Wednesday 21 September 2016

Abu al-Hasan al-Nadwi: Meluruskan Salahfaham Sufisme



Buku ini saya gemar bawa ke mana-mana kerana ianya ringan dan handy. Tidak saya selesaikan dalam masa yang singkat kerana mesej-mesej yang dibawa oleh al-Nadwi sangat mengasyikkan untuk dihadam dengan perlahan-lahan. Rabbaniyyah la Rahbaniyyah merupakan satu buku yang sangat wajar dijadikan rujukan pemula bagi memahami konflik asas dalam dunia kesufian; mengangkat Tuhan sebagai Tuhan atau menTuhankan manusia.

Buku setebal 151 mukasurat ini membawakan beberapa perkara besar bermula dengan polemik istilah "tasawwuf" yang menjadi pertelingkahan umat Islam pada masa itu yang menunjukkan betapa masyarakat hanya melihat kulit dan jauh sekali memahami isinya. Kerana itulah, al-Nadwi mencadangkan agar dinamakan sahaja dengan tazkiyah, ihsan atau fiqh al-batin kerana tujuannya yang terutama adalah memahami falsafah dan peranan penyucian hati dalam Islam.


Satu hal yang menarik adalah al-Nadwi berjaya mencorakkan satu pemahaman baru terhadap tokoh-tokoh besar yang diangkat oleh dua kelompok yang saling bertelagah; Sufi dan Salafi. Dari sisi Sufi, beliau membawakan kisah-kisah 'Abd al-Qadir al-Jilani dan Maulana Jalal al-Din al-Rumi. Manakala, dari sisi Salafi pula adalah sosok ulama' terkenal, Shaykhul Islam Ibn Taimiyyah. Kisah-kisah kesufian para tokoh ini digarap dengan penuh harmoni dengan satu gagasan yang saya nampak; seakan-akan mensalafikan sufi dan mensufikan salafi. 

Al-Nadwi mengangkat kedudukan ahli Sufi yang sebenar ke tahap yang lebih tinggi dalam buku ini. Jika kita biasa terdengar bahawa ahli Sufi ini sikapnya tidak bercampur dan aktif berpartisipasi dalam masyarakat, kenyataan itu disanggah oleh al-Nadwi dengan cukup tuntas. Disebalik kisah-kisah kelompok Sufi yang menyeleweng di India, para tokoh Sufi di sana digambarkan sebagai figura reformatif yang terlibat secara langsung dalam perjuangan menentang penjajah Inggeris dan pejuang golongan miskin serta tertindas. Sayyid Adam al-Banury yang memberi jamuan makan kepada 1000 orang setiap hari, Sayyid Ahmad bin Irfan yang membangunkan zawiyah yang menjadi tempat perlindungan masyarakat, kejujuran Shaykh Qutb al-Din Munawwar yang menginsafkan Sultan Muhammad Tughluq, keberanian Shaykh Fakhr al-Din al-Zaradi menegur rajanya, teguran Shaykh Mirdad kepada raja sehinggakan raja sendiri memohon maaf kepadanya dan pelbagai lagi kisah-kisah yang sangat inspiratif.

Melangkau ke skop yang lebih luas, al-Nadwi menukilkan juga kisah perjuangan Shaykh Ahmad al-Sirhindi, 'Abd al-Qadir al-Jaza'iri, Shaykh Ghazi Muhammad al-Naqshabandi, Sayyid Ahmad Sharif, Sayyid Mahdi al-Sanusi dan lain-lain yang turun ke medan perang bagi melawan penjajah dan musuh-musuh Islam.

Bab akhir ditutup dengan kisah pemergian para ahli Sufi dan persediaan mereka menemui kematian. Antaranya, al-Nadwi ada menukilkan diari detik-detik akhir Shaykh Fadhl al-Rahman al-Kanj Muradabadi yang begitu merindukan bacaan hadis sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Begitu juga kisah kesungguhan beliau mengamalkan sunnah hingga ke saat-saat akhir kematian. 

Secara keseluruhan, ia sebuah buku pemula yang baik untuk meluruskan salahfaham berkenaan Sufisme. Wajar dibaca oleh mereka yang bersikap pesimis terhadap tasawwuf juga mereka yang telah tenggelam dalam penyelewengan segelintir orang yang berselindung atas nama tasawwuf. Agar kedua-dua kelompok ini kembali bersatu atas landasan al-Qur'an dan al-Sunnah.

Kerana akhirnya, kita menuju ke arah ketuhanan, bukannya kerahiban!

No comments:

Post a Comment