Monday 24 July 2017

Catatan Ringkas Buat Puan Asiah Abd Jalil



Ulasan berdasarkan status Facebook Asiah Abd Jalil

Solat di Sisi Para Nabi Terdahulu

Antara bukti ibadah solat wujud sejak zaman para Nabi terdahulu adalah:

• Nabi Yunus (Surah al-Saffat: 143-144) 
• Nabi Ibrahim (Surah Ibrahim: 37, 40)
• Nabi Ismail (Surah Maryam: 54-55)
• Nabi Ishaq (Surah al-Anbiya’: 72)
• Nabi Syu’aib (Surah Hud: 87)
• Nabi Musa (Surah Taha: 13-14; Surah Yunus: 87)
• Nabi Daud (Surah Sad: 24)
• Nabi Sulaiman (Surah Sad: 30-33)

Maka, dapat kita simpulkan bahawa ibadah solat itu wujud walaupun tatacaranya mungkin berbeza mengikut zaman sebelum ditetapkan pada zaman Nabi Muhammad SAW.


Benarkah Perubahan Tatacara Solat Itu Menunjukkan Kelemahan Allah?

Kata Puan Asiah,
“Saya percaya Tuhan itu Maha Esa. Justeru takkanlah Tuhan Yang Maha Bijaksana itu sering bertukar fikiran tentang kaedah manusia untuk menyembah-Nya?"
Zaman Nabi Adam disuruh begini, zaman Nabi Musa begini pula, zaman Nabi Isa bertukar lagi, hingga akhirnya zaman Nabi Muhammad baru Tuhan finalize kan kaedah sembahan manusia terhadap-Nya.”

Apa yang jelas di sini, kelemahan utama beliau adalah beliau terlepas pandang akan firman Allah SWT:

مَا نَنْسَخْ مِنْ آيَةٍ أَوْ نُنْسِهَا نَأْتِ بِخَيْرٍ مِنْهَا أَوْ مِثْلِهَا أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?

(Surah al-Baqarah 2: 106)

Syariat adalah hak mutlak Allah dan Dia berhak menukarkannya atas kemahuan-Nya yang pasti memberi manfaat yang lebih besar kepada manusia. Ini terbukti pada kenyataan dalam ayat di atas. Saya beri analogi mudah;

Perlukah seorang bapa meminta izin kepada anaknya untuk membenarkan atau tidak membenarkan sesuatu perlakuan anaknya? Sudah tentu tidak. Ia hak mutlak seorang ayah yang lebih mengetahui baik dan buruk untuk anaknya. Jika sang anak mempersoalkannya? Mungkin biasanya si ayah menjawab, “Besar nanti, kamu akan faham.”

Itulah keyakinan umat Islam pada Surah al-Baqarah ayat 106. Falsafah solat tetap sama, cuma tatacaranya yang berbeza namun Allah sudah berjanji, “Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya.”

Justeru, benarkah perubahan tatacara solat yang dibangkitkan oleh Puan Asiah itu menunjukkan sikap Allah yang tidak konsisten? Saya katakan, ia cuma menzahirkan tahap kemampuan berfikir Puan sendiri yang terbendung dalam faham skeptisisme.

Puan nak Allah menurut kemahuan akal puan? Maka lemahlah Allah yang puan percaya.

Idea Lapuk

Mungkin ada yang teruja apabila pertama kali membaca lontaran pandangan Puan Asiah berkenaan isu solat itu dan pertikaian beliau berhubung latar pengkisahan al-Qur'an yan didakwanya terlalu keAraban, di ruang komen status berkenaan. Namun, saya kira idea-idea yang dilontarkan sudah terlalu lapuk dan jauh daripada pemikiran semasa zaman ini. Beliau cuma sekadar mengulang-ulang idea Nasr Hamid Abu Zayd, Hasan Hanafi, Muhammad Arkoun, Muhammad Shahrour, Fetima Mernissi, Amina Wadud, Riffat Hassan dan lain-lain berhubung teori hermeneutik bagi al-Qur’an. Teologis dalam Kristian Protestan menolak dakwaan autoriti Gereja Katolik dalam pemaknaan Bible. Bagi Protestan, setiap orang berhak menafsirkan Bible, asalkan tahu bahasa dan konteks sejarahnya. Berdasarkan prinsip perspicuitas dan sola scriptura, dibangunkan metod ilmiah yang dinamakan hermeneutik.

Akhirnya, teks suci dilihat sebagai produk sejarah, budaya dan metod ini diaplikasikan pula kepada al-Qur’an. Walaupun pada hakikatnya, ini mustahil berlaku untuk al-Qur’an kerana kebenarannya melintasi batas ruang dan waktu (trans-historical) dan mesejnya ditujukan kepada seluruh umat manusia.

Saya hairan bagaimana beliau hendak menerapkan metod hermeneutik Bible ini kepada al-Qur’an. Bible sememangnya melalui satu zaman peralihan bahasa yang sangat panjang; Hebrew, Syriac, Greek dan Latin sebelum tersebar luas dalam Bahasa Inggeris. Berbeza dengan al-Qur’an yang kekal dalam bahasa asalnya, Bahasa Arab dari dahulu, hingga kini. Maka, di sini antara kekuatan bagi al-Qur’an.

Percayalah, beliau akan terus skeptik, meragukan kebenaran walaupun dari sumber yang autentik, dan terus terperangkap dalam apa yang disebut sebagai ‘lingkaran hermeneutik’, dimana makna sentiasa berubah.

Isu hermenutik al-Qur'an ini pun telah selesai dibahaskan oleh sarjana-sarjana Islam. Saya tak nak membuang masa menulis tentang isu ini dengan panjang lebar di status Facebook. Justeru, Puan Asiah ambillah masa untuk membaca bahan-bahan berkaitan.

6 Mac 2017
Bandar Baru Nilai, 
Negeri Sembilan

No comments:

Post a Comment