini adalah lampiran bagi karya besar beliau, al-Tabaqat al-Sufiyyah yang menghimpunkan sejumlah besar biografi tokoh Sufi lelaki. Cornell ada membuat beberapa kritikan terhadap teks Arab yang ditahqiq oleh Dr. al-Tanahai ini dan boleh dibaca di mukadimah terjemahan Bahasa Inggerisnya.

Buku ini merangkumi dua isu besar yang menjadi perhatian Barat kepada Islam; Wanita dan Tasawwuf. Dengan imej yang negatif tentang bagaimana Islam memandang wanita, saya kira ini buku yang sangat baik bagi menafikan pandangan berkenaan. Memetik kata-kata Prof. Annemarie Schimmel
Throughout the ages we find names of pious women who pursued the mystical path, either independently or as consorts or mothers of Sufis. Many of their names are noted in the hagiographical works, and the memory of many saintly women is kept alive in small sanctuaries found in North Africa, Anatolia, and particularly in Muslim India. This role of women is not astonishing since in the Islamic Middle Ages women participated in various aspects of social life…. In the mystical life, women have played an important role to this day; even some successful leaders in the modern traditions have been women. [1]

Antara kisah Rabi'ah al-Adawiyyah yang
popular adalah kisah beliau membawa
unggun api dan takar berisi air sambil
berlari mengelilingi kawasan di Basrah.
Al-Sulami menyenaraikan tokoh-tokoh Sufi wanita itu bermula dengan tokoh sufi wanita yang tidak asing lagi, Rabi'ah al-'Adawiyyah dan diakhiri dengan A'ishah binti Ahmad al-Tawil al-Marwaziyyah, isteri kepada seorang Sufi, 'Abd al-Wahid al-Sayyari. Susunannya tidak mengikut kronologi tetapi lebih kepada mengikut tempat asal masing-masing.

Wanita hakikatnya memiliki hak yang sama dengan lelaki untuk bergelar sebagai 'hamba Allah'. Buku ini membuktikan juga yang wanita pada era awal Islam bukan sahaja mampu membentuk gerakan Sufi dan aliran Sufi dengan identiti dan etika kesufian (Sufic chivalry) mereka yang tersendiri, bahkan mereka juga dikenali sebagai penasihat bagi ahli Sufi lelaki dalam hal status pengalaman kerohanian, bukan berdasarkan status gender tetapi mengikut amalan yang zuhud (tanpa melihat kepada perbezaan gender) yang membawa mereka dekat kepada Allah SWT.

Dua aliran utama dalam Tasawwuf yang wujud pada ketika itu adalah aliran Basrah dan Syria. Aliran Basrah dikenali dengan figura Rabi'ah al-'Adawiyyah manakala aliran Syrian pula adalah Ahmad ibn Abi al-Hawari dan isterinya Rabi’ah bint Isma’il.

Tidak dinafikan, buku ini adalah rujukan terbaik dalam melihat sumbangan ahli Sufi wanita dalam sejarah sebagaimana yang disebutkan oleh Prof. Seyyed Hossein Nasr; "a testament to the role of women in the Sufi tradition in the past and to female spirituality in Islam in general."
_______________________________________

[1] Annemarie Schimmel, “Aspects of Mystical Thought in Islam,” in The Islamic Impact, eds. Yvonne Y. Haddad, Byron Haines and Ellison Findly (Syracuse: Syracuse University Press, 1984), p. 114-5. 

No comments:

Post a Comment