Monday 24 July 2017

Nota 2: Wasatiyyah Dalam Aqidah



Pendekatan kalam boleh diaplikasikan sekiranya ada isu-isu melibatkan kekeliruan/serangkan akliah. Misalnya, dulu Siti Kasim pernah bangkitkan isu tuhan Getaran. Dia menyebut tentang hal berkaitan Tuhan 'yang berkemungkinan diciptakan oleh 'sesuatu'. Jika aura tenaga positif yang baik, beliau percaya Tuhan yang baik akan dapat dihasilkan. Begitu juga sebaliknya.

Isu ini telah lama dihuraikan oleh ulama' Asya'irah di dalam perbahasan dawr (circular reasoning) dan tasalsul (infinite circle).

Contohnya, A adalah sebab bagi B dan B sebagai sebab bagi A. Begitu juga A sebab bagi B, B sebab bagi C, C sebab bagi D dan D sebab bagi A.

Secara logik, jika A menjadi sebab bagi B, maka B tidak akan pernah menjadi sebab bagi A. Sebagai contoh, jika Najib makan, maka perutnya kenyang. “Kenyang” merupakan akibat dari “makan”. Tidak logik sama sekali "kenyang" itu penyebab Najib makan kerana penyebab makan adalah lapar. Sebab dan akibat tidak pernah berputar, tetapi berlanjutan. A sebab dari B, B sebab dari C, C sebab dari D. Allah suci daripada hal ini.

Dalam masa yang sama, jika difahami Tuhan itu dari bentuk tasalsul, adalah jauh dari logik akal. Tuhan A mencipta Tuhan B, Tuhan B mencipta Tuhan C...sehinggalah tidak ada penamatnya.

Jelas dengan logik mudah ini, teori dawr dan tasalsul yang diimani kelompok atheis dan Muslim yang terkeliru ini, adalah tidak tepat. Di sinilah gunanya pemahaman sifat Qidam dalam pengajian Sifat 20.

Sifat Qidam ialah ketiadaan permulaan bagi keberadaan atau wujud Allah, sebab Allah adalah sumber semua makhluk, Pencipta makhluk, dan pencipta itu mesti lebih dahulu daripada yang dicipta. Dia sedia adanya tanpa sesuatu yang mengadakan-Nya. Allah SWT. berfirman :

هُوَ الْأَوَّلُ وَالْآخِرُ وَالظَّاهِرُ وَالْبَاطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Dia-lah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Hadid: 3)

Memetik kata Imam al-Sanusi dalam Umm al-Barahin,

"Dalil yang menunjukkan kewujudan Allah SWT tidak ada permulaannya ialah sekiranya Allah SWT baru diciptakan, maka pastilah ia berhajat kepada pencipta-Nya. Perkara ini akan membawa kepada masalah dawr atau tasalsul. Kedua-dua perkara ini mustahil pada akal fikiran manusia."

No comments:

Post a Comment