Tuesday 19 April 2016

Jangan Meremehkan Usaha Baik Walaupun Kecil



Sabda Nabi SAW

لَا تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا، وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Maksudnya: "Jangan kamu meremeh-remehkan sesuatu pun daripada perbuatan makruf, walaupun sekadar bertemu dengan saudara kamu dengan muka yang ceria". [Riwayat Muslim, no. 2626]

Al-Munawi dalam Fayd al-Qadir [1/121] menyatakan bahawa kalimah la tahqiranna membawa maksud la tastasghiranna (jangan memperkecilkan).

Saya agak canggung apabila membaca artikel ini yang bercampur baur antara pengakuan salah, kritikan yang baik dan juga sindiran tajam. Walaupun beliau tidak menyatakannya secara terang, saya yakin sindiran tajam itu ditujukan kepada Dr. Zakir Naik (DZN) dan tokoh-tokoh dakwah lain yang seangkatan dengannya. Ini kerana, beliau secara 'konsisten' mengkritik pendekatan DZN dalam beberapa artikel beliau sebelum ini di akhbar yang sama.

Tidak salah untuk memberi kritikan membina untuk penambahbaikan. Tidak salah juga untuk bersikap kritis dalam menilai apa sahaja isu semasa. Apa yang bermasalah adalah kaedah penyampaiannya yang saya fikir, kurang sesuai dengan budaya keTimuran kita apatah lagi jauh dengan nilai murni Islam.

Istilah seperti ceramah Touch ‘n’ Go, idolisasi, muallaf-muallaf  instant glamour, shahadahtainment, sarkas ceramah nampaknya agak mengganggu konsentrasi saya membaca artikel beliau dengan baik walaupun terdapat beberapa kritikan membina yang baik untuk diteliti. Boleh sahaja beliau gunakan bahasa yang lebih lunak. Tetapi itulah yang dipilihnya dan saya kurang pasti mengapa beliau agak berani bersikap sedemikian dan boleh sahaja melanggar apa yang dilarang oleh Nabi SAW dalam hadith di atas.

Agak terkejut juga membaca kenyataan-kenyataan penulis, seakan 'boleh membaca' hati DZN dan penganjur. Mungkin saja saya yang salah memahami maksudnya. Wallahua'lam.  Agakan saya, mungkin penulis artikel juga memaksudkan isu Skandal Dusseldorf 1250 yang melibatkan Sh. Yusuf Estes (SYE) bagi kenyataan "Peluk Islam maknanya lafaz syahadah ketika ceramah walaupun mungkin muallaf-muallaf  instant glamour ini sebenarnya sudah pun peluk Islam bertahun lamanya". Wallahua'alam. Saya tidak tahu apa penjelasan di pihak SYE.

Pada pandangan saya, - tanpa menafikan manfaat yang sangat banyak dalam siri syarahan DZN - kaedah DZN mungkin boleh diperbaiki dari semasa ke semasa. Apa yang saya nampak, tidak perlu diadakan mass shahada seperti yang sering dilakukan oleh tokoh-tokoh pendakwah perbandingan agama yang lain. Dengan tujuan, bagi mengelakkan sangkaan seperti isu Skandal Dusseldorf 1250. Boleh sahaja dilakukan secara tertutup atas faktor keselamatan dan sensitiviti penganut agama lain.

Saya amat yakin, tidak timbul isu ceramah Touch 'n' Go pada siri syarahan DZN baru-baru ini. Pihak penganjur terutamanya Al-Hidayah Centre dan NGO-NGO terlibat pasti telah melakukan tindakan susulan yang tersusun. Saya yakin juga, tidak ada sama sekali dalam tentatif program tersebut, acara "shahadahtainment sebagai klimaks dakwah". Malah, agak keterlaluan bagi seseorang menyamakan siri syarahan DZN (saya anggap ia sebagai satu bentuk majlis ilmu) dengan katarsis teater. 

Dakwah itu luas. Berdakwahlah dengan apa sahaja cara sekalipun asalkan mengikut lunas-lunas syarak. Elakkan daripada memperkecilkan usaha baik sesiapa sahaja kerana ia bukanlah sikap seorang Muslim. Masyarakat perlu terus dididik dengan pemikiran yang kritis, menjadi masyarakat yang berfikiran terbuka dalam kritikan, dalam kerangka adab dan nilai yang baik.

Kadangkala, ada yang suka menasihat dan menegur namun 'terlajak kata' sehingga ke tahap meremehkan usaha orang lain! 

Ingatan untuk saya dan juga Xifu Naser.

© Mohamad Razif Mohamad Fuad

No comments:

Post a Comment