Friday 1 April 2016

Catatan Tentang Relevansi Ilmu Kalam



Selepas Subuh tadi sempat sambung muzakarah kitab Uṣūl al-Dīn Iʿtiqād Ahl al-Sunnah wa al-Jamāʿah karangan Shaykh Mukhtār ibn ʿAṭārid. Perbincangan seputar sifat qiyāmuhu taʿālā binafsih dan waḥdāniyyah. Saya huraikan berkenaan konsep penafian atau ‘kam’ yang ada pada sifat waḥdāniyyah iaitu kam munfaṣil dan kam muṭṭaṣil dari sudut dhāt (essence), ṣifāt (attributes) dan afʿāl (actions) pada Allāh.

Jika diteliti, ulama’ Ashāʿirah begitu teliti dalam memberikan takrif dan huraian berkenaan satu-satu sifat dan sedaya upaya menafikan penyamaan Allāh dan makhluk melalui penjelasan yang bersifat ʿaqlī (acquired knowledge) dan naqlī (revealed knowledge).


Penggunaan akal dalam tradisi Ashāʿirah hakikatnya tidak membawa kepada ‘penuhanan akal’ kerana jelas dinyatakan dalam Tārīkh al-Madhāhib al-Islāmiyyah oleh Shaykh Muḥammad Abū Zahrah bahawa dari sudut keutamaan pengunaan akal dalam mazhab akidah, Muʿtazilah dan Māturīdiyyah lebih mendahului Ashāʿirah. Aliran Ashāʿirah tetap mendahulukan wahyu berbanding akal. Takwilan-takwilan oleh aliran Ashāʿirah adalah satu hal yang biasa dan tidak perlu dihairankan kerana sememangnya asas aliran berkenaan bersifat ‘protective’ dan ‘reactive’ dari satu sudut, terhadap aliran-aliran luar Ahl al-Sunnah wa al-Jamā’ah. Dari sudut yang lain, Ashāʿirah turut menerima konsep tafwīḍ al-amr ilallāh (relegation of matters to God).

Pendekatan akliah oleh Ashāʿirah bukan sahaja untuk memahamkan ummah pada ketika itu (zaman wujudnya aliran ini) tetapi adalah untuk menjadi perisai dan menyerang balas serangan pemikiran aliran ahli falsafah Yunani dan ahli-ahli teologi Kristian. Pendekatan kedua-dua kelompok inilah yang membentuk aliran Jahmiyyah, Bāṭiniyyah, Karāmiyyah. Akal sebagai yang dinyatakan oleh Shaykh al-Qarāḍāwī dalam al-ʿAql wa al-ʿIlm fi- al-Qur'ān al-Karīm mempunyai fitrah yang baik malah merupakan sumber kebaikan dan fitrah yang mengakui kebesaran Tuhan. Al-Qur’ān juga dilihat tidak membataskan penggunaan akal kepada fungsi akal nazari (discursive reasoning) sahaja bahkan menjangkau dimensi keagamaan dan kerohanian.

Dalam konteks hari ini, kita dapat lihat bahawa pendekatan akliah menjadi inti utama Peradaban Barat Moden dan dijelmakan melalui aliran-aliran seperti atheism, positivisme, empirisme,  humanisme, saintisme, skeptisme, naturalisme dll. Maka, pendekatan ulama’ Ashāʿirah yang banyak mengupas tentang prinsip-prinsip epistemologi seperti al-ʿilm, al-naẓar, al-istidlāl dan al-taṣawwur sangat membantu dalam (i) mengelakkan umat Islam bertaklid dalam soal akidah kerana ia perlu difahami dan diyakini dengan hujah yang jelas (ii) memperlengkap umat Islam dengan ‘senjata’ bagi mengelakkan kekeliruan golongan Sūfastā’iyyah (Sophists) yang cenderung untuk menisbikan ilmu pengetahuan.

Kesimpulannya, kita raikan apa yang baik daripada tradisi keilmuan Islām. Mutiara-mutiara ulama’ silam ini wajar dipelihara, dihidupkan kembali dan diberi nafas baru sesuai dengan kehendak semasa. Saya secara peribadi melihat masih banyak ruang untuk metodologi ahli kalām menembusi ruang ilmu-ilmu agama seperti Fiqh dan Uṣūl al-Fiqh serta ruang ilmu sains seperti Fizik, Biologi, alam sekitar, kebebasan, hak asasi, kejuruteraan, teknologi seterusnya menjadi ‘meta-science’ yang mampu menilai ilmu agama dan sains daripada kacamata akidah dan akhirnya menatijahkan praktikaliti dalam aspek ekonomi, politik dan sosial.

10.15 AM
1 April 2016, Jumaat
Mahallah Zubair, UIAM.

No comments:

Post a Comment