1.0 PENGENALAN
Pemuda itu perlu ada peribadi Ṭālut iaitu
kelebihan dalam lapangan ilmu dan kegagahan tubuh badan (basṭatan fī al-ʿilm
wa al-jism).[1]
Mereka juga wajar memiliki peribadi Yūsuf iaitu yang amanah (hafīẓun
ʿalīm).[2]
أَيَنْقُصُ الدِينُ وَ أَنَا حَيُّ؟
Apakah agama ini mundur
sedangkan aku masih hidup?
Frasa di atas
adalah lontaran pertanyaan Saydinā Abū Bakr al-Ṣiddīq ketika beliau dilantik
sebagai Khalifah. Frasa ini juga yang acapkali di ulang-ulang oleh Abū al-Ḥasan
Al-Nadwī dalam siri-siri syarahannya.
Agama ini tidak akan dibiarkan mundur dan
perjuangan itu perlu berterusan hingga hembusan nafas terakhir. Setiap detik
dalam hidup ini perlu dimanfaatkan tidak lain tidak bukan adalah untuk dakwah
Islam. Inilah roh slogan kepemudaan yang ‘hidup’ dalam kehidupan beliau
sendiri.
Hampir kesemua karya-karya beliau
antaranya Mādhā Khasir Al-ʿĀlam Bī Inḥiṭāṭ Al-Muslimīn, Naṣā’ih wa
Tawjīhāt Lī Shabāb Al-Muslimīn, Ḥikmat Al-Daʿwah wa ṣifat Al-Duʿāh, Rijāl Al-Fikr
aa Al-Daʿwah Fī Al-Islām, Al-Sirāʿ Bayna Al-Īmān wa Al-Māddiyyah dan Ilā
Al-Islām Min Jadīd (sekadar menyenaraikan beberapa buah buku) mengapungkan
tema kepemudaan.
Adalah wajar untuk generasi anak muda
masa kini meladeni masa-masa emas zaman kepemudaan dengan menelaah dan
menghadam buah fikiran Abū al-Ḥasan Al-Nadwī untuk kemandirian thaqāfah generasi pelapis pada
masa akan datang. Kita tidak mahu generasi ini hanya gah di luaran tetapi
kosong pada akalnya, gersang pada pada jiwanya.
Cukuplah Harry R. Lewis menghamburkan
kegusarannya dalam Excellence without a Soul tentang masa depan anak
muda di Amerika Syarikat yang lahir daripada pusat pengajian ternama, namun
gagal pada sudut modal insan. Anak muda Islam di Malaysia perlu dibentuk
dengan acuan qur’ānī yang jitu. Maka, karya-karya Abū al-Ḥasan Al-Nadwī adalah
pilihan yang tepat kerana ia sarat dengan pesan-pesan kepemudaan yang holistik
dan malarsegar (evergreen).
2.0 DEFINISI
PEMUDA DAN KEPEMUDAAN
Firman Allah SWT,
إِنَّهُمْ
فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾
“Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda
yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah
petunjuk.”[3]
Jika dirujuk dalam leksikon Arab (Arabic
lexicon) semisal Mukhtār al-Siḥḥaḥ, kalimah fityat (فِتْيَةٌ)
adalah daripada kata dasar kalimah fa ta ya (ف ت ي)
ataupun pluralnya adalah fityān (فِتْيَانٌ).
Al-fatā (الْفَتَى) itu sinonimnya al-shābb
atau pemuda (youth/adolescent).[4]
Imam Al-Qurṭūbī, seorang tokoh mufassir
yang terkenal ketika mengulas istilah kepemudaan (الْفُتُوَّةُ) menukilkan definisi oleh al-Junayd dengan
memaknakan ia sebagai sikap melakukan kebaikan kepada orang lain (badhl
al-nadā), tidak menyusahkan orang lain (kaff al-adhā) dan meninggalkan rungutan terhadap orang lain
(tark al-shakwā). Dikatakan juga makna al-futuwwah (noble manliness) adalah menghindari perkara yang
haram dan bersegera dalam hal kebaikan.[5]
Bagi Abū al-Ḥasan
Al-Nadwī sendiri, frasa (إِنَّهُمْ
فِتْيَةٌ) itu sendiri
mengandungi makna yang mendalam untuk dihadam. Hakikatnya, Allah SWT hendak
menzahirkan bahawa kelompok anak
muda yang meninggalkan aspek materialistik, kelapangan dan kesenangan hidup
serta kerehatan, adalah amat sedikit jumlahnya bagi setiap zaman.[6]
Sebahagian besarnya gemar bersenang-lenang dengan nikmat dunia dan lalai dalam
pengaruh materialisme.
Maka, dapat disimpulkan bahawa, pemuda
dan kepemudaan itu, lebih dilihat dari sudut sikapnya, perilakunya dan
ketrampilannya selain usianya. Itulah kebiasaanya sifat bagi pemuda;
idealistik, bersemangat tinggi, jiwanya berkobar-kobar dan sentiasa bertenaga.
3.0 RUH
KEPEMUDAAN DALAM KARYA-KARYA MAWLĀNĀ ABŪ AL-ḤASSAN ʿALI AL-NADWĪ
Dr. Abdullah Nāṣiḥ ʿUlwān menyenaraikan
3 tugasan utama bagi para pemuda untuk dilakukan dalam kehidupan mereka.
- Melaksanakan tujuan peribadatan kepada Allah, tunduk patuh kepada-Nya, serta berserah diri kehadrat-Nya dalam setiap musibah yang menimpa.
- Mengikut manhaj rabbānī yang tidak akan ditembusi oleh kebatilan.
- Memberi kesetiaan (walā’) hanya kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin.[7]
Adapun, tugas
terbesar sebagai seorang pemuda adalah sebagaimana yang ditegaskan oleh Rib’ī
ibn ʿĀmir iaitu menegakkan hukum Allah di muka bumi, mengeluarkan
hamba-hamba-Nya daripada penyembahan sesama makhluk kepada penyembahan hanya
kepada-Nya, mengeluarkan mereka daripada kesempitan hidup kepada keluasannya
dan daripada kezaliman kekafiran kepada keadilan Islam.
Terlalu banyak
untuk kita teladani karya-karyanya satu persatu bagi mengutip pesan-pesan
berharga untuk pemuda-pemudi Islam di zamannya dan zaman selepasnya. Apa yang
menghalang cuma persoalan masa dan rasa. Masa yang mencemburui dan rasa malas
yang menyelubungi. Namun, sebagaimana disebutkan satu kaedah fiqh, “Apa yang
tidak mampu dilakukan semua, jangan ditinggalkan semuanya.” (mā lā yudriku
kulluhu, lā yutraku julluhu).
Sebagai pedoman
bersama, digariskan beberapa pesan dan idea kepemudaan oleh Abū al-Ḥasan Al-Nadwī untuk
dihadamkan bersama.
3.1 HIMMAH YANG TINGGI
Firman Allah SWT,
إِنَّهُمْ
فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Maksudnya: Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman
kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.[8]
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī dilihat konsisten mengulangi ayat ini dalam beberapa siri
syarahannya yang dihadiri oleh anak-anak muda dan telah menulis sebuah buku
yang khusus bagi membicarakan perihal Surah al-Kahfi yang mengupas dengan lebih
mendalam tentang asḥāb al-kahfī.[9] Dalam
satu syarahan di sebuah Institut Pengajian Islam di Dubai beliau telah
menyatakan,
Ayat yang telah dinyatakan ini adalah satu pelajaran buat para pemuda Islam yang berintelektual, memiliki himmah yang tinggi dan kecerdikan yang tajam, digolongkan mereka dalam (golongan yang punya) kekuatan yang mulia dan kebijaksanaan yang melimpah ruah, membara kecaknaan mereka, tanpa ada pada mereka kesombongan dan takabbur...[10]
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī cukup menekankan para pemuda Islam supaya mencontohi kehidupan pemuda Kahfi (aṣḥāb al-kahfī) yang menjadi model terbaik dalam pembentukan fikrah kepemudaan yang hakiki. Mereka sempurna daripada aspek akidah (fityat āmanū birabbihim), ditambahi pula jiwa mereka dengan hidayah (wazidnāhum hudā).
Di tengah kebobrokan kemewahan yang menindas
yang dikuasai oleh kerajaan yang berkuasa, dicemari dengan idolisasi kebendaan,
telah muncul segolongan pemuda yang berpegang dengan ajaran luhur Nabi Isa ʿalayh
al-salām.[11]
Ini menandakan cahaya kebenaran itu sama sekali tidak akan terluput walapun
dalam gelap kezaliman.
Ciri-ciri pemuda Kahfī yang dihuraikan di atas
olehnya, jelas menggambarkan betapa Abū al-Ḥasan Al-Nadwī begitu memahami apa yang
tersirat di sebalik ayat berkenaan. Keperluan bagi mengkaderkan generasi pemuda
yang berintelektual, punya himmah yang tinggi dan kebijaksanaan adalah satu
kewajiban sepanjang zaman. Tidak ada satu perkara yang lebih indah daripada
mempunyai kualiti barisan pemuda yang teguh berdiri mempertahankan akidahnya.
Kuantiti mereka semestinya amat kecil tetapi
impak yang mereka hasilkan berjaya merubah paradigma masyarakat kepada satu
bentuk perubahan yang membawa kebaikan. Bilangan yang ramai tidak semestinya
jaminan kejayaan. Bilangan yang minima, belum tentu punca bagi kegagalan.
3.2 PERI PENTING ILMU DAN PENDIDIKAN
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī menegaskan bahawa, sudah sampai
masanya umat Islam menghidupkan kembali bentuk pengajaran dan pembelajaran di
zaman Nabi SAW. Ia perlu digabungkan dengan sistem pengajian formal (madrasah)
yang wujud kini.[12]
Antara karyanya berhubung reformasi dunia pendidikan adalah Musalamanon ki
Umoomi Taleem o Tarbi’at (Education and Nurturing of Muslim Mass) dan Naḥw
al-Tarbiyyah al-Islamiyyah al-Ḥurrah.
Beliau melihat ilmu sebagai kunci untuk keluar daripada sebarang
permasalahan. Jelas sekali, beliau kecewa dengan dunia Islam, termasuklah dunia
Arab yang melepaskan amanah sebagai gedung ilmu dan penunjuk arah, kehilangan
kebebasan dalam berfikir sehingga bergantung sepenuhnya kepada Barat.
Antara apa yang digusarkannya adalah,
bidang-bidang utama seperti Bahasa Arab dan sasteranya, tafsir, hadis dan fiqh
seakan-akan dikuasai oleh orang-orang Barat terutamanya Orientalis kerana umat
Islam terlalu bergantung kepada Barat.[13]
Bagi yang biasa menelaah karya-karya
beliau, pasti akan merasai betapa Abū al-Ḥasan Al-Nadwī cukup menekankan ilmu sebagai
tuntutan asas seorang Muslim. Tuntutan yang diperjuangkannya adalah satu bentuk
pemahaman baru tentang ilmu yang jauh daripada pengaruh materialisme Barat. Antaranya
disebutkan:
“Setiap pelajar yang keluar daripada pendidikan
mereka benar-benar kenyang dengan semangat materialisme…turut pula tunduk
kepadanya (Barat) adalah dunia Islam kerana dunia Islam di saat itu sedang
mengalami kemerosotan ilmu pengetahuan dan kelumpuhan cara berfikirnya.”[14]
Beliau menegaskan keperluan untuk dunia Islam bangkit dengan metod
pendidikan yang baru, bebas apatah lagi mengikut telunjuk Barat. Bagi disiplin
ilmu teras seperti al-Qur’ān dan al-Ḥadīth, beliau memberikan penekanan yang
serius dalam mencari makna disiplin ilmu-ilmu berkenaan.
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī menekankan
kepentingan bagi mereka yang membaca al-Qur’ān untuk memahami tuntutan
al-Qur’ān dengan mentadabburnya dan mengaplikasikannya dalam kehidupan
seharian. Al-Qur’ān sewajarnya tidak hanya menjadi rutin bacaan harian tetapi
perlu digali keindahan dan manfaatnya melalui kitab-kitab tafsir yang sedia
ada. Roh al-Qur’ān itulah yang perlu digarap oleh para pembacanya.[15]
Pengajian ḥadis pula perlu dilihat daripada aspek nilai amalinya
dalam kehidupan termasuk aspek sosial, dimensi hukum (fiqh) dan dimensi
akhlak/adab (tazkiyyatunnafs). Berapa ramai mereka yang menekuni hadis,
tidak melihatnya dari dimensi-dimensi yang disebutkan. Natijahnya, hadis menjadi
satu disiplin yang kontang dan tidak memiliki rohnya yang tersendiri.[16]
Ini yang seharusnya difahami kerana hadis bukan semata-mata untuk dihafal dan
dijadikan bumbu penyedap dalam pidato.
Selain itu, beliau turut melahirkan kerisauannya kerana tidak ramai
dalam kalangan ahli fikir dan penulis daripada dunia Timur yang menjadi giant
dalam hal keilmuan dan mampu mengkritik peradaban Barat serta falsafahnya
dengan tuntas. Pun begitu, beliau tetap mengiktiraf Muhammad Iqbal dan Muhammad
Asad (Leopold Weis) sebagai dua tokoh besar yang berpengaruh dalam dunia Islam
dan Barat.[17]
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī juga melihat
bahawa memahami Bahasa Inggeris dan kebudayaan Inggeris adalah satu alat dakwah
yang menjadi keutamaan pada era kontemporari. Sehinggakan, beliau mengkhususkan
peranan Bahasa Inggeris dalam bukunya Naṣā’iḥ Wa Tawjīhāt Li Al-Shabāb Al-Muslimīn
di bawah bab Al-Injiliziyyah
wa Dawruhā fī al-Qiyām bi Wājib al-Daʿwah fī al-ʿAsr al-Ḥāḍir. Beliau
melahirkan rasa syukur dengan kemampuannya dalam Bahasa Inggeris kerana, ia
memberi manfaat yang besar dalam penulisannya (membaca buku-buku
berkenaan Islam dan sejarah dalam Bahasa Inggeris) dan juga siri lawatannya ke
England dan Amerika Syarikat. Kisah ini beliau nukilkan daripada bukunya Fī
Masīrat al-Ḥayāh.[18]
3.3 PEMIKIRAN YANG MENDEPANI ZAMAN
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī adalah
antara tokoh yang mempelopori idea pembaharuan pemikiran (tajdīd al-fikr)
pada zamannya. Ianya digarap dengan cukup baik hasil keilmuan, pengalaman dan ilhām
rabbāni yang dianugerahkan kepadanya.
Melalui zaman kebangkitan menggila fasisme Hindu dan era
pengHinduan negara (Hinduized state), Muslim di India berusaha untuk
mengekalkan identiti yang berbeda yang kian terancam. Dalam kemelut serangan
terhadap umat Islam di India, Abū al-Ḥasan Al-Nadwī muncul dengan idea dialog antara agama yang bertujuan
mewujudkan persefahaman antara penganut Hindu dan umat Islam di India.[19]
Keperluan untuk umat Islam keluar daripada kepompong sedia ada mula
disuarakannya pada awal 1950an semasa penyertaannya dalam Jamaah Tabligh.
Selain itu, apa yang dilontarkan melalui pena penulisannya sentiasa
dilihat mempunyai roh iṣlāh dan tajdīd. Jalur pemikirannya yang bersendikan wasaṭiyyah
(moderate) mewarnai penulisannya antaranya pada buku Rijāl al-Fikr wa
al-Daʿwah fī al-Islām. Mungkin belum pernah ada ulama’ mahupun revolusioner
Islam yang biasa menulis, pada zamannya atau zaman sebelumnya, merangkumkan pemikiran
tokoh-tokoh yang berbeza jalurnya, dalam satu magnum opus yang sangat
bermanfaat sebagaimana buku itu.[20]
Membaca buku itu, seakan menyelam jauh ke dasar pemikiran dan idea
futuristik Abū al-Ḥasan Al-Nadwī yang mahu umat Islam meninggalkan jauh dunia perbalahan
atas apa sahaja label yang memecahkan benteng perpaduan. Bukan mudah untuk
menggaulkan sisi Abu al-Ḥasan al-Ashʿārī, al-Ghazzālī, Jalāl al-Dīn al-Rūmī,
Ibn Taymiyyah, al-Sirhindī, dan Ahmad ibn Ḥanbal (sekadar menyebut beberapa
tokoh yang ditampilkannya) dalam satu wacana wasaṭiyyah, namun beliau
berjaya melakukannya.[21]
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Yūsuf al-Qaradhāwī ketika
mengulas keperibadian Abū al-Ḥasan Al-Nadwī :
Syeikh (Abū al-Ḥasan Al-Nadwī) adalah seorang lelaki yang sederhana pada pemikirannya dan perbuatannya serta seluruh hidupnya. Beliau (membawa wawasan) yang silam (qadīm) dan baharu (jadīd), (menggabungkan) pemikiran klasik (turāthī) dan kontemporari (ʿasrī), salafī dan ṣūfī, tegas dan fleksibel, padanya kelembutan sutera dan kepaduan besi. Maka inilah yang dikehendaki untuk wujud pada generasi kebangkitan.[22]
3.4 PERANAN WANITA DALAM PEMBANGUNAN UMMAH
Abū al-Ḥasan Al-Nadwī tidak
menulis sebuah buku yang khusus yang membicarakan berkenaan wanita. Namun,
idea-idea emansipasi wanita jelas dinyatakan dalam risalah-risalah dan siri-siri
syarahannya. Ia dikumpulkan dan dijadikan sebuah buku kecil yang bertajuk Makānat
al-Mar’ah fī al-Islām (Status of Women in Islām).
Beliau menyifatkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadis yang membicarakan konsep
baru kesetaraan hak wanita, sebagai satu konsep yang sangat revolutionary.[23]
Ia seakan membentuk ‘kelahiran baru’ wanita dalam masyarakat. Wanita dianugerahkan
satu kedudukan yang tersendiri dengan Islam dan berbeza sama sekali dengan Manu
smriti, undang-undang Hamurabbi, tamadun Mesir, Greek dan lain-lain.
Selain itu, Sayyid ʿAbd al-Mājid al-Ghourī ada merekodkan satu teks
ucapan panjang yang menyegarkan oleh Abū al-Ḥasan Al-Nadwī khusus buat graduan siswi pada
Majlis Konvokesyen Universiti Nur al-Islam Lil Banat, Lucknow. Dalam teks
ucapan tersebut, Abū al-Ḥasan Al-Nadwī merumuskan
bahawa wanita mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembentukan ummah. Beliau
menyeru kepada hadirin untuk kembali menekuni para ulama’ agung dan para
solihin di masa silam. Pasti, ada sosok seorang ibu yang hebat di sisinya.
Antara tokoh ilmuwan wanita yang dibentangkannya adalah ahli hadith
Karīmah bintu Aḥmad bin Muḥammad al-Marwaziyyah (Umm al-Kirām), sasterawati
Wallādah bintu al-Mustakfī al-Andalusiyyah dan Al-Sayyidah al-Khansa’, ibu bagi
para shuhadā’[24]
Sebagaimana Surah al-Ahzāb ayat 35 sama sekali tidak menyisihkan
wanita, maka sewajarnya umat Islam sama sekali tidak melihat kelompok gender
ini sebagai kelas kedua, kerana kedua-duanya dijanjikan keampunan (maghfirah)
dan pahala yang besar (ajran ʿaẓīmā) oleh Allah SWT.
Maka, wanita bukan sekadar perhiasan dunia, bukan juga bahan
hiburan sebagaimana yang dilakukan oleh tamadun-tamadun silam, bahkan daripada
merekalah pasak tauhid yang pertama dibina dalam diri anak-anak. Mereka juga
yang bertindak sebagai murabbiyyah dan murshidah yang melorongkan
anak-anak supaya menjadi generasi yang punya upaya yang tinggi untuk menegakkan
kalimah-Nya.
KESIMPULAN
Generasi kemenangan yang dinanti (al-jīl
al-naṣr al-manshūd) adalah satu frasa untuk menggambarkan generasi penerus
mata rantai dakwah yang berlangsung daripada Nabi Muḥammad SAW. Sesiapa yang
mengkaji sejarah akan melihat betapa Salafussoleh begitu menghargai anak muda.
Rasulullah SAW pernah mengangkat ʿAttāb bin Usayd menjadi pemimpin kota Makkah
pada usianya baru mencecah 17 tahun. ʿUsamah bin Zayd dijadikan ketua pasukan
ke Syam pada usia 20 tahun walaupun ada yang lebih dewasa dan berpengalaman
daripadanya. Abū Bakr al-Siddīq sendiri memilih Zayd bin Thābit untuk mengetuai
projek pembukuan al-Qur’ān walaupun Zayd hanya berusia 22 tahun.
Sudah sampai
masanya acuan pendidikan Rasulullah SAW dikembalikan semula dalam sistem
pendidikan umat Islam. Itu yang menjadi antara elemen utama perjuangan Abū al-Ḥasan Al-Nadwī semasa
zamannya. Tiada salahnya mengenang sumbangan besar beliau dalam dunia Islam,
namun lebih utama untuk diagendakan adalah usaha untuk mencetak Al-Nadwī kedua.
Jika tidak, kisahnya hanya tinggal sebagai warna romantisisme semata-mata.
Di sinilah peranan para ulama’, para pendakwah
dan mufakkir di Malaysia untuk menyusun satu sistem pengajian sintesis turāthi
(klasik) dan ʿasrī (kontemporari), bersendikan acuan pendidikan
nabawi yang bersifat ta’dībī di mana natijahnya adalah generasi modal insan
yang kenal akan Tuhan-Nya serta faham akan peranannya sebagai Khalifah.
Idea-idea
kepemudaan Abū al-Ḥasan Al-Nadwī bukan untuk diwacanakan semata-mata. Bahkan, ia perlu
terus dipraktikkan dalam kehidupan generasi Y masa kini. Anak muda Islam pastinya perlu terus
melazimi karya-karya Abū al-Ḥasan Al-Nadwī, seorang da’i ideologue yang tidak pernah lelah
dalam menyampaikan seruan kepemudaan untuk manfaat generasi ummah khususnya pemuda
dan pemudi Islam. Tiada jalan untuk mencapai kejayaan melainkan mencontohi
mereka yang terdahulu. Memetik puisi
Muhammad Iqbal sebagai harapan kepada anak muda, yang dinukilkan oleh Abū al-Ḥasan Al-Nadwī dalam
bukunya
Glory
of Iqbal,[25]
Aku
cintakan para pemuda yang
Melemparkan
jerat mereka untuk menangkap bintang-bintang
Kurniakanlah
(Oh, Tuhan) kepada para pemuda itu munajatku sebelum Subuh,
Kepada
helang-helang itu, kurniakanlah bulu dan sayapnya!
Wahai
Tuhan! Hamba-Mu ada satu sahaja hasrat—
Kurniakanlah
kepada semua nikmat pandangan tajamku!
[1] Al-Qur’ān: Surah al-Baqarah: 247.
[2] Al-Qur’ān: Surah Yūsuf: 55.
[3] Al-Qur’ān: Surah al-Kahfi: 13
[4] Al-Razi, Zayn al-Dīn, Abu Abdullah Muḥammad bin Abi
Bakr bin Abd al-Qadir al-Ḥanafi, 1999, Mukhtār Al-Siḥḥaḥ, Beirut: Maktabah
al-Asriyyah.
[5] Al-Qurtubi, 1964, Al-Jāmiʿ lī aḥkām al-qur’ān, Kaherah:
Dar al-Kutub al-Misriyyah, m. 364.,jil. 10.
[6] Al-Ghuri, Sayyid Abd al-Majid,
2001, Rahlāt al-ʿallāmah abī al-ḥasan ʿalī al-ḥasanī al-nadwī, Beirut: Dar
Ibn Kathir, m. 574.
[7] Abdullah Naṣiḥ Ulwan, Hattā Yaʿlam al-Shabāb,
Riyadh: Dar al-Salam, m. 4.
[8] Al-Qur’ān. Surah al-Kahf: 13
[9] Rujuk Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, Al-Sirā’
Bayna Al-Īmān Wa Al-Māddiyyah: Ta’ammulāt Fī Sūrat Al-Kahfī.
[10] Al-Ghuri, Sayyid Abd al-Majid,
2001, Rahlāt Al-ʿAllāmah Abī Al-ḥasan ʿAlī Al-ḥasanī Al-Nadwī, m. 618.
[11] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 2005, Faith Versus
Materialism: The Message of Surah al-Kahf, Kuala Lumpur: Islamic Book
Trust, p. 46.
[12] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, t.t. Education
and Nurturing of Muslim Mass m. 23.
[13] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1984, Mādhā Khasir
al-ʿĀlam bī Inḥiṭāṭ al-Muslimīn (terj. Bey Arifin, Yunus Ali al-Muhdlar),
Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd. m. 339.
[14] Ibid. m. 342.
[15] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1999. Naṣā’iḥ Wa
Tawjīhāt Li Al-Shabāb Al-Muslimīn, Beirut: Dar Ibn Kathir, m. 18-19.
[16] ibid. m. 19-27
[17]
Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1984, Mādhā Khasir
al-ʿĀlam bī Inḥiṭāṭ al-Muslimīn (terj. Bey Arifin, Yunus Ali al-Muhdlar), m.
341.
[18] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1999. Naṣā’iḥ Wa
Tawjīhāt Li Al-Shabāb Al-Muslimīn, m. 70-72.
[19] Yoginder Sikand, 2006, Sayyed Abul Hasan ‘Ali Nadwi
and Contemporary Islamic Thought in India, The Blackwell Companion to
Contemporary Islamic Thought, United Kingdom: Blackwell Publishing, m. 97.
[20] Pengiktirafan kepadanya sebagai tokoh mujaddid
diberikan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Menurutnya : “Al-Nadwi adalah
kurniaan Allah kepada ummah untuk memperbaharui agama-Nya, mengembalikan semula
keyakinan ummah kepada agama, dan mengangkat mereka untuk melaksanakan
risalah-Nya.”. Rujuk al-Qaradhawi, Yusuf, 2001, al-Shaykh Abū al-Ḥasan
al-Nadwī Kamā ʿAraftuhū, Damshiq : Dar al-Qalam, m. 6.
[21] Rujuk Rijāl al-Fikr wa al-Daʿwah fī
al-Islam.
[22] ibid. m. 92.
[23] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1986, Status
of Women In Islam, Lucknow : Nadwa Press, m. 17.
[24] Al-Ghuri, Sayyid Abd al-Majid, 2001, Muhāḍarāt Islāmiyyat lī Samāḥah al-ʿAllāmah al-Shaykh Abī
al-Ḥasan ʿAli al-Ḥasanī al-Nadwī, Damshiq : Dar Ibn al-Kathir, m. 527 – 537, jil. 2.
[25] Al-Nadwi, Abu al-Hasan Ali al-Nadwi, 1979, Glory
of Iqbal, Lucknow: Lucknow Publishing House, m. 62
No comments:
Post a Comment