Sunday 22 April 2018

[SH] Berdakwah Kepada Non Muslim

RUANGAN SOAL JAWAB
SINAR HARIAN (SISIPAN SINAR ISLAM)
Ustaz Mohamad Razif bin Mohamad Fuad


Soalan: Apakah cara berhemah untuk kita berdakwah dengan jiran belum Muslim?

Jawapan:

Saya berpandangan, kaedah-kaedah dalam berdakwah kepada bukan Muslim itu adalah hal yang subjektif dan bergantung kepada situasi dan individu. Walaupun begitu, saya ingin berikan beberapa saranan untuk panduan dan perkongsian bersama.


  • Berdakwah dengan akhlak


Akhlak merupakan senjata dakwah yang paling ampuh sejak zaman berzaman. Praktik yang paling mudah pada hari ini adalah dengan memberikan juadah makanan kepada bukan Muslim samada pada hari-hari biasa, hari lahir ataupun pada perayaan kebudayaan mereka yang tidak bersangkutan dengan agama. Peristiwa Pembukaan Mekah (Fathu Makkah) menyaksikan bagaimana Rasulullah SAW menanamkan kepada kaum Muslimin untuk tetap menghormati orang-orang kafir Quraisy, tidak mengganggu harta mereka, dan tidak sewenang-wenangnya mengganggu mereka.

  • Berdakwah dengan bahan ilmiah


Boleh sahaja anda menghadiahkan jiran anda dengan buku-buku agama yang baik, cakera padat (CD) syarahan tokoh-tokoh ternama berkenaan Islam, majalah-majalah keagamaan dan lain-lain yang sesuai. Rasulullah SAW juga berdakwah kepada bukan Muslim dengan menulis surat kepada penguasa-penguasa besar dan ahli kitab seperti Raja Hercules, al-Muqawqis, Raja al-Najashi dan lain-lain. Zaman sekarang, koleksi ceramah Shaykh Ahmad Deedat berkenaan perbandingan agama juga lebih mudah diperoleh melalui Youtube.

  • Berdakwah dengan tutur kata

Tutur kata yang baik, mencermin peribadi yang terpuji. Contoh yang paling mudah adalah memanggil jiran anda dengan panggilan yang baik dan tidak menghina sembahan mereka. Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah al-An’am: 108)

Dalam masa yang sama, sensitiviti agama dan bangsa juga perlu dititikberatkan. Sebagai contoh, panggilan “paria” dan “keling” kepada bangsa India merupakan sesuatu yang amat sensitif dan wajar dielakkan.

  • Berdakwah dengan dialog

Ini sudah banyak dilakukan di peringkat NGO-NGO dakwah di seluruh dunia termasuk Malaysia. Terlalu banyak tema-tema yang boleh diketengahkan untuk dikupas oleh wakil-wakil agama masing-masing yang membawa kepada persefahaman dan keharmonian antara agama. Pun begitu, ianya tidak akan mengenepikan tujuan utama dialog antara agama dalam Islam sebagaimana yang tertera dalam Surah Ali Imran ayat 64: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.”

Berkenaan debat, saya melihat ianya mungkin kurang sesuai untuk dilakukan dalam khalayak umum dan lebih sesuai untuk dihadiri oleh mereka yang ahli dalam bidang ini. Saya sempat bertanyakan kepada seorang tokoh dakwah antarabangsa yang menerajui Islamic Education and Research Academy (iERA), Hamza Tzortzis berkenaan kaedah debat sebagai medium dakwah. Beliau sendiri menegaskan bahawa ianya tidak sesuai dalam semua keadaan dan kebiasaannya hanya untuk menzahirkan sikap Islam yang responsif terhadap serangan-serangan luar. Dalam keadaan biasa, dakwah dengan poin 1, 2 dan 3 lebih berkesan.

Kesimpulannya, dakwah memerlukan kreativiti disamping ilmu dan pengalaman. Kisah pembebasan dan pengIslaman lebih 100 orang keluarga Bani Mustaliq dengan hanya disebabkan pernikahan Juwairiah dengan Rasulullah SAW mungkin boleh menjadi iktibar bagaimana kebijaksanaan Baginda SAW dalam dakwah.

No comments:

Post a Comment