Thursday 5 January 2017

Dunia Pada Pandangan Akhirat


Daripada Sahl dia berkata: “Saya mendengar Nabi SAW bersabda:
"‏مَوْضِعُ سَوْطٍ فِي الْجَنَّةِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا، وَلَغَدْوَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَوْ رَوْحَةٌ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا‏"
"Ruang yang kecil di syurga itu lebih baik dari dunia dan seisinya. Sungguh, berpagi-pagi atau petang hari di jalan Allah itu lebih baik daripada dunia seisinya."
(Riwayat al-Bukhari, no. 6415)
Renungan

Imam Abdul Wahhab al-Sya’rani berkata: “Dunia merupakan tempat istirahat bagi para pengembara, dia tidak kekal. Setelah itu ada kehidupan abadi, yakni kehidupan akhirat. Oleh kerana itu, jangan melihat dunia sebagai tujuan untuk mengumpulkan harta dengan cinta dan nafsu yang berlebihan. Akan tetapi ambillah pengajaran darinya, bahawa setelah kehidupan ada kematian dan manusia harus bertanggungjawab atas hidupnya kepada Allah di alam akhirat.”

Apa sahaja amalan yang dilakukan kerana Allah pasti akan beroleh ganjaran daripada-Nya. Apatah lagi jika perbuatan itu menjurus kepada manfaat kepada agama Allah SWT. Ramai yang menyangka ‘jalan Allah’ itu hanya untuk mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama, bertudung labuh, berkopiah. Namun, hakikatnya Allah membentangkan ruang untuk ke ‘jalan-Nya’ dengan cukup luas.

Mereka yang mengharapkan tempat di akhirat boleh dilihat pada hidupnya dan amalnya di dunia yang begitu tertib. Kehidupan di dunia ini adalah satu perjalanan untuk menuju kehidupan yang seterusnya di alam barzakh.

Abu Hurairah RA berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلاَّ ذِكْرُ اللهِ وَمَا وَالاَهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya dunia ini dilaknati. Apa yang ada di dunia ini dilaknati kecuali mengingati Allah dan ketaatan kepada- Nya, orang yang berilmu dan orang yang menuntut ilmu.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2322. Hadith ini dinilai sebagai hasan gharib)

Apabila dunia ini dapat difahami sebagai sesuatu yang sementara, maka rasa tamak kepada dunia akan hilang. Maka, karamah yang hakiki bukanlah sebagaimana kisah para wali yang berada di beberapa tempat pada satu masa, bahkan karamah yang hakiki adalah apabila seseorang hamba itu sentiasa merasa dekat dengan Tuhan-Nya.

Firman Allah SWT:
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
Maksudnya: “"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia…”
(Surah al-Qasas: 77)

Ketika menghuraikan ayat (وَلَا تَنْسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا), Syeikh Abd al-Rahman Nasir al-Sa’di menyatakan bahawa, “Kami tidak mengarahkan kamu untuk menyedekahkan keseluruhan harta kamu dan dan dibiarkan membazir, tetapi ia (hendaklah) diinfaqkan untuk akhiratmu. Berseronoklah dengan duniamu dengan keseronokan yang tidak merosakkan agamamu dan tidak memudaratkan akhiratmu.” [Lihat Taysir al-Karim al-Rahman fi Tafsir al-Kalam al-Mannan, m. 623]

Islam sama sekali tidak menolak kepentingan dunia. Apa yang ditekankan adalah pengurusan dunia supaya ia dapat dimanfaatkan untuk akhirat. Inilah yang kurang difahami oleh segelintir umat Islam sehingga ada yang terus meninggalkan urusan dunia untuk memberi fokus kepada akhirat dan akhirnya membinasakan dirinya.

Firman Allah SWT:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah: 201)

Ayat di atas jelas menunjukkan Allah SWT menyebut perihal akhirat sebanyak dua kali (kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka) dan perihal dunia sebanyak satu kali (berilah kami kebaikan di dunia). Umat Islam yang berjaya adalah mereka yang mendahulukan akhirat dan dalam masa yang sama, tidak meninggalkan urusan dunia yang dimanfaatkan juga untuk akhiratnya.

Abu Intisar al-Sa'di
5 Januari 2017
8.29 AM
Putrajaya


http://razif-fuad.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment