Monday 25 July 2016

Benarkah Frasa "Muḥammadurrasūlullah itu laut yang meliputi. Lā’ilāha illallāh itu setitik daripadanya”?


Metodologi penulisan kitab-kitab Jawi di alam Nusantara yang nipis, kebanyakannya saya lihat mempunyai satu persamaan; Penulis hanya menulis kaedah atau formula yang ringkas manakala tuan guru yang mensyarahkannya akan menghuraikan dengan lebih teliti dan tuntas. Kerana itulah pemahaman teks-teks Jawi klasik perlu 'diikat' dengan jalan berguru, selain membaca. 

Saya bukan lulusan mana-mana pondok secara formal. Hanya pernah menadah dengan tuan-tuan guru pondok beberapa ketika dan mengikuti daurah-daurah di pondok. Justeru, saya bukanlah yang selayaknya memberi komentar. Namun, rasanya ada keperluan untuk saya memberi penjelasan akan hal yang menjadi polemik sekarang berdasarkan sedikit pemahaman dan ilmu yang diperoleh.

Berkenaan isu kenyataan almarhum TG Haji Salleh 
"Muḥammadurrasūlullah itu laut yang meliputi. Lā’ilāha illallāh itu setitik daripadanya”
ia diambil daripada kitab Farīdat al-Farā’id fī ʿIlm al-ʿAqā’id. Untuk memahami perbahasan di dalam kitab ini, sebaiknya dan seadilnya adalah dengan merujuk kepada syarahnya iaitu ʿUmdat al-Ṭālib al-Mujtahid bi Sharḥ Farīdat al-Farā’id yang siap ditulis pada 1960 oleh Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ibrahim bin Abdul Karim al-Fatani al-Jabi.

Walaupun mungkin ada beberapa pendirian TG Haji Salleh yang tidak disukai segelintir orang yang berbeza aliran dengannya, mereka tetap perlu adil dan tidak gopoh dalam mengkritik pendiriannya, apatah lagi bersikap pukul rata. Ini bertepatan dengan prinsip al-Qur’ān,

ولا يجرمنكم شنآن قوم على ألا تعدلوا
Maksudnya: "...dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan." 
[Surah al-Mā’idah: 8]

Pun begitu, kekeliruan ini sebenarnya sudah pun dijelaskan sendiri oleh penulis kitab ini iaitu Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa bin Muhammad al-Fatani. Jika kenyataan itu dirujuk secara penuh, maka selesailah isu ini. Saya nukilkan kembali :

[Maka] Telah nyatalah bagimu bahawasa dua kalimah ini mengandung akan sekalian ʿaqā’id yang telah terdahulu bahkan sekalian hukum itu masuk di bawah Muḥammadurrasūlullah hingga berkata setengah ulama' bermula Muḥammadurrasūlullah itu laut yang meliputi dan Lā’ilāha illallāh itu satu titik daripadanya artinya mentauhidkan Allah itu setengah daripada barang yang mendatang dengan dia oleh Rasulullah SAW dan barangkali kerana hikmah yang tersebut itu iaitu mehimpun keduanya akan sekalian ʿaqā’id serta pendek keduanya menjadi oleh shara' akan keduanya terjemah bagi barang yang di dalam hati daripada iman dan tiada diterima iman daripada seseorang akan Islam melainkan dengan keduanya.

Nyata bagi kita bahawasanya kalimah shahadah itu terkumpul padanya seluruh makna aqidah yang telah diterangkan [rujuk perbahasan sebelumnya di dalam buku ini] bahkan semua hukum itu terkandung dalam lafaz Muḥammadurrasūlullah. Sebahagian ulama memberi perumpamaan sebagaimana yang menjadi isu ini. Menurut penjelasan Syeikh Ahmad al-Fatani, ia bermaksud bahawa mentauhidkan Allah adalah sebahagian daripada perkara yang dibawa oleh Rasulullah. Mungkin juga kerana kalimah shahadah ini menghimpunkan kesemua makna aqidah. Saya sarankan rujuk kupasan dua kalimah shahadah ini oleh Syeikh Ahmad al-Fatani. Shara' juga menjadikan kalimah shahadah yang ringkas ini selaku terjemahan kepada iman yang berada di dalam hati. Tidak diterima iman melainkan dengan dua kalimah shahadah ini.

Kata-kata hikmah ini juga tidak jauh daripada firman Allah SWT:

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[Surah Āli ʿImrān: 31]

Ibn Kathīr ketika menjelaskan ayat ini menjelaskan. "Ayat yang mulia ini menghakimi mereka yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak mengikuti jalan Muhammad. Orang sebegini adalah penipu dalam dakwaannya sehinggalah dia mengikuti shari'at Muhammad dan agamanya dalam semua pengakuannya, perlakuannya dan semua keadaan..." [Rujuk Tafsir Ibn Kathīr , jil. 2, m. 32]

Firman Allah SWT:

مَنْ يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ 
Maksudnya: "Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah..."
[Surah Al-Nisā’: 80]

Oleh itu, jelas bahawa pengakuan akan lafaz Muḥammadurrasūlullah itu termasuk di dalamnya lafaz  Lā’ilāha illallāh. Mereka yang beriman dan mencintai Rasulullah SAW, tidak dapat tidak adalah mereka yang beriman dan mencintai Allah SWT. Begitu juga mereka yang beriman dan mencintai Allah, pastinya beriman dan mencintai Rasulullah SAW. 

Semoga kita lebih berhati-hati dalam meletakkan sebarang hukum dan berlaku adil sesama Muslim walaupun berbeza aliran. Saya percaya, walaupun isu ini dimainkan oleh beberapa individu daripada satu-satu aliran, ia tidak menggambarkan sikap keseluruhan mereka yang mengikut aliran berkenaan. Mohon maaf kerana tidak berkesempatan menghuraikannya dengan lebih panjang kerana agak kesibukan. Moga-moga beroleh manfaat. Wallahua'lam.

Rujukan
Al-Fatani, Ahmad bin Muhammad. (2012) Farīdat al-Farā’id fī ʿIlm al-ʿAqā’id, Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
Ibn Kathir (1999) Tafsīr al-Qur’ān al-ʿAẓīm, Riyadh: Dar Taibah.

Mohamad Razif bin Mohamad Fuad
12.50 AM
IIUM Gombak

*Saya cuba meneliti kembali komen-komen di video TG Haji Salleh berhubung isu ini, yang dimuatkan oleh satu akaun Facebook. Malangnya, ia sudah dipadam. Saya kira, beliau sudah mengakui kesilapannya dalam hal ini.

No comments:

Post a Comment