Wednesday 7 March 2018

[SH] Ibu Bapa Membiarkan Anak Memakai Baju Seksi


RUANGAN SOAL JAWAB
SINAR HARIAN (SISIPAN SINAR ISLAM)
Ustaz Mohamad Razif bin Mohamad Fuad

Soalan: Apakah hukum jika ibu bapa itu membiarkan anak-anak mereka memakai baju yang seksi?

Jawapan:
Kewajipan mendidik anak-anak secara jelasnya direkodkan dalam banyak ayat al-Qur’an dan al-Hadis. Al-Qur’an sendiri telah membawakan banyak contoh kisah-kisah para Nabi yang berkaitan dengan hal ini. Antaranya adalah kisah Nabi Nuh dan anaknya dalam Surah Hud: 42-43. Dalam masa yang sama, Allah SWT secara umumnya memberi penekanan yang serius akan pendidikan anak-anak ini dengan firman-Nya:

“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” 
(Surah al- Tahrim: 6)

Qatadah menyatakan: “Yakni, hendaklah engkau memerintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan melarang mereka dari derhaka kepada-Nya. Hendaklah engkau menerapkan perintah Allah kepada mereka dan perintahkan dan bantulah mereka untuk menjalankannya. Apabila engkau melihat mereka melakukan maksiat kepada Allah, maka peringatkan dan cegahlah mereka.” (Tafsir al-Quran al-’Azim 4/502).

Rasulullah SAW juga menegaskan hal kewajipan ibu bapa menjaga dan mendidik anak-anak dalam beberapa buah hadis. Antaranya adalah sabda Nabi SAW:

“Setiap kalian adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan atas kepemimpinannya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan dan demikian juga seorang lelaki adalah seorang pemimpin bagi keluarganya dan akan akan dipertanggungjawabkan atas kepemimpinannya.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 2278)

Sabda Nabi SAW:
“Sesungguhnya Allah akan bertanya kepada setiap pemimpin tentang apa yang dipimpinnya. Apakah dia memeliharanya atau dia mensia-siakan, hingga seseorang ditanya tentang keluarganya.”
(Riwayat al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra, no. 9129)

Ibn al-Qayyim di dalam Tuhfat al-Maudud menukilkan kata-kata Abdullah bin Umar radhiallahu ‘anhuma berkata:
“Didiklah anakmu, kerana sesungguhnya engkau akan dipertanggungjawabkan mengenai pendidikan dan pengajaran yang telah engkau berikan kepadanya. Dan dia juga akan ditanya mengenai kebaikan dirimu kepadanya serta ketaatannya kepada dirimu.” (Tuhfat al-Maudud, m. 125)

Imam al-Ghazali menjelaskan: “Perlu diketahui bahawa kaedah untuk mendidik anak-anak adalah termasuk dalam urusan yang paling penting dan harus mendapat keutamaan yang lebih dari urusan yang lain. Anak merupakan amanah di tangan kedua orang tuanya dan hatinya yang masih bersih merupakan permata yang sangat berharga dan murni yang belum dibentuk dan diukir. Dia menerima apa pun yang diukirkan padanya dan menyerap apa pun yang ditanamkan padanya. Jika dia dibiasakan dan dididik untuk melakukan kebaikan, nescaya dia akan tumbuh menjadi baik dan menjadi orang yang bahagia di dunia dan akhirat. Dan setiap orang yang mendidiknya, samada ibu bapa mahupun para pendidiknya yang lain akan turut memperoleh pahala sebagaimana anak memperoleh pahala atas amalan kebaikan yang dilakukannya. Sebaliknya, jika dibiasakan dengan keburukan serta diabaikan seperti haiwan ternakan, nescaya dia akan menjadi orang yang celaka dan binasa serta dosa yang dilakukannya turut ditanggung oleh orang-orang yang wajib mendidiknya.” (Ihya Ulum al-Din 3/72).

Kesimpulannya, hukum ibu bapa membiarkan anak mereka berpakaian seksi tanpa ditegur, adalah berdosa. Namun sekiranya ibu bapa telah menegur dan mendidik dengan sedaya upaya, tetapi ianya tidak diendahkan oleh anak-anak, ibu bapa tidak menanggung dosa berkenaan. Ini sebagaimana firman Allah SWT:

“…dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja)”
(Surah al-An’am: 164)

Saya tutup perbincangan ini dengan sebuah hadith Nabi SAW untuk renungan bersama. Sabda Nabi SAW:
“Tiada suatu pemberian yang lebih utama daripada ibu bapa kepada anaknya selain pendidikan yang baik.”
(Riwayat al-Hakim, no. 7679) 

No comments:

Post a Comment