Sunday 22 April 2018

[SH] Isteri Percaya Fitnah Orang

RUANGAN SOAL JAWAB
SINAR HARIAN (SISIPAN SINAR ISLAM)
Ustaz Mohamad Razif bin Mohamad Fuad



Soalan: Apakah tindakan yang boleh diambil suami sekiranya isterinya mencaci, derhaka dan membenci mentuanya kerana percaya fitnah orang?


Jawapan:
Antara hak isteri yang wajib diberi oleh suami adalah pendidikan dalam hal agama. Dengan agamalah kehidupan akan terjaga baik di dunia mahupun di akhirat. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
 (Surah al-Tahrim: 6)

Ibnu Jarir al-Tabari rahimahullaah berkata: “Ajarkan keluarga kalian untuk taat kepada Allah ‘Azza wa Jalla yang dapat menyelamatkan diri mereka dari api Neraka.” 

Pada kebiasaannya, tidak akan timbul isu isteri menderhaka, mempercayai fitnah orang dan lain-lain jika dia adalah isteri yang solehah dan taat kepada suaminya. Oleh itu, langkah pertama dalam memastikan isterinya menjadi isteri yang solehah dan taat kepada suami adalah, suami itu sendiri perlu berusaha memperbaiki dirinya sendiri. Kapal tidak akan berubah haluannya jika nakhoda tahu arah tuju perjalanan.

Selepas itu, ikutilah turutan sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) (i) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) (ii) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) (iii) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.” (Surah al-Nisa’: 34)


Moga-moga persefahaman antara suami dan isteri sentiasa dapat dipelihara dalam usaha membina rumahtangga yang bahagia dan memaknakan konsep “rumahku, syurgaku”.

No comments:

Post a Comment