Saturday 23 July 2016

[Nota Kuliah] Pintu-Pintu Syaitan


PINTU-PINTU SYAITAN DAN RAWATAN[1]


PENDAHULUAN
Firman Allah SWT:

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٨٢﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ ﴿٨٣﴾
Maksudnya: “Iblis berkata: ‘Demi kekuasaan-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan.”(Surah Sad: 82-83)

Ayat di atas memberi kita satu pemahaman yang jelas akan matlamat Iblis selepas dilaknat daripada Allah SWT atas keingkarannya untuk mematuhi perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam AS. Dua noktah yang penting dalam ayat di atas adalah:
  •  Iblis akan sentiasa berusaha memalingkan manusia daripada jalan-Nya.
  •  Terdapat golongan yang terselamat daripada tipudaya syaitan.
Tipu daya syaitan bukan sahaja mengenai masyarakat awam, bahkan boleh sahaja mengenai golongan agamawan dan ahli ibadah. Maka, atas asas inilah tajuk ini dipilih; pendedahan tentang pintu-pintu tipudaya syaitan dan apakah rawatan jiwa yang sesuai bagi mereka yang bermasalah serta kaedah menghindarinya.


PENGENALAN BERKENAAN HATI
Sabda Nabi SAW,
أَلاَ وَإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً: إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ
Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad itu ada seketul daging. Jika baik ia, maka baiklah jasad seluruhnya. Jika rosak ia, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah bahawa ianya adalah hati.” (Riwayat al-Bukhari, no. 52, Muslim, no. 1599)

Berkata Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam: “Ini adalah satu petanda bahawa baiknya gerakan seorang hamba itu dengan anggotanya, dia menghindari perkara yang haram dan memelihara daripada syubhat dengan gerak hatinya yang baik. Sekiranya hatinya baik, dan tiada apa melainkan kasih sayang kepada Allah dan kasih sayang kepada apa yang dikasihi Allah, takut kepada Allah dan takut kepada apa yang ditegah-Nya, baiklah gerakan anggota seluruhnya…” (Ibn Rajab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, hlm. 210., jil. 1.)

Hati adalah satu komponen yang penting bagi seseorang manusia. Apa yang terzahir pada sikap, perlakuan dan perbuatan manusia berasal daripada hatinya. Al-Hakim al-Tirmidhi misalnya membahagikan hati kepada empat elemen iaitu al-sadr, al-qalb, al-fu’ad dan al-lubb.

Elemen penjagaan hati begitu dititikberatkan oleh para ulama’ tasawwuf. Ini dapat dilihat melalui karya-karya besar dalam bidang tazkiyyatunnafs  iaitu Qutul Qulub (Abu Talib al-Makki), al-Hikam (Ibn Athaillah al-Sakandary), Madarij al-Salikin (Ibn Qayyim), Al-Da’ wa al-Dawa’ (Ibn Qayyim) Mishkat al-Anwar (Imam al-Ghazzali), Ihya’ Ulumiddin (Imam al-Ghazzali) dan lain-lain.
  
PINTU-PINTU SYAITAN: SATU RENUNGAN
Apabila berhadapan dengan isu ini, wajarlah kita kembali untuk meneliti apa yang terdapat dalam al-Qur’an, al-Hadith, ataupun tulisan-tulisan para ulama’ silam yang menghuraikan permasalahan ini. Antara rujukan yang terbaik berkenaan hal ini adalah Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazzali. Beliau mengkhususkan satu bab di dalam kitabnya ini yang mengupas perihal pintu-pintu syaitan dan dinamakan Bayan Tafsili Madakhil al-Shaytan ila al-Qalb (Keterangan Yang Terperinci Berkenaan Pintu-Pintu Syaitan Ke Hati).

Imam al-Ghazzali mengumpamakan hati itu seperti sebuah kubu dan syaitan itu adalah seperti musuh yang ingin menerobos masuk ke dalam kubu tersebut. Musuh akan sedaya upaya untuk memecah masuk dan menguasai kubu berkenaan sepenuhnya. Begitulah ibaratnya usaha syaitan kepada hati manusia.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Ghazzali, antaranya pintu-pintu masuk syaitan ke hati manusia adalah:
  •  Marah dan syahwat
  • Dengki dan tamakkan keduniaan
  • Terlalu kenyang
  • Suka kepada perhiasan perabot, pakaian dan tempat tinggal
  • Suka mengampu dan diampu
  • Gopoh
  • Dirham dan dinar (kekayaan)
  • Taksub dan fanatik kepada mazhab, serta berdendam dan menghina
  • Terlalu membicarakan perihal zat dan sifat allah swt
  • Sangkaan buruk sesama muslim


RAWATAN JIWA MENGHADAPI PINTU-PINTU SYAITAN
Fizikal yang sakit perlukan ubatnya. Begitu juga jiwa yang sakit. Doktor mampu mengubat sakit yang bersifat luaran manakala para ulama’ tasawwuf mampu mengubati masalah penyakit dalaman. Rawatan jiwa itu umpama membina sebuah saliran yang mengalirkan air yang jernih daripada gunung ke sebuah kolam yang berkeladak. Air yang berkeladak akan keluar dan apa yang berbaki adalah air yang jernih dan menyegarkan. Inilah tiga tahap yang diperkenalkan oleh ulama’ tasawwuf dalam usaha rawatan jiwa. Ia adalah takhalli, tahalli dan tajalli.

Suka dinyatakan formula rawatan jiwa sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazzali adalah zikrullah dan sebutan zikir la hawla wala quwwata illa billahil ‘aliyyi al-‘azim. Antara zikir yang baik sebagai usaha membentengi syaitan adalah:

·         Basmalah
Sabda Nabi SAW:
إِنَّ الشَّيْطَانَ يَحْضُرُ أَحَدَكُمْ عِنْدَ كُلِّ شَيْءٍ مِنْ شَأْنِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan hadir di sisi seseorang kalian pada setiap sesuatu yang kalian lakukan…”
   (Riwayat Muslim, no. 2033)

Membaca Basmalah tidak terhad kepada urusan-urusan memasuki rumah dan mengunci pintu sahaja. Oleh kerana syaitan turut serta dalam apa jua urusan yang kita buat, maka dengan itu kita mendahului semuanya dengan Basmalah.

Basmalah juga disebut dalam pertengahan sesuatu urusan, khasnya apabila urusan tersebut tidak berlaku seperti mana yang kita hendaki. Salah seorang sahabat Nabi SAW menceritakan bahawa dia pernah membonceng di belakang Rasulullah SAW. Tiba-tiba haiwan tersebut tergelincir lalu dia bersumpah: “Celakalah syaitan!”

 Mendengar yang sedemikian, Rasulullah SAW menegur:

لاَ تَقُلْ تَعِسَ الشَّيْطَانُ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَعَاظَمَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الْبَيْتِ وَيَقُولُ بِقُوَّتِي وَلَكِنْ قُلْ بِسْمِ اللَّهِ فَإِنَّكَ إِذَا قُلْتَ ذَلِكَ تَصَاغَرَ حَتَّى يَكُونَ مِثْلَ الذُّبَابِ.
Maksudnya: “Janganlah menyebut “Celakalah syaitan!” kerana apabila engkau mengatakannya, syaitan akan membesar sehingga sebesar rumah dan berkata ‘Demi kekuatanku!’ Sebaliknya sebutlah ‘Bismillah!’ kerana apabila engkau mengatakannya syaitan akan mengecil sehingga sekecil lalat.”  (Riwayat Abu Daud, no. 4982)

·         Zikir
Terdapat pelbagai zikir yang baik berhubung hal ini. Penulis cuma ingin berkongsi sebuah zikir yang sahih sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mengucapkan di akhir solat fajar Subuh dan dua kakinya masih dalam keadaan solat, serta belum berkata apa-apa:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Sebanyak 10 kali, maka akan ditulis 10 kebaikan, dihapuskan daripadanya 10 keburukan, diangkat untuknya 10 darjat, sepanjang hari tersebut dia akan terhindar daripada hal-hal yang bahaya, dan dia dijaga daripada gangguan syaitan.”(Riwayat al-Tirmizi, no. 2341. Hadith ini dinilai hasan sahih gharib oleh Imam al-Tirmizi)

PENUTUP
Penulis menutup kupasan ringkas Pintu-Pintu Syaitan dan Rawatan ini dengan memetik kata-kata ulama Nusantara terkenal, Syeikh Abdul Qadir al-Mandili dalam kitabnya, Penawar Bagi Hati: “Tidak sempurna memelihara itu melainkan dengan memelihara mata daripada melihat perempuan yang haram dilihat dan memelihara hati daripada memikirkan perkara yang tidak elok (berkaitan dengan perempuan), dan memelihara perut daripada memakan perkara syubhah dan daripada bersangatan kenyang kerana yang demikian itu menyeru kepada zina.”           
Wallahu a’lamu bissawab.

RUJUKAN
1.      Imam al-Bukhari, Sahih al-Bukhari
2.      Imam al-Tirmizi, Jami’ al-Tirmizi
3.      Ibn Rajab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam
4.      Imam al-Ghazzali, Ihya’ ‘Ulumiddin



[1] Tajuk ini disampaikan dalam Kuliah Maghrib di Masjid Al-Mustaqim, Bandar Sri Putra, Bangi, Selangor pada 31 Mac 2015.
[2] B.A.Pengajian Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Kini sedang melanjutkan pengajian peringkat M.A. Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

No comments:

Post a Comment