Buku ini saya gemar bawa ke mana-mana kerana ianya ringan dan handy. Tidak saya selesaikan dalam masa yang singkat kerana mesej-mesej yang dibawa oleh al-Nadwi sangat mengasyikkan untuk dihadam dengan perlahan-lahan. Rabbaniyyah la Rahbaniyyah merupakan satu buku yang sangat wajar dijadikan rujukan pemula bagi memahami konflik asas dalam dunia kesufian; mengangkat Tuhan sebagai Tuhan atau menTuhankan manusia.
Buku setebal 151 mukasurat ini membawakan beberapa perkara besar bermula dengan polemik istilah "tasawwuf" yang menjadi pertelingkahan umat Islam pada masa itu yang menunjukkan betapa masyarakat hanya melihat kulit dan jauh sekali memahami isinya. Kerana itulah, al-Nadwi mencadangkan agar dinamakan sahaja dengan tazkiyah, ihsan atau fiqh al-batin kerana tujuannya yang terutama adalah memahami falsafah dan peranan penyucian hati dalam Islam.